Kandang kuda di Rubinga MAEPS, Serdang kelihatan agak lengang pagi itu dengan beberapa pelatih sedang mempelajari teknik mengawal kuda bersama jurulatih masing-masing. Sesekali ada kuda hitam yang ditunggangi individu yang mahir, berlari pantas menggelilingi kawasan gelanggang, menerbangkan debu dek hentakan kakinya.
Di tengah gelanggang, Ustazah Asni Abu Mansor Al Hafizah, 47 sedang berlatih menunggang kuda sambil dikawal oleh seorang jurulatih disamping beliau. Dari jauh dia melambai apabila perasan dirinya sedang diperhatikan. Menurut Ustazah Asni, beliau baharu saja tiga hari menyertai sukan berkuda dan amat meminatinya.
“Saya pilih sukan ini sebab ia adalah sunnah nabi. Saya dah cuba aktiviti selam skuba dan sekarang dalam proses menjadi pelatih berenang pula. Hanya kuda saja belum saya cuba. Hendak tak hendak, kena cuba termasuk belajar memanah sebab ia digalakkan oleh nabi dan ada hikmahnya. Malah dalam Al-Quran pun ada disebut mengenai kehebatan kuda menerusi surah Al-Aadiyaat.
“Kuda mengajar kita menjadi pemimpin. Sama ada kita ditawan atau kita yang menawan dia, ada caranya. Macam mana berenang kena kawal diri, memanah juga perlu kawal diri dan berkuda pula ada telepati antara kita dan kuda. Kita tengah marah, dia tahu. Itulah kehebatan kuda yang Allah sebut dalam Al-Quran, di mana Allah bersumpah demi kuda. Irama surah ini juga berbentuk rentak hentakan kaki kuda,” katanya kepada Seri.
Selepas melibatkan diri dalam sukan berkuda, beliau nampak kesinambungannya dengan surah berkenaan dalam kehidupan sehari-hari di mana kuda dapat ‘mencium’ apa yang di dalam hati manusia. Walaupun ada sikap riak pun, ia akan memberi kesan tidak baik kepada kuda. Justeru, setiap orang perlu membetulkan niat setiap hari termasuk dalam amalan seharian.
Tambah beliau lagi, menunggang kuda juga memberikan kesan positif ke atas kesihatannya walaupun pada hari pertama, seluruh tubuhnya sakit seakan baru lepas berjoging. Bagaimanapun, aktiviti berkenaan bagus untuk pinggang dan menjadikan postur tubuh lebih tegap, malah ia baik untuk mereka yang ada penyakit slip disc.
“Selain menunggang kuda, saya suka menyelam skuba dan pernah menyelam di Syam El Sheikh di Mesir dan Australia.
“Berenang juga memberikan kesan ke atas seluruh tubuh sama seperti kita menunggang kuda kerana ia membabitkan seluruh otot. Baru dua hari saya ikuti latihan berkuda, berat badan sudah mula menyusut sehingga dua kilo,” katanya.
DAKWAH SAMBIL MELUKIS
Mata terpegun tatkala menatap pelbagai lukisan hasil tangan. Sememangnya beliau gemar melukis di waktu lapang tetapi pada masa yang sama setiap lukisan dihasilkan bertujuan untuk digunakan sebagai bahan dakwah.
Baginya, lukisan juga adalah satu medan dakwah di mana beliau tidak perlu bercakap banyak untuk menyampaikan sesuatu perkara seperti hadis, ayat Al-Quran dan sebagainya. Beliau pernah melukis sebuah tempat berkaitan dengan Nabi Salleh di Arab Saudi sambil berzikir sehingga ada orang Arab yang merakamnya dan video itu pernah disiarkan dalam berita Permata Brunei.
“Saya sudah menyiapkan lukisan Kaabah dan Arafah untuk rancangan televisyen yang saya hoskan iaitu Salam Baitullah. Menerusi lukisan juga, saya buat kuliah tafsir seperti tafsir surah Al Buruj, saya lukis semua planet yang terdapat di angkasaraya. Dalam lukisan itu, saya sengaja tidak lukis bumi kerana saya hendak sampaikan mesej bahawa kita sebenarnya tidak bernilai di sisi Allah SWT, melainkan takwa. Penduduk langit tak pandang pun bumi ini.
“Kita yang bersungguh-sungguh simpan emas, rasa susah bila tiada duit. Benda itu sebenarnya tidak beri kesan kalau kita ada iman. Bukan nak cakap duit tak perlu tapi sebenarnya nilai takwa lebih besar daripada nilai bumi yang kita sanjung. Itulah antara tafsiran surah Al Buruj,” katanya yang banyak menggunakan teknik warna air dan akrilik dalam lukisannya.
Asni melukis sejak tiga tahun lalu walaupun tidak pernah mengikuti kelas berkaitan melukis. Beliau bercita-cita untuk membuat pameran lukisan sambil bersyarah mengenainya. Sebelum ini, beliau berkata, pernah membuat pameran di sebuah hotel di tengah bandaraya Kuala Lumpur disamping menjual lukisannya.
BERTALAKI DENGAN ALAM
Melihat wajahnya yang tampak berseri, Asni berkongsi rahsianya iaitu sentiasa gembira dan ketawa. Katanya memang ombak dan badai wujud tetapi setiap orang perlu belajar dengan alam yang sebenarnya adalah guru kita.
“Jangan duduk di atas ombak, duduk di bawah sebab kita akan penat, tidak dapat relaks. Aktiviti menyelam mengajar untuk tenang berdepan badai ganas. Bertalakilah dengan alam, air dan pokok. Itu sebab saya juga gemarkan bonsai. Orang lain buang pokok atau tunggul, saya kutip dan bela sehingga jadi bonsai yang cantik.
GALAK ANAK KAHWIN AWAL
Ibu kepada empat cahaya mata ini hanya mahu memastikan keselamatan daripada sudut keagamaan anak-anaknya khususnya anak perempuan terjamin.
Beliau menggalakkan kedua-dua anak perempuannya segera berkahwin sebaik tamat pengajian masing-masing di Mesir dan mendapat calon yang sesuai. Jadi, tidak hairanlah dalam usia semuda 41 tahun, Asni sudah bergelar nenek.
“Saya memang kahwinkan anak perempuan saya awal sebab ia menjadi tanggungjawab saya memastikan mereka berada dalam keadaan selamat. Anak sulung saya, perempuan belajar di Mesir ketika usianya baru 16 tahun dan bertemu jodoh dengan orang Arab campuran Cina dari Amerika Syarikat dan sudah ada empat anak. Menantu saya itu sekarang dah pandai buat dodol.
“Saya bersyukur anak-anak semua mengajar Al-Quran dan bagi saya ia sudah cukup membuatkan saya gembira dan bersyukur terutama melihat mereka mampu mengajar anak-anak masing-masing. Dunia boleh dicipta, rezeki boleh diusahakan tapi keselamatan keimanan itu yang perlu diutamakan,” katanya yang gembira dikelilingi lima cucu.
JADI KHADAM IBU
“Saya kini seorang ‘khadam’ yang menjaga ibu. Ibu, Rokiah Syuhada adalah keutamaan dalam hidup saya, sebab itu saya pilih bekerja sendiri supaya tidak perlu meminta cuti untuk menjaga emak. Kalau ada kerja di luar, saya minta bantuan anak untuk menjaga mak atau kalau anak tak ada, saya hantar mak ke rumah kakak.
“Setiap kali keluar, mak saya akan berpesan pulang awal dan jangan lama sangat di luar. Mak saya sudah berusia 84 tahun tapi masih sihat dan boleh berjalan walaupun ada masanya beliau uzur kerana faktor usia. Ayah pula sudah meninggal dunia 16 tahun yang lalu,” katanya menjadikan ibunya sebagai idola.
Katanya lagi, rahsia kesihatan ibunya itu adalah mengelakkan daripada berfikir terlalu banyak sehingga menyusahkan minda. Sebaliknya hidup perlu ditempuh dengan tenang dan sabar serta mengikut arus. Melawan arus boleh menyebabkan seseorang cepat penat.
“Mak banyak memberikan kekuatan kepada saya dalam berdepan dugaan dalam kehidupan sehari-hari. Sebagai contoh, masa mengandung, jangan fikir banyak-banyak sehingga terlalu takut untuk bersalin. Hidup kena tempuh! Itu pesan beliau,” katanya lagi.









