Kisah wanita bercinta dan menjalinkan hubungan dengan suami orang sudah lama berlaku dari dulu hingga kini.
Apa yang membezakan hari ini, orang ketiga dalam hubungan suami isteri itu semakin seronok dan berani berkongsi dalam media sosial.
Ini termasuklah perkongsian yang dimuat naik melalui beberapa hantaran di Instagram dan Tik Tok oleh beberapa wanita baru-baru ini.
Tanpa segan silu mereka memberi komen mendakwa diri perempuan simpanan atau skandal kepada lelaki yang bergelar suami orang.
Komen berbaur rindu kepada suami orang yang pulang beraya bersama anak isteri itu kemudian menjadi bahan bualan netizen.
Rata-rata berasa tidak berpuas hati dengan wanita-wanita itu yang seolah-olah seperti bangga dengan tindakan mereka meskipun perbuatan itu secara terang-terangan salah.
Perkongsian itu turut menarik perhatian seorang wanita, Zureen (bukan nama sebenar) yang mempunyai pengalaman bercinta dengan suami orang selama dua tahun.
Wanita berusia awal 50an itu mengakui hubungan cinta zaman sekarang jauh berbeza dengan zaman dahulu.
Zaman sekarang pasangan lebih terbuka untuk berkongsi cerita cinta mereka kepada umum termasuk dengan suami orang di media -media sosial.
Tujuan Zureen berkongsi kisahnya sebagai pengajaran untuk para gadis di luar sana yang sedang hangat bercinta dengan suami orang agar berfikir semasak-masaknya sama ada masih mahu meneruskan hubungan atau mengundur diri.
Mengimbas kisah 30 tahun lalu, ketika itu Zureen berusia 20 tahun, dia mengenali Hakeem (bukan nama sebenar), yang merupakan pelanggan tetap restoran tempat dia bekerja.
Zureen mula menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki bertubuh sasa itu atas dasar kebendaan namun tanpa disedari wujud perasaan sayang.
Sebelum serius, Zureen mendapat tahu lelaki itu suami orang.
Disebabkan jiwa muda yang hanya mahukan keseronokan dan kemewahan, Zureen terpaksa mengetepikan status lelaki itu dengan menerimanya sebagai kekasih.
Selepas mengenali Hakeem, kehidupan Zureen banyak berubah.
Dia yang sebelum ini menumpang di rumah sepupunya setelah berhijrah ke Kuala Lumpur sudah berpindah ke rumah sewa sendiri.
Selain itu dia sudah mampu memiliki telefon bimbit, barang kemas dan makan di restoran-restoran mewah.
Secara jujur, akui Zureen dia sangat mencintai Hakeem.
Hampir setahun mengenalinya, enam bulan pertama, Zureen menyuarakan kesediaannya bertemu dengan isteri Hakeem untuk menceritakan tentang hubungan mereka.
Sampai bila hubungan mereka harus dirahsiakan sehinggalah dia terfikir lebih baik memberitahu hubungan mereka kepada isteri Hakeem.
Niat Zureen agar mereka boleh berkahwin secara baik di Malaysia selain mendapat restu keluarga.
Setelah dipujuk beberapa kali, barulah Hakeem membenarkan Zureen berkunjung ke rumahnya.
Bagaimanapun, Zureen diminta agar merahsiakan tentang hubungan mereka.
Layanan baik isteri Hakeem terhadap Zureen benar-benar menyentuh hati perempuannya.
Selepas pulang, muncul perasaan bersalah di hatinya.
Dia tidak sanggup melihat wanita itu kecewa sekiranya tahu suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Zureen mahu mengundurkan diri daripada hubungan terlarang itu, namun tidak sampai sehari , rasa rindu kembali menyeksa.
Bukan sekali dua Zureen cuba menjauhkan diri daripada lelaki itu, namun tidak pernah berjaya.
Sifat semulajadi Hakeem yang pandai memujuk dan merayu menjadikan Zureen tewas dan memilih untuk tetap bersama lelaki itu.
Sepanjang hubungan mereka, Hakeem juga tidak pernah mengambil kesempatan terhadap diri Zureen dan tidak pernah memburuk-burukkan isteri di depannya.
Jodoh, pertemuan, ajal maut ditangan Allah.
Akhirnya selepas melalui pelbagai dugaan dan ujian, Zureen sah bergelar isteri kepada Hakeem tanpa pengetahuan isteri pertama.
Apabila berkahwin dengan suami orang, Zureen perlu pandai membawa diri.
Bukan sahaja perlu persediaan berganda dari segi mental tetapi juga fizikal.
Bagi wanita adalah perkara biasa apabila bercerita mengenai pasangan masing-masing.
Tetapi, Zureen?. Dia terpaksa merahsiakan hubungan dengan semua orang terutama isteri Hakeem bagi mengelakkan perhubungan mereka diketahui.
Bukan semua hidup bermadu itu pahit tetapi kebanyakanya begitulah.
Suka atau tidak, perlu diingat wanita kedua datang dalam ikatan itu mungkin telah menghancurkan hati banyak pihak terutama isteri dan anak-anak . Cabaran dan ujian semasa bercinta dengan suami orang jauh berbeza selepas bergelar isteri.
Komitmen suami beristeri dua sangat tinggi. Sebagai isteri dia perlu memahami realiti dan tanggungjawab suami.
Kecukupan yang perlu diberikan bukan sekadar kewangan, tetapi juga masa dan kasih sayang.
Ramai yang terkandas ditengah jalan apabila cemburu dan tidak mampu memberi komitmen.
Itulah yang berlaku kepada Zureen yang minta dilepaskan secara baik gara-gara tidak sanggup berkongsi kasih apalagi berpoligami setelah hampir dua tahun berumahtangga.
Walaupun madu bagi Hakeem, ia tetap hempedu kepada Zureen.
Sebelum mengakhiri perbualan, Zureen sempat menitip pesan kepada gadis bahawa bercinta itu memang menyeronokkan lebih-lebih lagi dengan suami orang yang banyak pengalaman.
Tetapi apa yang perlu diketahui menjalinkan hubungan dengan seseorang berstatus suami orang bukanlah sentiasa indah seperti disangka.
Dalam Islam sendiri, poligami dibenarkan dan sah di sisi agama.
Antara syarat yang harus dipenuhi adalah berlaku adil kepada isteri-isteri.
Pengertian adil merujuk kepada banyak aspek termasuk kemampuan nafkah zahir dan batin.
Sebagaimana Allah SWT berfirman bermaksud:
Jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja : (An-Nisa:3)










