Semakin menginjak pemodenan, nampaknya kadar kelahiran semakin menunjukkan penurunan yang ketara.
Ia dapat dilihat melalui kadar pertumbuhan penduduk yang menurun daripada 2.1 peratus pada 2010 kepada hanya 1.7 peratus pada 2020.
Justeru, Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Mejar Dr. Syed Abdul Razak Sayed Mahadi menyuarakan kebimbangan mengenai trend penurunan berkenaan yang mula berlaku sejak hujung tahun 2000 itu.
Katanya, trend penurunan itu akan memberi kesan masa panjang daripada aspek pembangunan sumber manusia.
Kesan itu bakal dilihat 20 tahun akan datang di mana golongan muda berkurangan dan populasi dimonopoli oleh warga emas.
“Kalau negara masih tidak bangunkan teknologi penggunaan mesin, maka akan berlaku kekurangan tenaga kerja.
“Kekurangan itu pula akan diisi oleh tenaga kerja asing menjadikan kebergantungan negara menjadi lebih banyak kepada sumber berkenaan,” jelasnya lagi.
Negara warga emas
Selain itu, fasiliti kesihatan yang baik serta amalan pemakanan yang sihat yang menjadi amalan pada ketika ini pula akan menyumbang kepada pertambahan warga emas.
Ketidakseimbangan antara kadar kelahiran dan warga emas itu pada akhirnya akan menyebabkan kadar nisbah tanggungan meningkat bagi membiayai perawatan perubatan warga emas.
PERSEPSI UMUM
Mengulas mengenai faktor, Dr. Syed berkata, ia didorong oleh banyak faktor terutamanya mengenai persepsi individu terhadap anak.
“Secara ringkasnya, boleh dikatakan pemikiran anak muda masa kini dipengaruhi sentimen moden yang menganggap anak sebagai satu liabiliti dan bukan lagi aset.
“Ramai yang berpendapat anak seorang dua sudah mencukupi memandangkan kos perbelanjaan yang semakin meningkat dari hari ke hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Dr. Syed lagi, satu kajian yang dijalankan di ibu kota turut mendapati kebanyakan keluarga terpaksa melaburkan perbelanjaan RM500 hingga RM1000 bagi seorang anak termasuk perbelanjaan asuhan dan keperluan harian.
“Jadi, memandangkan kepada kos berkenaan, ramai yang memilih untuk tidak mempunyai ramai anak bagi mengurangkan tanggungan selain bagi mengekalkan status sosial yang lebih baik,” jelasnya lagi.
Faktor lain yang dibincangkan juga adalah transformasi wanita dalam tahap akademik membuatkan golongan berkenaan lebih memilih untuk mendahulukan kerjaya berbanding menguruskan anak di rumah.
Selain itu, proses perbandaran turut mempengaruhi kehidupan sosial masyarakat memandangkan kos kehidupan juga semakin meningkat.
Tidak dilupa, trend kahwin lambat dalam kalangan anak muda juga menjadi salah satu faktor berlaku penurunan dalam kadar kelahiran di negara ini.
Mengakui ia merupakan adalah masalah global, Dr. Syed berkata, Australia sudah menjalankan inisiatif menawarkan hadiah untuk pasangan yang memiliki anak.
Itu merupakan salah satu usaha negara barat berkenaan untuk memastikan sekuriti tenaga kerja.










