BERTAHAN 45 tahun dalam industri bukan satu tempoh singkat. Mana-mana anak seni yang masih kekal bertahan untuk jangka masa selama itu, selayaknya bergelar legenda. Itu definisi kehebatan Datuk Jamal Abdillah.
Bukan mahu mengangkat tinggi, apatah lagi menabur puji, cuma tidak perlu lagi kita cerita tentang pelayaran seni legenda ini. Cuma, akan tibakah satu masa nanti, dia akan berhenti? Melangkah pergi dan menjauhi dunia seni.
“Bersara? Mungkin. Saya tidak dapat menolak kemungkinan itu. Jujurnya, sudah banyak kali juga saya ulang cerita sama. Saya pernah cakap, jiwa seni itu sudah jauh ‘terbang’.
“Usia saya juga sudah 63 tahun, apa lagi yang saya mahu kejar. Rezeki yang ada ini, saya gunakan untuk kelangsungan hidup, terutama buat isteri dan anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Langsung pertanyaan tentang konsert pula dilayangkan. Di kala industri seni suara meriah dengan lambakan konsert, tidak kira senior atau junior, bila pula pemilik gelaran Raja Pop Malaya ini akan mengadakan konsert solo terbaharunya?
Mengakui sudah ada perancangan ke arah itu, namun jelas Jamal, konsert berskala mega itu tidak boleh dilakukan tanpa perancangan rapi. Apatah lagi, menunggu penaja bukan hal yang mudah.
“Memang sudah ada perancangan untuk mengadakan konsert sempena 45 tahun dalam industri. Tetapi, dengan situasi pandemik yang masih tiada sinarnya ketika itu, saya tangguh dahulu.
“Saya tak berani nak buat, lagipun belanjanya besar. Saya tak mahu buat konsert asal boleh. Inikan pula untuk meraikan usia lebih empat dekad saya dalam industri. Penaja pun kena cari yang besar.
“Mana tahu, mungkin ini konsert saya yang terakhir. Jadi, biarlah konsert terakhir ini lain daripada yang lain dan cukup puas untuk peminat kenang sampai akhir usia saya nanti,” katanya.
BERHABIS, MEGA
Ditanya tentang perancangan konsert tersebut, kata penyanyi lagu Azura ini, dia akan berhabis-habisan untuk memastikan konsert ini mampu ‘mengunci’ mata dan hati peminat yang hadir sepanjang dua jam acara berlangsung.
HIMPUN LAGU TERBAIK
Malah, dia juga sudah mula menyusun lagu terbaik sepanjang zaman yang pernah melonjakkan namanya di persada seni suara.
“Nak buat konsert, bukan ambil masa dua tiga bulan. Setahun pun ada. Perlu ada momentumnya. Saya mahu mempersembahkan semua lagu yang pernah hits untuk memberi penghargaan buat pencipta dan penulis liriknya.
“Saya kalau boleh hendak buat konsert solo. Tidak melibatkan pasangan duet atau artis jemputan. Tetapi, kita tengok dulu perancangan selanjutnya,” kata penyanyi yang memulakan kariernya sekitar 1973.
Melontarkan pandangannya pula terhadap trend konsert bersilih ganti kini, Jamal beranggapan, semuanya berbalik kepada kemampuan dan kehendak peminat. Mereka mempunyai pilihan untuk menyokong mana-mana artis.
“Macam saya, ada kelompok peminat sendiri. Mereka akan menyokong mana-mana konsert saya. Alhamdulillah. Dari segi harga tiket pula, tidak terlalu mahal. Sama sahaja sejak dulu.
“Cuma, saya selalu menjalinkan kerjasama dengan stesen televisyen untuk merakam konsert saya. Jadi, peminat yang tidak berkemampuan atau tidak berkesempatan boleh menonton konsert itu di rumah nanti,” katanya.










