Wanita dijadikan objek korban suami gay? - Utusan Malaysia

Wanita dijadikan objek korban suami gay?

Bila rahsia hubungan songsang terbongkar, perkahwinan akan mula tegang. GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERJERAT dalam perkahwinan suami berstatus gay atau bernafsu songsang memberi tamparan hebat dan kesan mental terhadap wanita.

Mengapa lelaki gay berkahwin sekiranya tiada nafsu terhadap wanita? Wajarkah wanita dijadikan objek korban untuk meluruskan lelaki gay?

Pakar Kaunseling Islam dan Fasilitator Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK CARE) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Abdul Halim Zakaria, tujuan lelaki homoseksual (gay) atau biseksual berkahwin sama ada berselindung daripada tindakan mereka atau ingin memenuhi tuntutan agama.

“Adakalanya tujuan mereka berkahwin ini adalah salah satu ikhtiar untuk berubah. Namun kebanyakan lelaki gay, setelah berkahwin, baru mereka sedar tidak boleh ‘bersama’ atau melakukan hubungan intim dengan isteri. Apabila berkahwin baharulah sedar naluri dia lebih kepada lelaki dan tiada nafsu terhadap wanita.

“Ini mendatangkan masalah kerana kebanyakan gay yang mahu berkahwin, masih mempunyai sifat kelakian, berkasih sayang dan cinta terhadap seorang wanita namun tiada nafsu ke arah seksual.

“Bagaimanapun, tidak semestinya suami jenis ini menjadikan wanita sebagai objek korban meluruskan lelaki gay. Jika tiada niat untuk berubah dan rasa cinta kepada wanita pasti dia tidak akan ambil risiko untuk membuka aib sendiri, bercerai, bergelar duda dan sebagainya,” katanya kepada Seri.

Lelaki gay mempunyai dua kategori sama ada top mahupun bottom. Top biasa lagaknya seperti lelaki bertubuh sasa dan maskulin manakala bottom mempunyai naluri wanita namun tidak lembut seperti ‘mak nyah’ kerana mereka tetap lelaki.

KENALI PASANGAN
Tidak dinafikan wanita mudah tertarik dengan lelaki yang kacak, berbadan sasa dan tegap serta berperwatakan menarik dan kemas. Ini merupakan ciri-ciri lelaki gay namun tarikan inilah yang menggelapkan mata wanita akhirnya si isteri menjadi mangsa.

“Sewaktu awal perkenalan, wanita perlu kesan dan kenalpasti ciri-ciri seseorang lelaki terlebih dahulu. Daripada aspek psikologi, fizikal, perwatakan dan personaliti. Bentuk badan, eye contact, cara duduk, cara sentuhan, reaksi dan komunikasi dia apabila berdepan dengan lelaki lain. Pastinya ada perbezaan berbanding lelaki biasa atau normal.

“Lelaki gay apabila bersalaman dengan lelaki sejenis, mereka akan mempunyai sentuhan yang lama atau connection yang kuat,” katanya.

MAMPU BERUBAH
Lelaki atau suami gay ini mampu berubah dengan ada kesungguhan dan jihad untuk mengubah diri kepada amar makruf nahi mungkar selain mendapat sokongan isteri yang yakin dapat pulihkan suami.

“Dalam Islam, sekiranya kita meyakini bahawa boleh membawa lelaki atau suami ke jalan yang benar dan dia bertekad untuk berubah serta meninggalkan hubungan songsang, maka dalam kategori ini harus kita kekalkan perkahwinan tersebut.

“Tetapi bila ia memberi mudarat kepada diri dan fikir tidak mampu membantu suami berubah, lebih baik bercerai atau wajib bercerai agar isteri tidak menderita dan tenang. Nasihat saya, seeloknya bercerai apabila dapat tahu suami gay. Jika ada keinginan untuk dia berubah boleh teruskan perkahwinan tetapi ia susah dan bukanlah mudah seperti yang disangka,” katanya.

KES CERAI KAHWIN GAY
Kira-kira satu daripada 100 kes berkahwin dengan lelaki gay dapat dipulihkan dan perkahwinan diselamatkan.

“Setakat ini, saya kendalikan lebih daripada lima pasangan bersuamikan gay datang untuk mendapatkan khidmat kaunseling. Usia perkahwinan semuanya kurang setahun dan berakhir dengan perceraian.

Biasanya isteri mengambil keputusan untuk bercerai kerana terkejut dan tidak dapat terima kenyataan apabila mendapat tahu suami gay.

“Ada juga kes si isteri tidak mahu bercerai sungguhpun mengetahui suami gay bottom dan memaksa suami untuk memberikan zuriat. Akhirnya dikurniakan anak yang tidak sihat dan cacat berkemungkinan disebabkan hormon.

Setakat hari ini belum ada lagi cara dan kaedah di mahkamah syariah untuk pasangan berkahwin dengan lelaki gay. Jika difailkan di mahkamah syariah sekalipun kes akan dibawa ke mahkamah sivil untuk membubarkan perkahwinan.

Ada kes apabila mahkamah sivil membubarkan perkahwinan melibatkan satu pasangan suami isteri Islam. Dia didiagnos oleh doktor dan melalui kaedah tertentu untuk mahkamah memutuskan dia memang benar-benar seorang gay.

EMOSI SUAMI JEJAS ISTERI
Kaunselor Berdaftar dan Pengarah Eksekutif di Nuur Counselling and Training Centre (Nuur Centre), Mahirah A. Rashid berkata, dalam kebanyakan kes, apabila rahsia hubungan songsang si suami ini terbongkar, hubungan perkahwinannya akan mula tegang dan berakhir dengan perceraian.

“Jika si suami ada hubungan istimewa dengan wanita lain sekalipun dalam kerangka yang dibenarkan, ia sudah cukup untuk mengundang marahnya, apatah lagi jika hubungan itu adalah hubungan yang terlarang lebih-lebih lagi dengan kaum sejenis. Sudah pasti ia sangat menghampakan si isteri.

“Menghadapi situasi seperti ini, isteri yang menuntut untuk berpisah ada kemunasabahannya. Namun untuk sepenuhnya menyalahkan suami yang gay itu berkahwin juga sebenarnya adalah kurang wajar,” katanya.

Tambah beliau, isteri perlu memahami faktor dorongan lelaki homoseksual ini memilih untuk berkahwin.

“Dalam konteks negara dan masyarakat kita yang lebih dominan dengan agama Islam dan budaya ketimuran, faktor pendorong gay berkahwin adalah kerana mahukan keluarga dan mahu memulihkan identiti seksual mereka yang bermasalah itu.

“Selain itu, lelaki gay di negara ini juga khususnya yang berbangsa Melayu sebenarnya mempunyai pandangan dan sikap yang negatif terhadap identiti seksual mereka sendiri. Ini menunjukkan golongan ini masih mempunyai ruang diperbetulkan dan jika ingin berubah, wajarlah diberikan sokongan sehingga berjaya berubah ke jalan yang diredai oleh Allah SWT,” katanya.

Ujar Mahirah, isteri berhak untuk menuntut diceraikan dan mungkin itu adalah sebaik-baik jalan bagi menjamin kebahagian hidupnya.

“Jika si isteri mempunyai daya sabar yang tinggi dan masih amat menyayangi si suami, pada masa yang sama dia pula masih ada keinginan untuk berubah dan bukanlah seorang yang agresif, hubungan perkahwinan ini dapat diselamatkan melalui pelbagai jalan termasuk melalui terapi kerohanian, perkhidmatan kesihatan mental dan mekanisme undang-undang,” katanya.

JEJAS MENTAL ISTERI
Dilema rumah tangga berat seperti ini boleh menjejaskan kesihatan mental wanita dan mereka perlu mendapatkan khidmat profesional seperti kaunselor rumah tangga.

“Tujuan berjumpa kaunselor adalah untuk membantu mangsa atau isteri celik akal agar isu dihadapi dapat di atasi dengan lebih rasional dan tidak timbul isu membuka aib pasangan.

“Sekiranya pasangan iaitu suami bersedia untuk menghadiri sesi seterusnya secara bersama, itu adalah lebih baik supaya kaunselor dapat membantu kedua-dua belah pihak,” katanya.

Perkahwinan bukan eksperimen
“Suami dirampas oleh seorang lelaki lebih sakit daripada direbut oleh seorang perempuan. Siapa yang pernah atau sedang melaluinya saja tahu bagaimana sakitnya melalui fasa perkahwinan sebegini.”

Saya pernah membaca status yang lebih kurang sebegini bunyinya yang dimuatnaik dalam Twitter tidak lama dulu. Ramai yang memberi respons. Ada yang bercerita turut melalui episod yang sama.

Status itu bagaikan membongkar satu persatu kisah bahawa hubungan songsang ini bukan sesuatu yang luar biasa ketika ini. Ia berlaku di Malaysia yang agama rasminya adalah Islam. Bukan di Amerika Syarikat, Perancis atau Jerman!

Wanita itu juga meminta wanita lain agar menyelidiki dengan teliti calon suami terlebih dahulu kerana jika sudah terjebak, ia bagaikan susah mencari jalan keluar. Hanya perceraian. Untuk menunggu suami berubah, ia mengambil masa lama yang memerlukan kesabaran tinggi.

Pada tahun 2018 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan anggota masyarakat gay direkodkan meningkat hampir 100 peratus, iaitu seramai 310,000 individu pada tahun itu, berbanding 173,000 lima tahun sebelumnya.

Sementara itu, golongan transgender pula merekodkan peningkatan kepada 30,000 individu pada 2018, berbanding seramai 10,000 pada 1988.

Persoalannya, pada tahun ini 2022, adakah statistik ini makin berkurangan atau semakin meningkat?

Memang amat membimbangkan apabila melihat perkembangan sebegini. Ini kerana hubungan songsang akan meruntuhkan institusi keluarga.

Kumpulan sebegini pun bergerak bebas dan secara terang-terangan membuka akaun dalam media sosial. Khas untuk golongan itu sahaja.

Jadi betullah saranan wanita berkenaan, apabila mahu berkahwin dengan seseorang perlu berhati-hati supaya tidak makan hati dengan suami yang sebenarnya lebih bernafsu dengan kaum sejenis.

Dan bukan mudah juga hendak mengesan lelaki yang sukakan lelaki ini. Ada yang berkata, golongan gay ini kita boleh tengok dari segi pemakaian. Gaya metroseksual yang mementingkan penampilan sering dikaitkan dengan golongan ini. Tetapi cakap-cakap ini pun tidak tepat, kerana ada juga gay yang tidak ambil kisah pasal penampilan. Yang selekeh pun ada.

Lebih mengelirukan golongan ini juga meminati wanita dan berharap perkahwinan akan mengubah selera mereka pada kaum sejenis dan membolehkan mereka menjadi seperti lelaki normal lain.

Tetapi apabila perangai itu tidak dapat diubah, perkahwinan nampaknya hanya sebagai eksperimen dan yang menanggung tekanan mentalnya adalah wanita.

Pun begitu, ada juga pasangan yang berjaya melalui kekalutan hubungan ini dengan kaunseling. Tentunya untuk berubah memerlukan semangat dan sokongan yang kuat. Apa pun perkahwinan bukan satu ujikaji.

Janganlah pentingnya diri sendiri dengan mengheret isteri sendiri ke lembah sengsara.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN