MASAKAN pajeri biasanya daripada nanas dan terung. Dinamakan pajeri kerana masakannya berkuah pekat dan bukan berkuah cair.
Bahan utama dan wajib dalam masakan pajeri sudah pasti kerisik dan rempah kari daging.
Tanpa kedua-dua bahan ini tiadalah aroma pajeri yang membangkitkan selera.
RESIPI PAJERI TERUNG
Bahan-bahan
5 biji terung ungu dibelah dua (tanpa putus)
1 batang kulit kayu manis
1 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
Sedikit udang kering (ditumbuk kasar)
2 sudu besar serbuk kari daging
1 biji tomato (dicincang kasar)
3 hingga 5 biji bawang merah (dimayang)
2 ulas bawang putih (dimayang)
1 tangkai daun kari
Bahan-bahan kisar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
½ inci halia
Sedikit udang kering (direndam dan dibasuh terlebih dahulu)
2 sudu besar cili kering (dikisar)
Gula merah atau manisan
Asam keping
½ kotak kecik santan (sedikit sahaja)
1 sudu makan kerisik
Lada besar untuk garnishing
Sedikit bawang goreng (goreng sendiri lagi sedap)
Cara-cara penyediaan
1. Panaskan minyak, tumis empat sekawan dan daun kari.
2. Masuk bawang dimayang. Setelah layu, masukkan tomato, bawang merah dan bawang putih kisar.
3. Kemudian, masuk cili kisar dan serbuk kari daging serta udang kering tumbuk. Kalau perlu, masuk sedikit air.
4. Reneh hingga rempah masak sepenuhnya dan berbau harum. Masukkan kerisik. Masuk sedikit santan. Sedikit sahaja untuk memekatkan kuah.
5. Masukkan terung dan reneh dengan api kecil hingga kuahnya kering sedikit.
6. Masuk cili merah besar dan siap. Tabur bawang goreng ketika menghidang.
Nota: Selepas masak, biarkan pajeri terung selama satu jam untuk mendapatkan kepekatan kuah yang elok sebati.









