PUTRAJAYA: Pelakon, Amyza Adnan, 45, akhirnya membuka mulut mengenai status rumah tangganya setelah sebelum ini didakwa pernah dilanda badai.
Tidak menolak bahawa sebelum ini pernah ada yang cuba mengganggu hubungannya dengan suami, namun perkara tersebut telah diselesaikan dengan baik antaranya suami isteri.
“Saya tak boleh kongsikan sebelum ini sebab ia melibatkan banyak pihak, sensitif. Tapi, sebenarnya tiada apa-apa kemelut pun di dalam rumahtangga saya.
“Kalau nak kata rumah tangga saya bergoyang, tidaklah bergoyang sangat, bergoyang manja saja. Tapi alhamdulillah sekarang semuanya baik-baik saja. Saya isteri pertama dan selama-lamanya.
“Sebenarnya dalam sebuah perkahwinan itu, kalau ada masalah, perbaikilah tapi kalau tak boleh perbaiki, tepuk dada tanya selera,” katanya.
Amyza berkata demikian ketika ditemui di sidang media supertele Penanggal Mak Kiah di Lanai Asmara di sini, hari ini.
Pada 30 Disember lalu, Amyza memuat naik hantaran di laman sosial, Instagramnya memberi tanda seolah-olah rumah tangganya goyah.
Selain itu, kata Amyza, dia juga bersyukur kerana suaminya sudah berjanji tidak akan mengulangi kesilapan lalu dan dia juga telah memberikan kepercayaan kepadanya.
“Alhamdulillah sekarang gangguan tiada lagi, dan kalau ada pun, ada saya kisah? Pada awalnya saya akui memang saya meroyan dan marah tapi tiadalah sampai saya mencederakan dia.
“Iyalah, orang lelaki memang nakal, walaupun suami saya. Orang lelaki macam mana pun, ada sikap nakalnya, jadi biarkan. Kalau kita terlampau kawal, mereka rimas. Bila mereka rimas, lagi mereka nak buat.
“Tak mengapa, buatlah, lambat laun mereka akan datang balik pada kita. Tapi itu pendapat saya, tak tahu orang lain bagaimana,” katanya.
Tambah Amyza, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku dan sentiasa muhasabah diri untuk kekal positif.
“Kini saya berserah. Saya berfikir setiap apa yang berlaku dan setiap perbuatan dia, semuanya dari kekurangan saya sebagai isteri yang tidak sempurna.
“Jadi dari situ saya reda dan akan terima saja suami kita. Kalau kita terus menyalahkan dia, kita akan sentiasa marah dan tidak menerima permohonan maaf dia.
“Jadi saya muhasabah diri, apa yang terjadi adalah salah saya, saya yang tidak menjaganya dengan baik dan dari situ saya akan perbaiki diri. Saya juga percaya wanita yang baik untuk lelaki yang baik, jadi saya cuba jadi baik untuk dirinya,” katanya.
Amyza dan Khairil Idzhar Md Nazir berkahwin pada 2004 dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, Andrian Adam dan Ayden Andika.









