PETALING JAYA: Penyanyi, Indah Ruhaila merasakan trend menyanyikan semula lagu-lagu hits era 90-an tidak sesuai untuknya yang mahukan muzik dan arah tuju seni lebih ke hadapan.
“Bagi saya itu hak masing-masing. Macam saya, muzik harus ke hadapan. Kalau ada yang buat, itu terpulang. Strategi dan cara pemasaran kita sendiri yang tentukan.
“Mungkin trend itu tidak sesuai dengan saya. Biarlah saya keluarkan single atau projek khas dengan lagu baharu, bukan menyanyikan semula lagu-lagu lama,” katanya.
Indah berkata demikian ketika pelancaran lagu baharunya, All My Heart yang merupakan projek istimewa dengan komposer terkenal, Ajai baru-baru ini.
Sementara itu, Indah yang popular dengan lagu Pudar ini juga menolak persepsi semua penyanyi kelahiran media sosial sebagai perosak industri seni.
“Saya tak merasakan mereka merosakkan industri seni. Kita sentiasa perlukan bakat baharu. Ada antara mereka yang boleh menyanyi dengan baik jika diasah.
“Cuma menyanyi di media sosial dan secara langsung di hadapan khalayak adalah berbeza. Kena ada ilmu dan teknik yang betul. Itu semua boleh belajar,” katanya.










