Penularan pembunuh senyap, virus Covid-19 sejak dua tahun lalu, turut memberi tempias kepada industri seni teater yang masih terjejas sehingga ke hari ini.
Pementasan teater yang menelan perbelanjaan tinggi juga menyebabkan segelintir pengkarya atau produksi masih enggan mengambil risiko menggerakkan semula aktiviti itu, meskipun mendapat permintaan daripada khalayak.
Mengulas lanjut perkara itu, pelakon yang turut bergiat aktif dalam pementasan teater, Serra Kamal, mengakui industri teater masih belum ‘sembuh’ sepenuhnya.
“Saya tidak berbohong industri teater pada masa ini tidak begitu baik. Secara realiti, sebelum penularan pandemik Covid-19 lagi, siapa yang menghargai teater? Tidak ramai.
“Sebenarnya, industri teater sudah lama tidak baik. Tetapi, disebabkan orang dalam industri mempunyai minat yang terlalu tinggi, mereka teruskan juga.
“Mereka buat bukan kerana wang atau nama, malah tidak sedikit pun ambil peduli perkara tersebut. Mereka lakukan semua itu semata-mata kerana cinta yang mendalam terhadap seni teater,” katanya.
Pelakon teater 4 Nyonya 4 Dara itu memberitahu, industri teater bagaimanapun, sedang berusaha untuk pulih, meskipun perkembangannya agak perlahan.
“Seperti saya, selain menjayakan teater komersial, saya buat juga pementasan kecil. Sejujurnya, saya kasihan dengan penggiat industri teater yang berusaha keras untuk bangun semula.
“Jika panggung wayang pun penonton tidak pergi sangat kerana risaukan virus ini, apatah lagi teater. Jadi, agak lambat sedikit untuk teater naik semula dan mendapatkan kembali keyakinan penonton,” tuturnya panjang.
Komedi? Sukar jika tak buat persediaan
Figura kecil molek ini adalah bintang yang versatil. Bukan sekadar berlakon, dia juga mempunyai bakat dalam nyanyian.
Menerusi lakonan pula, apa sahaja watak yang dibawanya di skrin pasti dilunaskan dengan baik dan sempurna.
Terkini, pelakon drama seram Histeria The Series ini telah diberi kepercayaan pengarah untuk turut serta dalam karya komedi seram berjudul Don Dukun.
Kongsi Serra, persediaan rapi penting bagi menjayakan produksi komedi.
“Bagi saya, komedi akan menjadi sukar jika pelakon tidak melakukan persediaan. Komedi ini ada beberapa bahagian boleh dirancang, tetapi ada yang tidak boleh.
“Jika tidak lakukan persediaan, ia akan menjadi sukar. Saya jarang beraksi dalam genre komedi, jadi banyak persediaan perlu dilakukan untuk memastikan lakonan meninggalkan kesan,” ujarnya.
Sebagai pelakon, gadis berusia 26 tahun ini turut ‘membedah’ skrip dengan lebih mendalam bagi mengetahui jalan cerita sesebuah karya, terutama untuk babak yang tidak banyak dialog.










