Terlibat kemalangan, saya umpama diberi peluang hidup kedua - Danish Iskandar - Utusan Malaysia

Terlibat kemalangan, saya umpama diberi peluang hidup kedua – Danish Iskandar

Danish Iskandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon muda, Danish Iskandar, 18, mendakwa dia bagaikan diberi kesempatan kedua untuk hidup apabila terselamat dalam satu insiden kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya di Seri Kembangan.

Dalam kejadian berlaku pagi semalam, kata Danish, dia bersama lima rakannya sedang dalam perjalanan dari ibu kota menuju ke Putrajaya menggunakan Lebuhraya Maju Expressway (MEX) untuk menghantar seorang daripada rakannya pulang menaiki sebuah kereta.

“Saya duduk di bahagian hadapan manakala kereta Perodua Alza yang dinaiki dipandu oleh seorang rakan. Kami semua sedang tidur sewaktu kejadian itu kecuali pemandu.

“Saya sempat tersedar daripada tidur sebelum kereta tersebut berpusing dan terbabas melanggar pembahagi jalan. Rakan yang memandu rupa-rupanya mengalami Microsleep atau tiba-tiba tertidur menyebabkan kemalangan itu berlaku,” katanya.

Danish berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Selain itu, kata Danish, dia bersama tiga lagi rakan cuma mengalami kecederaan ringan manakala pemandu dan seorang lagi rakannya kritikal dan masih menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Bagaimanapun kata Danish, dia mengalami retak bahu kiri akibat kemalangan itu.

“Benda ini memang tak ada sesiapa yang jangkakan. Sebenarnya, sebelum kejadian, rakan yang sedang memandu ada maklumkan dia mengantuk. Tetapi dia beritahu nak berhenti sekejap di sebuah stesen minyak.

“Namun, belum sempat sampai stesen minyak berhampiran, dia dah terlelap dan kemalangan pun berlaku. Memang apa yang terjadi umpama saya diberikan nyawa kedua,” katanya.

Danish kini dinasihatkan doktor untuk berehat sebentar daripada kerja-kerja lakonan sehingga pulih sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya