Betulkah ekonomi kita merisaukan?

Betulkah ekonomi kita merisaukan?

EKONOMI Malaysia lebih kukuh apabila berkembang kepada 8.9 peratus bagi suku kedua 2022. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM media, orang kita sendiri yang selalu menyebut ekonomi Malaysia semakin merosot, semakin merudum dan jauh ketinggalan dengan negara jiran.

Maaf cakap, orang kita suka merendah-rendahkan ekonomi negara sendiri. Waktu Tesla Inc. mengumumkan akan membuka kilang di Indonesia, bukan main ramai lagi rakyat Malaysia mengecam kerajaan.

Tahukah anda Tesla memilih Indonesia kerana negara itu mempunyai Dasar Automotif Nasional (NAP) yang longgar kerana mereka tidak mempunyai kereta nasional?

Malaysia mempunyai NAP yang ketat dengan kerajaan sentiasa melindungi jenama kereta tempatan seperti Proton dan Perodua. Sudah tentu Malaysia akan memberi pelbagai kelebihan dan keutamaan kepada jenama tempatan berbanding syarikat automotif jenama luar.

Kita sudah ada Toyota, Haval, Honda, Mercedes Benz, Nissan, Kia dan sebagainya yang telah membuka kilang pemasangan di Malaysia. Fakta dan statistik tidak pernah bohong. Tiada Tesla bukan bermakna ekonomi kita tidak bagus.

Dalam Indeks Daya Saing Dunia 2022, Malaysia berada di tempat ke-32, Thailand ke-33 dan Indonesia ke-44. Indeks daya saing ini digunakan untuk mengukur prestasi ekonomi negara meliputi aspek mikro dan makro.

Laporan ini signifikan untuk kerajaan menilai keupayaan negara dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pembuatan dasar supaya sumber negara dapat dimanfaat semaksimum mungkin.
Asia Tenggara dikategorikan sebagai kawasan yang strategik dan sering menjadi perhatian pelabur asing kerana sumber asli yang banyak.

Laporan Indeks Peluang Global 2022 daripada Milken Institute mendapati Malaysia berada pada kedudukan pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara baharu muncul yang paling berpotensi untuk menarik pelabur asing.

Milken Institute meletakkan beberapa indikator seperti persepsi perniagaan, kemudahan kewangan, asas ekonomi sesebuah negara dan sebagainya dalam menentukan potensi pelaburan negara.

PANDEMIK
Kita perlu sedar pandemik Covid-19 telah meninggalkan impak ekonomi yang begitu dahsyat kepada negara termasuklah menjejaskan sosioekonomi rakyat. Negara rugi sekitar RM1.1 bilion sehari ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan rugi lebih banyak iaitu RM2.4 bilion sehari semasa PKP penuh.

Penutupan sektor ekonomi telah menurunkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta memberi kesan kepada pasaran buruh di banyak negara. Sebab itulah negara seperti Sri Lanka mengalami krisis ekonomi kerana menanggung beban hutang yang tinggi, kehilangan hasil pelancongan dan kesan lain daripada wabak Covid-19 yang sekali gus meningkatkan kos operasi dan harga barangan komoditi.

Kita bersyukur kerana ekonomi Malaysia berada di laluan pemulihan yang kukuh disokong oleh polisi-polisi kerajaan yang banyak membantu sektor ekonomi berkembang stabil selepas PKP.

Kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhadapan cabaran yang amat getir ketika beliau mengambil-alih jawatan Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021. Perdana Menteri sedar beliau akan bertanggungjawab sekiranya Malaysia berada dalam krisis.

Ketika itu, bukan sahaja Covid-19 sedang merebak, tetapi kita juga berhadapan dengan ketidakstabilan politik, kemelesetan ekonomi, kenaikan harga barangan dan inflasi yang menjadi cabaran utama buat kerajaan.

Di sini saya ingin menekankan kepentingan dalam perancangan serta melaksanakan polisi yang dilakukan kerajaan. Tanpa pengalaman dan perancangan yang rapi, proses pemulihan negara pasti tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Bajet 2022 merupakan usaha terbesar kerajaan Keluarga Malaysia dalam memulihkan negara. Belanjawan ini adalah bersifat pemulihan jangka masa panjang atau crisis recovery tools yang menguntungkan rakyat.

Pelbagai bantuan diberikan yang meliputi segala aspek kehidupan rakyat termasuklah isu-isu kecil yang selama ini dianggap remeh seperti kit kebersihan diri, subsidi kerusi keselamatan kanak-kanak dan sebagainya. Program rangsangan seperti pembiayaan mikro daripada TEKUN Nasional, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank serta Program Jamin Kerja berjaya memulihkan pasaran buruh negara hingga ke hari ini.

Dalam aspek sekuriti makanan pula, Indeks Sekuriti Makanan 2021 menempatkan Malaysia di kedudukan ke-39 berbanding Indonesia yang berada di tempat ke-69. Ini bermakna jaminan keselamatan makanan di negara kita jauh lebih baik. Dasar Agromakanan Negara 2.0 berperanan memastikan sekuriti makanan negara terus berdaya saing dan mampan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran global.

Data Forum Ekonomi Dunia (WEF), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Economist Intelligence Unit ((EIU) adalah data yang tepat dan sering digunakan pelabur dalam memilih negara hos.

KEDUDUKAN TERBAIK
WEF meletakkan Malaysia sebagai negara kedua terbaik di rantau Asia Tenggara dalam indeks daya saing dan berada di tangga ke-32 dunia. Ini kerana kita mempunyai polisi kerajaan yang cekap seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan pelbagai lagi. Di sini jelas menunjukkan walaupun ekonomi global tidak menentu, pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin pulih ke arah yang lebih baik.

Sepanjang setahun ini, pencapaian negara perlu kita sama-sama banggakan. Pengalaman dan usaha gigih Ismail Sabri bersama seluruh anggota kerajaan Keluarga Malaysia berjaya membawa negara kembali pulih daripada pelbagai krisis termasuklah ekonomi dan juga politik hingga kesejahteraan dapat dinikmati rakyat.

Data-data ini menjadi bukti kejayaan Perdana Menteri dan kerajaan Keluarga Malaysia serta menepis segala fitnah dan tomahan kononnya ekonomi Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan.

Kita banyak membuang masa mencari perkara yang buruk sahaja sampai terlupa kekuatan kita. Kita sepatutnya berganding bahu bersama kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berdaya saing dengan mengukuhkan komitmen untuk bekerja dengan lebih tekun demi kemajuan dan kesejahteraan negara.

Inilah manifestasi Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri. Sebagai sebuah keluarga besar, kita mampu mengharungi apa saja cabaran dan bangkit bersama-sama mencipta kejayaan.-UTUSAN

DATUK Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris adalah Exco Pemuda UMNO Malaysia dan Timbalan Ketua UMNO Kuala Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×