Melatah petanda masalah kemurungan, tekanan - Utusan Malaysia

Melatah petanda masalah kemurungan, tekanan

(Kanan) Dr. Aishah Siddiqah Alimuddin dan Juma’atin Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pantang dicuit atau disergah, pelatah terlompat-lompat, mengajuk cakap orang termasuk memarahi orang yang mengusik mereka dengan perkataan kurang sedap di dengar.

Pelatah sebenarnya tidak sedar apa yang mereka lakukan atau katakan kerana ia adalah tindakbalas spontan akibat tabiat latah. Malah ada yang berdepan bahaya yang boleh mengancam keselamatan mereka sendiri.

Reaksi berlebihan individu melatah sering dianggap satu hiburan bagi kebanyakan orang yang galak mengusik mereka. Tanpa disedari, perbuatan itu membuka aib dan memalukan pelatah apabila video mereka melatah disebarkan.

Disebalik latah ‘menghiburkan’ itu, pelatah sebenarnya mungkin mengalami tekanan perasaan yang menyebabkannya cepat melatah apabila diusik.

Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Aishah Siddiqah Alimuddin, berkata tabiat melatah kerap dilihat dalam kalangan individu yang mengalami tekanan.

“Individu mengalami tekanan, kemudiannya dikejutkan oleh orang di sekeliling mereka ketika mereka tidak memberi tumpuan boleh menyebabkan mereka menunjukkan tindakbalas berlebihan.

“Ketakutan mengejut ini menyebabkan individu tersebut mengalami Flight Response yang mana rembesan hormon adrenaline menjadikan individu terbabit berdebar, berpeluh dan berasa letih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Latah adalah sejenis sindrom berkait budaya, Culture-bound Syndrome dan pertama kali dilihat dalam kalangan penduduk di Tanah Melayu pada zaman kolonial British.

Tabiat melatah sering dilihat unik dan banyak berlaku ke atas wanita dengan hanya segelintir sahaja lelaki mengalaminya.

Kondisi klinikal ini menyebabkan individu itu mengalami tindak balas kejutan yang berlebihan atau HyperStartle Reflex.

Tindak balas ini menyebabkan individu terbabit bercakap secara berulang-ulang (echolalia), melakukan perbuatan berulang-ulang (echopraxia) dan mengikut arahan orang di sekeliling mereka (automatic oedience).

Dr. Aishah berkata, semua tindak balas ini berlaku di dalam keadaan luar sedar (Dissociative) dan sering tidak disukai oleh individu yang mengalaminya walaupun apa yang dilakukan individu pelatah dilihat sebagai hiburan kepada orang di sekeliling mereka.

“Sekiranya kerap diusik dan dikejutkan, tindakbalas ini boleh menjadi kebiasaan sehingga menjadi sebati dalam diri mereka.

“Sebuah lagi teori menyatakan bahawa individu mengalami latah bertindak balas dengan perbuatan atau perkataan secara tidak sedar bagi meluahkan perasaan mereka yang terpendam dan tidak dapat diluahkan selama ini.

“Dalam kalangan komuniti tertentu, mungkin ada perkara-perkara yang tidak membenarkan mereka bersuara dengan terbuka atau menentangnya. Ini disebabkan wanita dalam komuniti itu perlu sentiasa tunduk dan mengikut arahan terutamanya wanita pada zaman dahulu,” katanya.

Melatah tiada ubat, jangan jadikan ia hiburan
Menjelaskan sama ada latah boleh diwarisi atau berjangkit, Dr. Aishah berkata, oleh kerana latah bukan penyakit, ia tidak boleh diwarisi serta tidak berjangkit.

“Latah bukan sejenis penyakit, jadi ia tidak boleh dirawat kerana tiada ubat yang boleh diberikan kepada pesakit. Ia juga tidak boleh diwarisi atau dijangkiti kerana puncanya tidak diketahui dengan jelas melainkan tekanan perasaan.

“Latah boleh dilihat berlaku di dalam pelbagai kumpulan umur kecuali kanak-kanak yang jarang ditemui mengalami latah. Namun latah sering dilihat berlaku dalam kalangan mereka yang mencecah usia pertengahan tahun terutamanya di dalam kalangan wanita menopaus,” katanya.

Negara lain ada latah
Tabiat melatah mungkin sisnonim dengan orang Melayu tetapi hakikatnya ia turut dialami penduduk negara-negara lain di seluruh dunia.

“Variasi latah turut dilihat dalam kalangan bangsa-bangsa lain dan di negara-negara lain. Namun, ia digelar dengan nama-nama berbeza seperti Imu dalam kalangan orang Ainu di Jepun, Mali-Mali di Filipina, Jumping Frenchman of Maine di Kanada dan Miryachit di Siberia.

“Persamaan dalam kalangan kesemua kondisi ini adalah kewujudan Hyperstartle Response iaitu kejutan berlebihan yang menghasilkan perbuatan atau percakapan luar daripada kawalan individu yang melatah,” katanya.

Jangan ganggu pelatah
Walaupun tiada rawatan spesifik untuk merawat masalah melatah, orang ramai boleh membantu individu berdepan masalah ini dengan tidak mengganggu mereka atau sengaja mengusik mereka.

“Orang ramai tidak seharusnya menganggu dengan membuat kejutan kepada golongan pelatah bagi membantu mereka mengikis tabiat yang boleh memalukan selain membahayakan mereka.

“Apa yang lebih penting, mereka yang mengalami masalah melatah patut diperiksa bagi memastikan mereka tidak mengalami sebarang gangguan mental atau kemurungan yang mungkin boleh menjadi punca atau timbul sebagai kesan daripada latah.

“Sekiranya terdapat gangguan kemurungan, rawatan yang sewajarnya berkaitan kemurungan boleh diberikan kepada individu terbabit. Ia sekaligus akan membantu mengurangkan atau mengikis masalah latah,” katanya.

Burukkan penyakit kronik
Latah mungkin nampak menghiburkan bagi orang lain tetapi hakikatnya ia memberikan kesan ke atas kesihatan pelatah sendiri, terutama yang menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan jantung.

Risiko bagi individu melatah boleh berlaku sekiranya mereka mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi atau penyakit jantung yang berpotensi menjadi lebih buruk jika mereka kerap dikejutkan.

“Individu yang mengalami latah juga berpotensi mencederakan diri atau orang lain tanpa sedar semasa di dalam episod latah kerana segala aktiviti iaitu perbualan dan perbuatan di waktu itu berada di luar kawalan mereka.

“Amat penting bagi individu di sekeliling memahami keadaan mereka dan tidak sengaja menyakat mereka secara berlebihan,” katanya yang menegaskan latah bukan bahan untuk hiburan kerana ia boleh mengancam kesihatan dan keselamatan individu terbabit.

‘Dah ramai makan penampar saya’
Juma’atin Ibrahim, 61, mula melatah selepas menamatkan zaman persekolahan pada tahun 1979.

Dia mula menyedari mudah terkejut dan melatah apabila dicuit atau diusik rakan-rakannya sehingga tidak sedar tanganya cepat saja bergerak membuang apa saja yang sedang di pegangnya.

Pengalaman melatah yang paling teruk dan tidak pernah dilupakan apabila dia membuang dan mencampak barang peniaga pasar gara-gara terkejut apabila disapa dengan kuat oleh seorang rakan.

“Kejadian yang sukar saya lupakan akibat melatah adalah ketika sedang sibuk memilih sayur dan ikan, di pasar Selayang, tiba-tiba ada kawan sergah.

“Oleh kerana terlalu terkejut, saya angkat bekas letak ikan tu, habis saya lambakkan semuanya ke lantai. Masa itu, saya memang tidak sedar. Bila saya sedar, saya tengok ikan dah berterabur,” katanya menceritakan kisah yang sukar dilupakan itu.

Seingatnya ketika itu, rakannya cuba berusaha memujuk dan menenangkan dirinya. Mengakui amat kesal atas apa yang berlaku dan memohon maaf kerana merosakkan perniagaan kawan tetapi semuanya di luar kesedarannya.

Tambah Juma’atin, ketika melatah dia juga tidak sedar tangannya cepat saja menampar muka orang yang mengusiknya.

“Setakat tampar orang tu, ramai yang dah makan penampar saya sebab menjerkah saya sampai terkejut. Ada yang tiba-tiba datang tanya khabar dengan suara kuar sampai saya terkejut. Tangan bukan menyambut salam tapi penampar yang dapat,” katanya.

Wanita asal Batu Pahat ini menjelaskan, melatah itu penat. Malah pelatah juga malu dengan tabiat itu.

“Saya akan melarikan diri daripada orang-orang yang suka mengusik dan membuat saya melatah,” katanya.

Namun, dia bersyukur kerana kawan-kawan memahami dan tidak berkecil hati dengan tindakbalasnya ketika melatah. Malah, Juma’atin sering memohon maaf atas apa yang berlaku di luar kesedarannya.

“Saya pernah berjumpa pakar psikiatri dan diberitahu latah hanya boleh diubati dengan mengawalnya. Mungkin juga latah ni ikut keturunan sebab ibu dan keluarga sebelah ibu saya pun ramai melatah,” katanya seolah-olah cuba menerima hakikat.

Dalam usaha mengawal latah, selain menjauhkan diri daripada orang ramai, Juma’atin beristighfar bila terkejut.

“Bagi yang saja nak melatah, nasihat saya jangan amalkan kerana ia beri banyak kesan. Kalau boleh kawal, kawal sebaiknya, supaya tidak menjadi tabiat pula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN