Rasuah musuh ekonomi negara

Rasuah musuh ekonomi negara

RAKYAT perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam melaporkan rasuah dan salah laku yang berlaku depan mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN dan pendedahan dibuat tentang ketirisan dan penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat kita menunjukkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat terjejas teruk angkara rasuah dan salah guna kuasa. Dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan cabaran yang cukup getir untuk memulihkan ekonomi dan membangunkan rakyat, sepatutnya tidak boleh ada ruang untuk rasuah menjejaskan proses tersebut.

Cukup menyedihkan apabila setiap hari ada sahaja laporan salah guna kuasa dan rasuah terpampang di dada akhbar membabitkan nilai yang cukup besar dan merugikan ekonomi negara. Misalnya, tatkala kerajaan terpaksa menanggung jumlah subsidi minyak masak peket sebanyak RM4 bilion pada tahun ini, pendedahan aktiviti penyeludupan minyak masak peket ke negara jiran yang semakin rancak cukup mengecewakan. Mana mungkin aktiviti ini berleluasa jika tidak ada pihak yang menerima sogokan dan salah guna kuasa?

Begitu juga tatkala Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersungguh-sungguh mahu meningkatkan mutu perkhidmatan dan penyampaian perkhidmatan awam, masih ada penjawat awam yang terus bergelumang dengan aktiviti tidak berintegriti seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sehingga menjejaskan nama baik perkhidmatan awam serta merugikan negara.

Jadi, secara prinsipnya rasuah adalah musuh utama yang sedang mengganggu proses pemulihan ekonomi dan pembangunan negara sekali gus menjejaskan kesejahteraan rakyat. Anehnya pada ketika begitu banyak kes rasuah didedahkan, semakin ramai pula yang terlibat dengan rasuah. Ini suatu senario yang cukup serius dan membimbangkan kerana rasuah boleh menghancurkan negara dan rakyat.

Kesan negatif rasuah terhadap pertumbuhan ekonomi adalah suatu realiti yang pahit untuk ditelan dan kita tidak boleh terus berdiam diri kerana virus rasuah ini semakin menular dan sukar untuk dikawal.
Antara kesan ketara rasuah ialah menjejaskan proses pemulihan ekonomi melalui penyalahgunaan dan pembaziran dana awam yang telah diperuntukkan untuk membantu rakyat. Jika individu yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memelihara dana tersebut tidak amanah dan mula mengambil kesempatan, maka dana yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat dan negara akan mengalir masuk ke poket individu tertentu sahaja. Akibatnya agihan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan menjadi sia-sia sekali gus meningkatkan beban ekonomi negara dan rakyat.

Rasuah juga menyebabkan pelaburan asing negara semakin berkurangan apabila para pelabur luar berhadapan masalah peningkatan kos pentadbiran dan urus niaga angkara penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang diberi kuasa. Hakikatnya, penurunan kadar pelaburan asing pastinya akan memberikan kesan langsung sekali gus merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Pelabur akan mula beralih ke negara lain yang lebih mesra peniaga dan mantap dari segi tadbir urus ekonomi.

Kadar inflasi juga akan terus meningkat jika kita gagal mengawal dan membendung rasuah. Peningkatan kadar inflasi bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah apa yang lebih membimbangkan ialah akan meningkatkan kos sara hidup rakyat.

SELIMUT
Jadi, rasuah perlu dilihat sebagai musuh dalam selimut yang memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara. Justeru, kita perlu melancarkan jihad untuk memerangi rasuah dan menyelamatkan ekonomi negara dan tanggungjawab ini perlu dipikul bersama oleh setiap warganegara yang sayangkan negara dan mahu melindungi kepentingan ekonomi secara keseluruhannya.

Sebagai individu, pastikan kita tidak membuka peluang untuk menerima mahupun memberi rasuah walau untuk apa tujuan sekalipun. Kita perlu mengawal diri dan beramanah dalam setiap tindakan agar dapat menutup terus segala ruang salah guna kuasa yang ada. Masyarakat perlu sentiasa sedar dan menginsafi kesan negatif rasuah lantas segala kepentingan diri perlu ditolak tepi dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan negara.

Sebagai penjawat awam pula, berpeganglah erat kepada aku janji yang telah dilafazkan, antaranya akan sentiasa melaksanakan tugas sebagai pegawai dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab; tidak akan membelakangkan tugas awam demi kepentingan peribadi; tidak akan menggunakan kedudukan sebagai pegawai bagi faedah diri sendiri; dan tidak akan berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam.

Sedarlah rakyat dan negara meletakkan harapan yang tinggi kepada penjawat awam untuk membantu melaksanakan segala perancangan dan inisiatif yang telah ditetapkan bagi membantu memulihkan ekonomi daripada krisis kesihatan dan ekonomi global yang berpunca daripada serangan wabak Covid-19. Jadi, jangan sesekali mengkhianati amanah dan memusnahkan harapan kerana rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kelangsungan kehidupan.

Ironinya, pada ketika ini seluruh rakyat dan semua jentera pentadbiran kerajaan perlu bersatu padu untuk memulihkan ekonomi dan membangunkan negara. Jadi, tidak boleh ada sebarang ruang untuk rasuah menjadi penghalang, menganggu gugat dan menjejaskan proses pemulihan tersebut kerana kita khuatir keadaan akan menjadi lebih parah dan akhirnya akan menghancurkan segala-galanya.

Antara langkah proaktif yang boleh kita ambil ialah menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam melaporkan rasuah dan salah laku yang berlaku depan mata. Percayalah, sikap kita selama ini yang tidak peka, tidak mahu masuk campur serta takut menyebabkan individu yang tidak beramanah ini mengambil kesempatan untuk terus bermaharajalela. Jadi, ayuh mari kita bulatkan tekad dan beranikan diri untuk menegur mahupun melaporkan apa jua aktiviti tidak berintegriti yang berlaku kepada pihak berkuasa dengan segera supaya dapat mencegah lebih awal sebelum menjadi barah yang sukar dikawal.

Kesimpulannya, jika kita mahu ekonomi negara dan rakyat dipulihkan dengan perancangan yang teratur dan lebih efektif, elemen rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa perlu dihapuskan dari peringkat akar umbi.

Jika tidak, apa saja perancangan dan inisiatif yang kerajaan lancarkan serta sebanyak manapun peruntukan disediakan semuanya akan menjadi sia-sia dan tidak menuju sasaran dek angkara tangan-tangan ghaib yang membolot dengan rakusnya semua peruntukan yang disediakan. Terimalah hakikat rasuah adalah musuh utama ekonomi negara.-UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×