Eksperimentasi gaya dengan topi - Utusan Malaysia

Eksperimentasi gaya dengan topi

Pelbagai saiz dan gaya topi untuk wanita berhijab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Anda gemar mengumpul koleksi beraneka topi tetapi hanya mampu menyimpannya di dalam almari kerana kurang yakin untuk menggayakannya bersama tudung?

Sememangnya masih ramai gadis dan wanita bertudung merasa janggal hendak menggayakan topi kerana sudah memakai tudung atau hijab yang dianggap sudah cukup untuk melindungi rambut daripada sinar suria.

Hakikatnya topi masih perlu dipakai setiap kali anda keluar rumah bagi melindungi bahagian wajah apabila terkena sinaran matahari ketika panas terik. Ini kerana tudung hanya boleh menutupi bahagian rambut tetapi bukan wajah.

Jadi, tidak salahlah untuk menggayakan topi biarpun sudah bertudung malah memakai topi juga secara tidak langsung menambah gaya dalam penampilan anda sebagai wanita muslimah. Malah ia sudah menjadi trend masa kini diamalkan kebanyakan personaliti terkenal sama ada di dalam mahupun luar negara.

Tips gandingkan topi dan hijab
Usah takut untuk mencuba gaya bertopi tidak kira apapun jenisnya sama ada topi jerami, besbol, sampan atau serkop, semuanya sesuai dipadankan dengan tudung atau selendang. Apa yang penting, anda perlu bijak memilih warna dan memadankannya dengan tudung yang dipakai.

Ikuti tip untuk mengenali jenis topi dan memilih topi sesuai seperti mengikut bentuk wajah, pakaian atau tudung yang dipakai atau aktiviti dilakukan sama ada sukan lasak, mendaki bukit atau gunung, belayar dan sebagainya.

1. Topi fedora
Topi fedora digemari wanita di Itali sekitar abad ke 18 dengan lekukan di bahagian atas topi dan bahagian hadapannya mengecil dan runcing. Keliling topi agak lebar untuk menutup wajah pemakainya.

Topi jenis ini dikatakan sesuai untuk menutup separuh wajah yang bulat dan menjadikan bentuk wajah lebih kecil. Pastikan tudung yang dipakai tidak terlalu berlapis bagi mengelakkan wajah kelihatan lebih bulat.
Pilih tona warna tudung yang sekata dengan topi tetapi topi tanpa corak boleh digayakan dengan tudung yang mempunyai motif.

2. Topi bucket
Berbentuk gayung dengan bahagian yang menutup kepala. Ia biasanya diperbuat daripada kain atau benang kait sesuai untuk digayakan ketika bersantai atau di musim sejuk kerana ia mampu menutup bahagian telinga daripada dimasuki udara dingin.

Gayakan topi yang kembali menjadi trend pada tahun 2022 ini ketika bersantai dengan selendang atau pashmina. Topi ini juga digayakan oleh semua golongan usia sama ada ketika bercuti di tepi pantai, mendaki dan sebagai.
Padankan dengan baju bersaiz besar atau kemeja serta jeans yang menyerlahkan lagi penampilan serta ciri-ciri santai dan kasual.

3. Topi leper
Topi jenis ini cocok untuk wanita atau gadis yang ingin menonjolkan keruncingan dagu kerana ia akan menutupi sebahagian dahi dan digayakan dengan cara senget ke tepi.

Cara ini menyerlahkan ketirusan wajah tetapi bagi yang berwajah bulat sebaiknya elakkan menggayakan topi ini kerana ia akan menonjolkan lagi pipi. Ia sesuai dengan gaun serta jaket untuk tampil lebih anggun.
Pastikan tudung yang digayakan juga tidak terlalu tebal dan membuatkan bahagian atas kepala kelihatan tebal.

4. Topi baseball
Topi ini juga semakin digemari hari ini dengan ciri seperti mempunyai paruh atau tepi yang sedikit melengkung di hadapan dan butang bersalut kain di bahagian atas topi.

Ia boleh digayakan dengan pelbagai busana kerana potongan topi ini yang ringkas termasuk baju gaun yang longgar atau skirt. Jika ingin kelihatan lasak, kebiasaannya pemakai akan mengayakan topi ini secara terbalik.

Tidak salah menggayakan topi ini dengan tudung bawal yang dililit pada leher atau skaf yang diikat pada dagu. Pakai topi dan letakkan selendang atau tudung sifon sukan diatasnya, menyerlahkan gaya lasak anda.

5. Topi kembang meliuk
Topi kembang meliuk ini sering digayakan ketika ingin bersantai di bawah sinaran suria. Ia menyerlahkan keayuan wanita atau gadis yang memakainya.

Topi ini seakan topi fedora namun memiliki lingkar yang lebih lebar dan lekuk yang meliuk, sesuai untuk mereka yang memiliki bentuk wajah persegi. Ia juga sesuai dipadankan dengan aneka jenis tudung serta pakaian yang santai.

Gayakan selendang dengan ikatan gaya seakan rambut Rapunzel atau selendang yang disilang ke belakang atau salah satu bahu mampu menyerlahkan gaya anggun anda ketika bersiar-siar atau bersantai di tepi laut.

Semuanya terserah kepada daya kreativiti anda dalam menentukan gaya diinginkan tetapi apa yang penting ia selesa dipakai ke mana saja dan tidak menyekat pergerakan anda.

Jika sudah menggunakan topi, hindari menambah lebih banyak aksesoris di kawasan kepala bagi mengelakkan kelihatan
berlebihan dalam bergaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×