Koleksi busana yang berinspirasikan Nusantara idea dan rekaan Yani Bakhtiar di bawah jenama Yan’s Creation sentiasa mendapat perhatian penggemar gaya dan fesyen tersebut. Dengan menyasarkan pasaran orang awam, setiap busana dihasilkan, selesa dan boleh digayakan untuk urusan harian.
Kata Yani, ilham busana diperoleh daripada tumbuh-tumbuhan dan daun-daun yang terdapat di dalam negara.
“Untuk pasaran tempatan, koleksi pakaian yang saya hasilkan biasanya rekaan kegemaran wanita tempatan seperti blaus, kaftan dan kardigan. Untuk pasaran di luar negara pula saya fokus pada produk batik viscose dan batik silk dalam persalinan kaftan dan kardigan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Yani berkata, fabrik viscose menjadi pilihan berikutan ia memberikan rasa selesa, walaupun digayakan ketika melakukan urusan seharian dalam tempoh masa yang panjang. Yan’s Creation turut mengeluarkan busana kaftan opel yang dipadankan dengan pleated skirt.
Yani membina nama dalam dunia fesyen tempatan menerusi rekaan berinspirasikan Nusantara. Sejak dari tahun 2015, lagi Yani aktif dalam mempromosikan busana hasil rekaannya di pelbagai pertunjukkan fesyen dalam dan luar negara.
Beliau juga sering diundang mengikuti pertunjukkan fesyen atas undangan Modestyle di luar negara seperti di London, Paris, Kanada, Indonesia, New York dan terbaharu pada acara anugerah Short Film di Cannes pada Mei 2022. Pada acara itu, beliau menampilkan artis Maria Farida untuk menyertai pertunjukan fesyen di sana.
“Jika tiada aral melintang, pada September 2022 nanti, saya akan menyertai pertunjukkan fesyen di Milan, Paris dan bulan Oktober di Los Angeles,” katanya.
Menurut Yani, pertunjukkan fesyen di luar negara memberikan kepuasan kerana setiap kali model menggayakan busana atas pentas peragaan, pasti menerima tepukan gemuruh pembeli antarabangsa,” katanya.
Yan’s Creation boleh didapati di Metrojaya, Sogo dan Parkson.










