KUALA TERENGGANU: Jabatan Agama Islam di semua negeri perlu melakukan siasatan terhadap dakwaan terdapat lebih 400 sekolah pondok di negara ini berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremis.
Pengerusi Pertubuhan Warisan Pendidikan Negeri Terengganu (Pewaris), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, dakwaan melibatkan institusi sekolah pondok satu tuduhan berat dan serius.
Ini kerana, menurut beliau, kebanyakan sekolah pondok terutama di negeri ini telah berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama negeri dan aktiviti di sekolah itu sentiasa dipantau pihak berkuasa terbabit.
“Pihak berkuasa juga sentiasa melakukan siasatan untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap sekolah pondok berdaftar atau tidak berdaftar yang melanggar syarat-syarat ditetapkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia yang menyebut lebih 400 sekolah pondok di negara ini dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremis membabitkan tenaga pengajar dan pelajar.
Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, paling membimbangkan sekiranya sesebuah institusi dibiar tanpa pemantauan kerajaan.
Malah, menurut beliau, sesebuah sekolah pondok sepatutnya diberi panduan dan di audit berkala serta mempunyai silibus mata pelajaran ditetapkan bagi mengelakkan ia terpesong.
Bagaimanapun, Syed Anuar memberitahu, pihaknya tidak menafikan wujud penyebaran fahaman ekstremis di sekolah pondok, namun dipercayai melibatkan kes terpencil.
Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya berbangga apabila kebanyakan sekolah pondok terutama di negeri ini melahirkan ramai ulama, penceramah agama, tahfiz dan hafizah selama ini.- UTUSAN










