Pendek tapi penuh kejayaan lebih baik - Ismail Sabri

Pendek tapi penuh kejayaan lebih baik – Ismail Sabri

ismail sabri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BERSAHAJA. Ringkas. Selamba, namun bukan selamba biasa-biasa.
Itu gambaran stail Perdana Menteri, DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB yang ungkapan dikeluarkannya berterus terang. Ada ketika dalam bab isu tertentu, responsnya penuh tersirat. Mesejnya perlu dibaca dan dinilai maksud dan pengertiannya.
Di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, Rabu lalu, dari fokus utama temu bual dengan para editor media cetak dan portal yang perancangannya menjurus pencapaian setahun pentadbiran beliau genap setahun hari ini, 21 Ogos, namun soalan yang banyak dilontarkan berkisar tentang bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sama seperti Perdana Menteri yang lepas-lepas, beliau memulangkan persoalan tempoh bubar Parlimen itu kepada pihak yang bertanya.
Dalam pertemuan hampir sejam turut disertai Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., MOHAMAD AZLAN JAAFAR dan Timbalan Pengarang Utusan Malaysia ZULKIFLI JALIL, Ismail Sabri juga mengulas dakwaan pergolakan dalam UMNO, prestasi menteri, isu projek kapal tempur pesisir (LCS) dan ramalan kemelesetan ekonomi global.
Sesekali diusik bila beliau akan menetap di Seri Perdana, Ahli Parlimen Bera itu berseloroh, “Mungkin selepas pilihan raya.”

KELUARGA MALAYSIA DITERIMA
MINGGUAN MALAYSIA: Dalam tempoh setahun ini, bagaimana Datuk Seri melihat penghayatan dan penerimaan rakyat terhadap gagasan Keluarga Malaysia?
ISMAIL SABRI: Rakyat semakin menerima dan Keluarga Malaysia ini mudah difahami. Bukan sesuatu yang terlalu sukar untuk difahami sebab konsep keluarga itu ada pada kehidupan harian kita.
Setiap dalam kalangan kita adalah keluarga. Kita saling memerlukan dan membantu antara satu sama lain. Saya percaya kalau ada dalam kalangan keluarga kita ditimpa kesusahan, pasti kita akan memberi keutamaan untuk membantu keluarga kita.
Sebab itu dari segi kakitangan kerajaan pun, baru-baru ini saya bersama mereka, saya tekankan, kalau dahulu kerja sebagai satu pasukan, sekarang bekerja sebagai satu keluarga. Apa yang saya nak bawa dengan Keluarga Malaysia ini, kalau kita pergi ke Sabah dan Sarawak dan sebagainya, ini merupakan satu perkara yang biasa bagi mereka.
Tujuan saya adalah dari segi keharmonian hubungan antara kaum, agama dan sebagainya. Apabila melakukan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, dari segi penerimaan, bila ditanya tentang konsep ini, ramai memahami dan menganggap ia perkara yang perlu kita teruskan dan kekalkan. Sebab tiga prinsip itu iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

KURANG ISU PERKAUMAN
Apa lagi penanda aras untuk menunjukkan gagasan Keluarga Malaysia ini diterima rakyat?
Kita agak kurang mendengar seperti suatu ketika dahulu isu perkauman dan isu agama boleh dikatakan setiap hari. Hari-hari keluar dalam media sosial dan sebagainya. (Hari ini) nampak ia semakin berkurangan. Keharmonian itu dapat dicapai dengan lebih cepat dan kita lihat sendiri, kurang dah. Dari segi isu-isu panas melibatkan kaum, agama dan sebagainya (sama ada) sudah berkurangan.

CABARAN GETIR
Selepas setahun, apakah cabaran paling getir yang dihadapi dan dirasai sendiri sebagai seorang PM?
Yang pertamanya dari segi menstabilkan politik. Sebab kepentingan kestabilan politik ini ada kaitan dengan kestabilan ekonomi. Apabila saya mengambil alih kerajaan, ketika itu keadaan tidak stabil dari segi politik, sebab sebelum saya dah ada dua PM. Tak pernah berlaku dalam sejarah negara kita dalam satu penggal tiga PM.
Ketika saya berjumpa dengan Pak Jokowi (Presiden Indonesia, Joko Widodo) di Indonesia. Dia orang pun keliru sambutan PM Malaysia. Dulu orang lain. Tak lama orang lain lagi datang. Ini orang lain lagi datang. Jadi, Jokowi pun kata cukuplah, tak mahu lagi ada yang keempat pula datang.
Nampak sangat jelas dari segi ketidakstabilan politik dan caranya adalah apabila Majlis Raja-Raja bersidang, bermesyuarat, membuat keputusan supaya titah dikeluarkan, Agong nakkan kerajaan yang stabil. Sebab itu tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, saya masuk ke pejabat hari kedua, Selasa, tiga pemimpin pembangkang datang masuk ke pejabat bersama saya untuk menandatangani persetujuan menandatangani MoU (perjanjian persefahaman) yang akan ditandatangani kemudian.
Seolah-olah satu gencatan senjata berlaku, maka keadaan politik dapat distabilkan. Tetapi bukan mudah juga sebab kita juga kena menjawab kepada parti kita. Kita di Malaysia sudah dilatih, pembangkang adalah pembangkang, kita kerajaan adalah kerajaan. Jadi, kita tak akan bersama.
Yang seterusnya dari segi pemulihan ekonomi sebab kita sudah tutup semua sektor selama dua tahun. Bila dibuka semula, itu bukan satu perkara mudah terutama melibatkan peniaga-peniaga kecil dan sebagainya. PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) menghadapi masalah, dia baru buka perniagaan.
Dan bila dah pelbagai insentif kita beri untuk bantu mereka, tiba-tiba berlaku pula perang Russia-Ukraine yang beri kesan pada segala agenda dari segi pemulihan ekonomi dan sebagainya. Tapi Alhamdulillah, kalau kita tengok pengumuman Bank Negara, dari segi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), kita yang terbaik di Asia Tenggara berbanding kuasa-kuasa besar lain yang dahulu kuasa ekonomi seperti China, Jepun, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, kita jauh lebih tinggi dari segi KDNK.
Pengangguran, ini merupakan satu perkara yang amat besar tanggungannya untuk kita pulihkan balik. Alhamdulillah, kita dapat kembali pada zaman sebelum pandemik, iaitu 3.8 peratus. Kalau 3.8 peratus bermakna di bawah empat peratus yang dianggap sebagai guna tenaga penuh.
Begitu juga dari segi perdagangan, FDI (pelaburan langsung asing) dan sebagainya, terus datang masuk ke negara kita. Perdagangan kita sudah melepasi RM2 trilion yang tertinggi setakat ini. Jadi, walaupun keadaan ekonomi dunia belum pulih, walaupun kita tidak pulih sepenuhnya, tetapi kita boleh nampak dari segi perkembangan dan sebagainya. Dari segi pertumbuhan ekonomi pun kita jangkakan lebih kurang 5.3 ke 6.3 peratus. Jangkaan kita, walaupun IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) meramalkan seluruh dunia lebih kurang 3.2 peratus.
Itu dari segi teori dan nombor tetapi sebenar di bawah kita tahu orang miskin, kesukaran itu masih lagi terasa. Ramai orang kata tak mampu, tapi menghairankan juga dari segi peruncitan, tahun ini yang tertinggi dari segi nombor. Maknanya, orang masih berbelanja dengan banyak, lebih dari dahulu. Tapi nombor itu tidak menjadikan kita menganggap semua orang senang.

Sepanjang 12 bulan lalu, apakah keputusan-keputusan paling sukar yang perlu diambil sebagai PM?
Sukar waktu saya menjaga Covid-19 itu sebenarnya. Itu yang paling sukar dan mencabar. Sebab antara dua kepentingan yang saya kena jaga, yang perlu saya pilih. Nyawa ataupun mencari rezeki. Saya buat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), tak boleh keluar rumah. Saya daripada keluarga miskin yang tahu tentang kesusahan.
Saya boleh bayangkan macam mana susahnya orang hidup kais pagi makan pagi yang berniaga pagi untuk makan malam, untuk anak-anak terutamanya dan saya terpaksa tutup kerana nak menjaga nyawa waktu itu. Oleh itu, penutupan penuh yang kita putuskan itu merupakan satu perkara yang sangat sukar.
Tetapi waktu itu tidak ada negara yang boleh dijadikan model kerana semua negara mengalami pengalaman pertama Covid-19. Jadi, saya boleh bayangkan, mak cik ini jual kuih, jual goreng pisang. Itulah pendapatan dia untuk bertahan, untuk pelihara keluarga. Tapi kerana kerajaan terpaksa kata penutupan penuh, dia tak boleh (mencari rezeki).

PERJELAS ISU LCS
Adakah Datuk Seri nak tunggu isu LCS reda, barulah bubar Parlimen?
Nak meredakan isu ini bukan mudah sebab pembangkang bagi saya akan menggunakan isu ini seperti mereka menggunakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dahulu, sama. Yang pentingnya tindakan yang kita lakukan.
Sekarang ini satu kes sudah dibawa ke mahkamah. Saya difahamkan ada satu, dua lagi akan dibawa ke mahkamah. Tetapi saya percaya, siapa pun dibawa ke mahkamah, isu ini akan terus dimainkan.
Kegagalan kerajaan dahulu apabila timbul isu 1MDB, gagal untuk menjelaskan perkara yang sebenar kepada rakyat. Itu yang akhirnya rakyat membuat spekulasi dan juga membuat keputusan sendiri apa sebenarnya berlaku, walaupun apa yang mereka jangka itu tidak berlaku, tidak seperti yang dijangkakan. Tapi kerana kita gagal untuk memberi penjelasan yang betul, akhirnya isu itu jadi besar.
Sebab itu saya beritahu Menteri Pertahanan (Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein), panggil semua media, ketua pengarang, jelaskan kepada mereka apa yang sebenarnya berlaku supaya media boleh bantu kita untuk menyebarkan berita ini.
Kalau tidak, kita pun tak tahu. Saya tahulah kerana saya Menteri Pertahanan dahulu. Tapi kawan-kawan dalam Kabinet yang bukan Menteri Pertahanan pun tak tahu isu sebenar. Bila kita tak tahu cerita, kita tak boleh nak jelaskan kepada orang sebab kita pun tak tahu.

Rakyat melihat isu LCS ini ujian integriti terhadap kerajaan?
Sebab itu saya kata, susah nak matikan isu ini kerana isu yang dibangkitkan oleh pembangkang ialah integriti. Bukan soal siapa yang kena tahan, siapa yang kena tangkap. Bagi dia, yang kena tangkap itu mungkin bukan yang sebenar. Jadi, kalau anda tengok, setiap malam ada TikTok daripada pihak sebelah sana. Jadi, sukar jugalah. Bagaimanapun, rakyat percaya ke tidak, mesti diberikan penjelasan dan kita tak boleh berlindung. Sebab itu saya terus membuat keputusan Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS mesti dinyahklasifikasikan. Kita mesti telus, biarkan rakyat tengok.

BILA PRU15?
Penggal Datuk Seri ada kurang dari setahun lagi, Datuk Seri rasa macam mana? Perlu diberi tempoh untuk meneruskan lagi ataupun harus mendapat mandat baharu lebih awal?
Ini satu soalan yang susah nak jawab (ketawa). Kalau saya kata lama lagi, marah parti saya, parti saya nak cepat. Seperti saya cakap tadi, banyak pertimbangan perlu dilakukan sebelum buat keputusan. Ya, rakyat perlu diberi ruang untuk memilih kerajaan yang baharu sebab sudah berubah tiga kerajaan. Ada yang mengiktiraf, ada yang tak mengiktiraf, lebih baik pulangkan mandat ini pada rakyat semula.
Isu pun banyak yang perlu diselesaikan, isu yang saya sebut tadi dari segi ekonomi, pendapatan, pekerjaan, walaupun antara Januari sampai sekarang, kita sudah menyediakan 400,000 pekerjaan kepada rakyat tetapi seperti yang saya kata dari segi upah, RM1,500 itu sesuai ke tak sesuai? Mungkin perlu ditingkatkan lagi sebab setengah mengatakan tak mencukupi. Jadi, banyak perkara, isu yang belum diselesaikan.
Isu LCS baru timbul, tak tahu apa kesannya. Tak tahu apa akan jadi dalam masa satu, dua bulan dari sekarang, itu isu yang terkini.
Tetapi itu yang mungkin menyebabkan kita kata lewatlah pilihan raya, (perlu terlebih dahulu) selesai isu. Tapi satu lagi perkara yang kita perlu lihat, kalau terlampau lewat tahun depan, ketidaktentuan ekonomi. Ekonomi dunia pun dalam keadaan tak menentu tahun depan.
Pak Jokowi sudah beritahu dan PM Lee (Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong) pun beritahu, tahun depan adalah tahun yang tidak baik dari segi ekonomi. Saya sudah kata tadi, IMF semua pun kata pertumbuhan akan menurun dan sebagainya. Jadi, kalau kita tunggu, ekonomi semakin teruk, mungkin tak sesuai pilihan raya masa ekonomi tengah teruk. Mungkin kena cepat, jadi akhirnya, kesimpulannya, pilihan raya akan diadakan sama ada tahun ini atau tahun depan (ketawa).

Apa kriteria yang akan menentukan bila Datuk Seri bersedia menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon pembubaran?
Itulah saya nak tengok keseimbangan antara dua itu (isu dan kemelesetan ekonomi), yang mana lebih memudahkan kita untuk menang. Sebab kalau pilihan raya, saya mewakili parti saya jugalah. Tentu bila kita bubar Parlimen, kita dah tahu yang kita akan menang. Tapi adakah dengan isu yang begitu banyak tak selesai ini kita boleh kalah? Jadi kita takkan buat waktu kita akan kalah.
Jadi, kalau tahun depan katakan ekonomi tak ada ketentuan, teruk atau tidak itu kita tak tahu lagilah, tetapi selagi (perang) Russia-Ukraine tak selesai, ekonomi dunia pun tak akan pulih sepenuhnya dan kita pun terjejas. Kalau kita buat (PRU) dalam ekonomi itu, insentif diberikan kepada rakyat akan berkurangan.

Kalau politik itu momentum, seeloknya PRU diadakan sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) tempoh hari pada Mac 2022 menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor?
Kita dah tak buat, itu jadi akademik sahajalah. Kerana waktu itu kalau kita buat pun, baiklah boleh menang, boleh kata tak menang, kita tak tahu juga. Di Johor, menang mungkin ada sebabnya. Mungkin waktu itu ramai orang tak datang mengundi, mungkin kita menang. Tapi kalau kita buat PRU, dia (pengundi) kata hidup mati pun aku kena pergi juga mengundi, kita pun tak tahu. Negeri mungkin bagi sesetengah orang tak mustahak untuk menentukan menang atau tidak. Tapi Persekutuan lain, berbeza sama sekali. Sebab itu saya beritahu kemenangan di Melaka dan Johor, tak boleh jadi penanda aras untuk melihat sokongan kepada kita.

Nampaknya lima kepimpinan tertinggi UMNO memang mahu pilihan raya diadakan tahun ini. Bagaimana Datuk Seri menghadapi tekanan ini?
Baiklah, dia orang beri pandangan sebagai Top 5. Memang setiap isu pun kita bincang secara bersama, tertutup, lima orang. Jadi, semua orang boleh kemukakan pandangan tapi akhirnya semua semua orang faham, PM yang ada kuasa untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong memohon untuk membubarkan (Parlimen).
Itu kuasa PM, menghadap, memohon pembubaran. Tetapi kuasa Agong adalah membenarkan atau tidak pembubaran. Ramai orang lupa seolah-olah kuasa itu kuasa kita. Kuasa adalah kuasa Agong. kuasa Agong yang tak boleh dicabar.
Jadi, Top 5 boleh bincang apa sahaja. Kalau saya bawa ke Kabinet, Kabinet bersetuju untuk pilihan raya bila tarikh sekian untuk saya bubarkan. Dibawa kepada Agong, baginda tak setuju, tak jadi. Jadi, Top 5 boleh beri cadangan kepada saya dan saya perlu juga bincang di dalam Kabinet dan beri juga pandangan kepada mereka sebab dalam Perlembagaan Persekutuan, menasihatkan Agong itu adalah kuasa Kabinet ataupun menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet. Menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet, sayalah, untuk berbincang dengan Agong. Maknanya, Kabinet pun ada suara dari segi perlembagaan. Orang terlupa perkara ini sebab dahulu tak payah bincang pun dalam Kabinet.

REZEKI KUASA TUHAN
Untuk mengelakkan Datuk Seri menjadi PM paling pendek pentadbiran, ramai mengatakan kewajaran dibubarkan Parlimen tahun depan agar tempoh lebih dari setahun?
Maknanya, kalau sampai bulan tujuh (2023) itu? Bagi saya pendek atau panjang itu tak penting. Panjang kalau 20 tahun pun kalau tak ada apa faedah kepada rakyat dan kerajaan pun tak ada maknanya. Pendek tetapi penuh dengan kejayaan. Itu lebih baik daripada lama tapi tak ada kejayaan apa-apa, tiada gunanya.

Datuk Seri tak gusarkah macam terjadi di Johor, ‘tempah barang lain tetapi sampai barang lain’?
Saya sangat mudah. Saya jadi PM ini tak pernah terlintas dalam fikiran saya dan saya tak pernah rancang. Macam mana saya nak rancang? Saya jadi Ketua Pembangkang, mana saya nak jadi PM? Jadi, saya kira sampai habis pilihan rayalah. Tiba-tiba oleh kerana waktu itu tujuan pembentukan kerajaan adalah untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh DAP, jadi nawaitu kita hari itu adalah untuk tolak kerajaan PH kerana banyak sangat kerosakan yang berlaku ketika itu.
Sebab itu kita kata okeylah, kita sertailah kerajaan ini. Walaupun bukannya kita bersahabat dengan kerajaan waktu itu, dia di sebelah sana, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelah sana dalam kerajaan. Saya pembangkang sebelah sini. Akhirnya. kita boleh sertai kerana tujuan yang tadi, jadilah kerajaan.

Banyak pembaharuan yang Datuk Seri laksana selama setahun. Apakah pembaharuan lain yang hendak dibuat jika disambung semula menjadi PM?
Kita cross the bridge (menyeberangi jambatan) dahululah. Menyeberang dahulu, nanti orang kata belum tahu apa-apa lagi, sudah berangan-angan dah dia. Jadi, biar kita tunggu dahulu.

PRESTASI SETAHUN KABINET
Dalam 100 hari tempoh hari, Datuk Seri memberi gred yang bagus kepada menteri-menteri. Jadi, dalam setahun ini apa gred yang boleh diberi?
Belum lagi, sepatutnya minggu lepas waktu di Parlimen. Patutnya kita sudah buat penilaian setiap pencapaian menteri. Tapi kita tangguh dahulu. Waktu itu pasal di Parlimen kelam-kabut dengan perdebatan, undi dan sebagainya.

Secara umumnya Datuk Seri melihat prestasi anggota Kabinet sekarang macam mana?
Ya, bukan sempurna. Ada yang bagus, ada yang prestasi tak berapa bagus. Tapi kita lihat secara keseluruhan. Dan kalau kita lihat, (ada) isu-isu dapat kita selesaikan dengan baik. Tentulah kesannya kepada keseluruhan pentadbiran itu. Sebagai contoh isu ayam, dahulu kecoh harga ayam sampai RM13. Sekarang harga ayam sudah turun. Minyak masak harga turun, besi semakin turun.

Dengan anggota Kabinet dari pelbagai parti, adakah terdapat kes ingkar dengan arahan PM atau memberi laporan tidak berapa betul atau berlaku sabotaj?
Tak ada. Kita sangat profesional. Isu kita bincang dan luluskan secara bersama. Tak ada yang mengeluh sebab isu yang kita bincangkan bukan isu parti. Isu rakyat, isu negara, isu ekonomi. Jadi, apa yang kita buat adalah untuk negara. Parti mungkin berbeza.
Menteri GPS (Gabungan Parti Sarawak) memang dalam BN dahulu. PBS (Parti Bersatu Sabah) diwakili Max (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili), dia sama saya dalam BN dulu.
Pas walaupun tak pernah bersama saya dalam kerajaan dahulu tapi masa saya jadi Ketua Pembangkang, dia orang bawah saya. Jadi, kita dah ada keserasian sebenarnya, cuma parti sahaja berbeza.

Bagaimana Datuk Seri menguruskan kehendak parti dan Kabinet yang mempunyai pendirian berbeza?
Kabinet saya fikir yang pastilah akan pergi ke arah yang berlainan kerana parti (UMNO) telah membuat keputusan kita akan pergi solo. Maknanya kita akan pergi sendiri. Tentu sahajalah tidak akan bersama (dengan Kabinet).

LANTIK TPM?
Selepas setahun ini adakah Datuk Seri merasakan perlu seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) ?
Itu biarlah dahulu. Setakat hari ini seperti kita tahu, saya sudah ada empat menteri kanan yang membantu saya. Maknanya, seolah-olah ada empat TPM.

PERGOLAKAN DALAMAN UMNO
Ada spekulasi tarikh pilihan raya ada kaitan dengan pergolakan dalaman UMNO sendiri supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden) dihukum di mahkamah terlebih dahulu?
Presiden dengan saya tiada isu. Saya kenal Presiden ini sudah lama. Jadi, perpecahan dalam UMNO, saya rasa orang luar saja yang bercakap. Sebab saya, Top 5 akan berjumpa hampir setiap masa. Jadi, kalau mereka kata saya nak melambat-lambatkan kes dia sampai dia kena, itu tak kena. Itu kita tak tahu, itu mahkamah pun, mahkamah boleh buat keputusan sendiri.

BAJET 2023
Apakah jaringan keselamatan untuk penduduk Malaysia menghadapi kemelesetan ekonomi dunia pada tahun depan?
Nanti kita akan tunjukkan sewaktu bajet Oktober ini. Kita belum tetapkan lagi tarikh, tetapi bajet kita ini merangkumi semua, kita akan menyentuh semua golongan. Persiapan untuk menghadapi cabaran ekonomi 2023. Bajet nanti akan memberikan penjelasan lebih lengkap. Sekarang tengah buat janji temu bajet.
Bajet kali ini kita akan jumpa dengan semua termasuk pembangkang, semua kita akan jumpa. Semua persatuan, komuniti perniagaan, peladang, penternak, semua sekali. Perundingan bajet yang 300 ke 400 orang mungkin akan diadakan minggu depan di Kementerian Kewangan. Bajet itu kita akan sentuh setiap orang.

Maknanya, kali ini bajet pilihan raya?
Kalau bajet pilihan raya, lepas bajet baru pilihan raya. Elok juga itu, saya boleh fikirkan. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×