Pada hakikatnya, manusia tidak diuji di luar batas kemampuannya. Bagi mereka yang mampu mengambil hikmah dalam setiap kejadian yang ada dan selalu bersyukur, maka akan mampu melewati ujian-ujian kehidupan seterusnya.
Minggu ini saya kongsikan kisah Ika (bukan nama sebenar) yang tetap tabah dan menerima apa yang berlaku sepanjang hidupnya sebagai ujian daripada Allah.
Ujian demi ujian terus menimpanya, bermula daripada menjadi mangsa nafsu serakah bapa kandung, dihalau dari rumah oleh ibu sendiri sampailah dia diuji dengan suami curang.
Bagaimanapun, keimanannya kepada Allah tidak berkurang sedikitpun, sebaliknya semakin rajin mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.
Menceritakan kepada saya dalam pertemuan baru-baru ini Ika berkata, perbuatan tidak bermoral itu dilakukan bapa sejak dia berusia 13 tahun.
Pada awalnya, Ika pernah cuba untuk bercerita dengan ibunya, namun dituduh sengaja mahu memburukkan bapa sendiri.
Ibu bapa Ika pernah berkahwin, sebelum bercerai semasa Ika berusia tiga tahun.
Ketika Ika memasuki usia 13 tahun, ibu bapanya rujuk kembali dan bermulalah episod duka dalam hidupnya.
Kali pertama Ika dirogol ketika sedang tidur di ruang tamu selepas pulang dari sekolah.
Ketika itu, ibunya yang bekerja di sebuah gerai makan masih belum pulang.
Bapanya berpesan kepada Ika agar tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa pun termasuk ibunya.
Ika menjadi ketagih melakukan hubungan intim selepas kerap dirogol bapanya yang dianggarkan dua kali seminggu.
Mereka melakukan hubungan intim pada waktu malam secara senyap-senyap semasa ibu sedang tidur atau berkerja pada siang hari.
Ketika itu Ika langsung tidak tahu dosa pahala, halal dan haram.
Perbuatan mereka berlarutan selama hampir tiga tahun hingga Ika mencapai usia 15 tahun.
Bagaimanapun perbuatan bapanya terbongkar selepas guru kaunseling di sekolah bertindak menyoal siasat dan mula curiga selepas Ika dilihat gelisah dan tidak fokus ketika berada di dalam kelas.
Ika akhirnya terpaksa membuatkan pengakuan bahawa selama ini dia menjadi mangsa nafsu serakah bapa sendiri.
Sebelum itu dia sendiri serba salah sama ada untuk menceritakan hal sebenar atau terus berdiam diri, namun selepas didesak, Ika akhirkan membuka cerita.
Susulan daripada itu, bapa Ika ditangkap dan ditahan pihak berkuasa.
Malangnya ibu Ika tidak dapat menerima tindakannya melaporkan perbuatan suaminya.
Disebabkan marah atau mungkin malu, Ika dihalau daripada rumah oleh ibunya sendiri.
Mujurlah seorang hamba Allah yang mengusahakan pusat perlindungan wanita dikenali sebagai Puan Siti, membantu Ika.
Di pusat perlindungan sementara bagi wanita yang terlibat dengan gejala sosial, penderaan dan hamil luar nikah itu, Ika belajar banyak perkara terutama hal-hal berkaitan agama.
Selain diberi tempat tinggal, Ika turut diberi peluang menyambung persekolahan sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.
Selepas tamat pengajian, Ika kembali semula ke pusat perlindungan tersebut untuk membantu Puan Siti.
Benarlah, jodoh itu rahsia Allah.
Siapa sangka, perkenalan singkat Ika dengan seorang jejaka dalam tempoh kurang dari tiga bulan menerusi seorang rakan baik, berakhir hingga ke jenjang pelamin.
Ika sama sekali tidak mengenali suaminya, Zubir (bukan nama sebenar). Segala-galanya bermula apabila Zubir yang berasal dari Ipoh, Perak itu menghulurkan salam perkenalan selepas bertemu pertama kali di majlis anjuran pusat perlindungan berkenaan.
Selepas berkahwin, Ika mengikut suaminya berhijrah jauh ke selatan tanahair.
Pada awalnya, Ika berat hati untuk menerima lamaran mana-mana lelaki selepas apa yang berlaku kepada dirinya.
Dia terlalu takut apabila memikirkan yang perempuan baik untuk lelaki yang baik, dan perempuan jahat, untuk lelaki jahat.
Apa yang sentiasa bermain dalam fikirannya, adakah sekiranya dia berkahwin, dia akan dapat lelaki yang jahat kerana kisah silamnya.
Namun dengan sokongan dan nasihat Puan Siti, akhirnya Ika akur dan menerima Zubir.
Sejurus bermulanya hubungan serius, tanpa berselindung Ika berkongsi kisah ‘gelap’ silamnya dengan Zubir.
Walaupun agak terkejut pada awalnya, Zubir tetap menerimanya tanpa prasangka.
Jelas Zubir walaupun dia tidak menyukai masa lalu bakal isterinya itu, tiada apa yang dia boleh lakukan sebab masa lalu tidak boleh diubah.
Paling penting Ika telah insaf dan untuk apa dia masih berpegang pada masa lepasnya.
Selepas mendengar penjelasan Zubir, Ika berasa lega.
Dia benar-benar yakin Zubir adalah lelaki paling layak menjadi imamnya.
Pun begitu langit tidak selalunya cerah.
Selepas enam bulan berkahwin, Ika diuji lagi apabila suami curang di belakangnya.
Zubir yang sebelum ini begitu penyayang dan bersikap lemah lembut mula menunjukkan sikap dingin terhadap Ika.
Suami selalu mengungkit kisah silam Ika setiap kali mereka berselisih faham.
Akhirnya, Ika diceraikan.
Ika kembali semula ke pangkuan Puan Siti untuk membantu wanita itu menguruskan pusat perlindungan berkenaan.
Sesungguhnya dalam Islam amat melarang jika suami isteri mengungkit masa lalu masing-masing terutama berkaitan kemaksiatan.
Malah suami atau isteri tidak perlu menjelaskan masa lalu masing-masing.
Allah SWT sendiri melindungi dan menjaga setiap aib dan dosa umatnya terbukti dengan sabda Rasullulah SAW yang berbunyi:
Sesiapa yang tertimpa musibah maksiat dengan melakukan perbuatan semacam ini (perbuatan zina), hendaknya dia menyembunyikannya, dengan kerahsiaan yang Allah berikan. (HR Malik dalam Al-Muwatha no 1508).










