fbpx

Kerja dan belajar, sama pentingnya

Apa yang perlu diberikan perhatian ialah bila semakin ramai anak muda tertarik berkerja dalam pekerjaan itu, perlindungan terhadap pekerja seperti insurans seharusnya diberikan keutamaan. - GAMBAR HIASAN

Ramai bising bila anak muda khususnya lelaki berminat menyertai sektor ekonomi gig tanpa menunjukkan minat untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi. Habis sahaja Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahu terus kerja.

Bila mata rambang melihat wang, ilmu sudah tidak lagi dianggap suatu keperluan. Benarkah? Segelintir masyarakat awal-awal lagi sudah melabelkan mereka ini sebagai tidak punyai masa depan.

Ramai yang terlepas pandang sebenarnya semangat itulah yang membuktikan anak muda kita suka berdikari dan mahu menabung untuk masa depan dan keluarga.

Bukan semua orang memiliki kekuatan dan keberanian meredah kesesakan kota. Kesabaran dimiliki dalam mencari sesuap nasi itulah yang seharusnya kita banggakan.

Lagipun kejayaan dan kebahagiaan itu bergantung kepada individu. Segelintir mungkin bahagia dengan kemampuan menabung puluh ringgit sebulan. Cukup makan minum pun dah kira suatu kebanggaan.

Saya berbual dengan seorang pemandu e-hailing yang melakukan pekerjaan itu untuk mencari pengalaman. Katanya cukup wang dia akan menyambung pelajaran.

Sekarang ini menuntut ilmu dan mengenggam segulung ijazah dalam situasi bekerja bukan sesuatu yang mustahil.

Bukan saya katakan pelajaran tidak penting, tetapi dalam situasi mendesak seperti ada ahli keluarga yang perlukan perhatian sebab sakit, mencari wang saku adalah lebih penting.

Saya melihat situasi anak muda mencari kerja sesuatu yang sangat membanggakan kerana mereka memiliki semangat.

Itu tandanya mereka tidak malas. Sekurang-kurangnya mereka berusaha cari rezeki sendiri daripada mendapat bantuan daripada kerajaan semata-mata.

Dan ini semangat inilah juga yang kita mahukan dalam kalangan anak muda.

Yang sepatutnya berasa malu ialah pemerintah kerana dikatakan gagal menyediakan peluang pekerjaan mencukupi buat rakyatnya, seperti yang diwar-warkan oleh parti pembangkang.

Betul atau tidak hanya rakyat menilainya dan kita merasainya. Apa yang perlu diberikan perhatian ialah bila semakin ramai anak muda tertarik berkerja dalam pekerjaan itu, perlindungan terhadap pekerja seperti insurans seharusnya diberikan keutamaan.

Ini termasuklah juga manfaat lain seperti aspek kesihatan. Kenapa perlu dibezakan?. Wajibkanlah juga pengendali untuk memastikan pekerja mereka mendapat perlindungan sempurna.

Bukannya membiarkan operator berbuat sesuka hati dengan tidak memberikan perlidungan sewajarnya kepada operator masing-masing.

Kajian Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC), kira-kira 650,000 rakyat Malaysia terbabit dalam sektor itu sehingga akhir tahun lalu dan dijangka terus bertambah saban tahun. Ambillah serius luahan anak muda.

————–
Nor Afzan Mohamad Yusof ialah Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!