Berhadapan krisis sekuriti makanan ketika ini menyebabkan ramai yang semakin resah dan gelisah terutamanya golongan B40.
Paling dibimbangi, harga makanan yang merupakan keperluan harian juga semakin meningkat dengan ketara.
Namun sebenarnya, ada banyak sahaja alternatif yang telah dihasilkan oleh pakar-pakar dalam bidang penyelidikan bagi mengatasi permasalahan berkenaan.
Antaranya, penyelidikan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang membangunkan Urbankit.
Ia merupakan alat yang berupaya untuk membolehkan orang ramai mewujudkan kolam dan kebun sendiri di rumah.
Inovasi dibangunkan sejak tahun 2013 itu menggunakan konsep akuaponik yang menggabungkan tanaman dan ikan untuk menghasilkan kebun sayur organik.
Pegawai Penyelidik Kanan Bahagian Perancangan Strategik dan Pengurusan Inovasi MARDI, Mohd. Joharry Abdul Hamid berkata, fokus utama pembangunan kit berkenaan adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah atau B40.
Bantuan berkenaan termasuklah menyediakan satu kit tanaman yang membolehkan mereka menanam sayur-sayuran dan membela ikan dalam masa yang sama bagi mengurangkan kos perbelanjaan dapur.
“Kita faham golongan yang berada di kawasan bandar khasnya mempunyai kawasan tanah yang sangat terhad terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan apartment atau flat.
“Oleh itu, Urbankit ini dibangunkan supaya golongan ini juga mampu bercucuk tanam di dalam kediaman mereka kerana produk yang dihasilkan terdiri daripada empat tingkat kotak yang mampu menempatkan tiga jenis sayuran dan satu kolam ikan pada masa yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Inovasi Urbankit itu siap sepenuhnya dan dipatenkan pada tahun 2015 dengan menggunakan dana inovasi daripada MARDI sendiri sebanyak RM10,000.
Ia kemudiannya dipasarkan oleh TMEH Marketing Sdn. Bhd.
TMEH menandatangani kontrak perjanjian perlesenan secara eksklusif pada 2015 bersama institut berkenaan.
SUMBER SEMULAJADI
Proses simbiosis antara ikan yang dibela di bahagian bawah dan sayur-sayuran di bahagian atas mampu menghasilkan makanan organik yang lebih sihat kepada orang ramai.
Konsep akuaponik berkenaan berfungsi dengan menggunakan ikan sebagai sumber baja kepada sayuran yang ditanam.
“Najis ikan akan menjadi sumber baja kepada tanaman yang kemudiannya akan disedut menggunakan pam air yang disediakan untuk menguraikan najis berkenaan.
“Kitaran ini yang akan menghasilkan sayuran organik kerana tiada baja kimia digunakan dan semuanya adalah semula jadi,” katanya. Antara tanaman sesuai adalah kangkung, bayam, cili dan timun, manakala ikan yang sesuai dibela pula adalah daripada spesies air tawar seperti keli dan talapia.
Selain itu, ia juga sangat membantu dalam mengurangkan perbelanjaan dapur sehingga 40 peratus.
Mengambil contoh di Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi yang telah pun menggunakan 70 kit berkenaan yang dibeli daripada TMEH, kata Joharry, kit berkenaan berjaya membantu golongan B40 dan asnaf menjimatkan barangan dapur sehingga RM80 sebulan.
Bagi yang menggunakanya untuk tujuan perniagaan ikan dan sayuran pula boleh menjana pendapatan sehingga RM156 sebulan untuk satu kit.
“Masjid Al Hasanah boleh dikatakan sebagai perintis yang menggunakan kit ini secara besar-besaran bagi membantu golongan asnaf dan B40 untuk mengurangkan bebanan barang dapur dan menjana pendapatan sampingan.
“Itu juga adalah antara fokus kami sejak awal iaitu bukan sahaja membantu mengurangkan kos barang dapur tetapi juga membantu pengguna untuk menjana pendapatan dengan pertanian,” jelasnya.
Tambah Joharry, kit yang praktikal dan mudah alih itu juga boleh menjadi sebahagian dekorasi kediaman dengan bunyian air terjun yang mengalir dari pam air.
Bahagian kolam bawah juga boleh digunakan untuk membela ikan hiasan untuk nilai estetik.










