Perasaan negatif dan kesedihan adalah perasaan yang dihadirkan kepada setiap makhluk bernyawa di dunia ini.
Penyanyi kesayangan ramai, Fauziah Latiff mengakui, sebagai manusia biasa, dia juga berdepan rentetan episod kesedihan yang adakalanya, menderitakan.
Namun, dia tidak memilih untuk memanjangkan perasaan, sebaliknya move on mengenangkan hidup seketika cuma.
“Di rumah, saya juga manusia biasa. Ada masalah-masalah yang kita hadapi. Ya, kita akan sedih. Tetapi tak boleh terus begitu.
“Allah SWT beri perasaan, akal dan fikiran. Dan kesedihan, ada. Tetapi, kita tidak boleh terus begitu. Keluarkan, lepaskan. Cukup. Jadikan satu pembelajaran,” katanya.
Fauziah berkata demikian ketika ditemui wartawan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Kata penghibur kelahiran Teluk Intan, Perak ini, dia juga terkesan, melihatkan satu per satu rakan artis pergi bertemu pencipta.
Katanya, dia ambil iktibar dan menjadikan keadaan itu sebagai satu peringatan tentang kematian.
“Kita tak tahu apa yang akan berlaku kelak. Dengan keadaan sekarang ini lagi.
“Hilang kawan-kawan. Kita rasa masa kita semakin dekat. Saya pasti perasaan ini dirasakan semua. Anda, kawan-kawan anda. Itu semua peringatan.
“Jadi, apa juga masalah, selesaikan secara positif. Kita buat kesilapan. Tak apa, kita belajar. Jatuh kita bangun semula. Kita hargai hidup, Esok celik mata dan bernafas terus bersyukur,” ujarnya.
Dalam pada itu penyanyi lagu Dia ini mengakui, keupayaannya untuk menghiburkan sudah berubah dan tidak lagi seperti ketika di usia muda.
Namun, dia tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk memperlahankan karier. Katanya, dia masih mahukan cabaran.
“Saya akui,keupayaan ada hadnya. Saya tengok persembahan-persembahan sekarang saya jadi mengah.
“Tenaga bukan lagi seperti dahulu. Tapi, ada pendekatan lain, yang lebih sesuai untuk saya lakukan.
“Mungkin saya buat kelainan. Sedikit-sedikit. Saya lebih tumpuan kepada seni persembahan. Luar dan dalam, jumpa artis,” katanya.
Dalam perkembangan lain, disoal tentang rakan industri, Roslan Aziz yang diuji kanser limfoma tahap empat, Fauziah memberitahu amat terkejut dengan berita duka itu.
“Kita baru diberitakan tentang keadaannya. Saya belum berkesempatan untuk berjumpa dengannya. Jadual kerja yang padat, dengan kesibukan kerja-kerja lakonan.
“Dia sudah lama menyepikan diri. Kita nak cakap perkara ini kepada umum pun tak guna. Jadi, Insya-Allah,” ujarnya.









