Tangani bantut sejak awal usia - Utusan Malaysia

Tangani bantut sejak awal usia

Jika anak tidak membesar dengan sepatutnya, dapatkan bantuan daripada pakar perubatan dengan segera. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, mendedahkan satu daripada lima (21.8%) kanak kanak berumur lima tahun ke bawah termasuk dalam golongan terbantut tumbesarannya dan ia merupakan kondisi ketara.

Memandangkan ketinggian mempunyai ukuran berbeza-beza dalam sesebuah populasi, agak sukar untuk ibu bapa mengenal pasti sama ada anak mereka pendek secara semula jadi atau mengalami masalah tumbesaran.

Namun tiga perkara ini boleh diperhatikan apabila mengawasi dan memantau tumbesaran si cilik:

1) Jangkaan ketinggian ikut jantina, umur
Ini boleh diukur dengan carta tumbesaran piawai yang boleh didapati dalam bentuk persentil atau sisihan piawai. Jika ketinggian anak anda berada di bawah persentil ketiga bagi umur atau lebih daripada dua sisihan piawai di bawah norma carta tumbesaran yang sepatutnya, maka mereka boleh dianggap sebagai pendek.
Carta ini boleh di dapati dalam talian organisasi bereputasi seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), serta doktor pediatrik anak anda. Carta ini juga boleh didapati daripada laporan sekolah anak masa mula daftar sekolah rendah.

2) Potensi ketinggian genetik
Bergantung juga kepada gen diwarisi daripada anda dan pasangan. Jika anda dan pasangan pendek, anak anda mungkin turut pendek, begitulah sebaliknya. Namun jika anda berdua tinggi tetapi anak pendek, mungkin ia satu petanda terdapat sesuatu yang menghalang anak anda daripada mencapai potensi penuh ketinggian mereka.

3) Berapa pantas anak anda membesar
Jika anak anda membesar pada kadar biasa kemudian tumbesarannya menjadi perlahan, ini adalah satu kebimbangan. Keadaan ini boleh diperhatikan dengan menjejak tumbesaran mereka pada carta tumbesaran berdasarkan jantina dan umur bersesuaian.
Tumbesaran anak sepatutnya dalam kadar stabil, iaitu lebih kurang dalam persentil atau sisihan piawai yang sama sepanjang zaman kanak-kanak dan remaja. Tumbesaran yang menuju ke persentil lebih rendah merupakan satu petanda kadar tumbesaran menjadi semakin perlahan dan perlu disiasat.
Sekiranya ibu bapa mempunyai sebarang keraguan tentang tumbesaran anak mereka, penting untuk membawa anak berjumpa dengan doktor berkaitan, sama ada pakar endokrinologi pediatrik atau doktor pediatrik am.
Jangan tunggu dan berharap anak anda akan dapat ‘kejar’ ketinggiannya.
Diagnosis lewat boleh memendekkan tempoh pemulihan kerana tulang akan matang sejajar dengan masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN