Cabaran dunia sekarang mengakibatkan kita lupa untuk mengajar anak-anak hargai diri dan lupa bahawa kanak-kanak perlu berinteraksi dengan dirinya dan bukan terleka berinteraksi dengan gajet atau rakan maya.
Hakikatnya, kanak-kanak perlu diasuh supaya mengenal diri dan menghargai diri supaya mampu menjadi individu yang memiliki jati diri yang kuat dan menyayangi diri sendiri.
Pengasas Seri Spa, Seri Syamsidatul Safrun Mohd. Thani berkata, ibu bapa perlu mewujudkan aktiviti supaya deria dan daya pemikiran anak-anak diaktifkan.
“Salah satu aktiviti menarik ialah kelas spa kanak-kanak yang dirangkakan sebagai salah satu alternatif memenuhi keperluan ini.
“Dalam program ini anak-anak akan melalui sesi menghargai diri. Kita mahu kanak-kanak ini berinteraksi dengan anggota badan mereka supaya wujud rasa syukur,” katanya kepada Seri.
Sesi spa turut diadakan supaya kanak-kanak tahu bertenang. Ini kerana, kanak-kanak sangat banyak tenaga tetapi ada juga ‘tekanan’ dalam diri mereka.
“Terdapat juga sesi lakukan sendiri atau DIY produk penjagaan spa. Ini dapat menggerakkan deria kanak-kanak dan mengasah kemahiran saintifik dan manipulatif,” ujarnya.
Seri Spa turut menjalankan sesi pengenalan terhadap penjagaan diri secara holistik melalui aktiviti fizikal, di mana peserta akan melakukan senaman dan spa serta aktiviti spiritual melalui solat, aktiviti sosial dan emosi (kerjasama dan membantu sesama rakan), bina intelek dan kreativiti.
“Aktiviti sebegini akan membuatkan kanak-kanak melupakan gajet mereka kerana ia juga dapat melatih anak untuk berkomunikasi dengan orang lain.
“Mereka akan belajar berkawan, menunggu giliran, mengucapkan terima kasih, meminta maaf dan sebagainya.
“Selain itu, anak akan jadi kreatif, imaginatif dan cuba menyelesaikan masalah. Contohnya dengan menghasilkan bahan spa sendiri, dia akan berimaginasi untuk menggabungkan bahan yang sesuai. Anak akan berfikiran kritikal. Ini merangsang untuk otaknya berhubung dan berfungsi dengan baik,” jelasnya.










