LEBIH sedekad lalu konflik di Syria berlaku disebabkan perang saudara yang tidak berkesudahan. Kemusnahan harta benda, nyawa terkorban, kecederaan, cacat anggota badan, hilang tempat tinggal, kekurangan sumber bekalan asas dan kelumpuhan ekonomi antara kesan dari peperangan. Itu belum termasuk ratusan ribu rakyat terpaksa menjadi perlarian untuk mencari perlindungan di negara jiran.
Malaysia antara negara aktif menghulurkan pelbagai misi bantuan kemanusiaan kepada Syria. Kredibiliti negara tidak perlu dipertikaikan lagi. Pembabitan selebriti antaranya Heliza Helmi, Mizz Nina dan Aizat Amdan antara ikon sering mendapat jemputan menyantuni rakyat Syria.
Program Winter Relief For Syria 2021 anjuran Darulkhair Malaysia salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan, menarik minat Siti Zulaikha Murat, 39 untuk tampil menjadi salah seorang sukarelawan di negara yang diberikan jolokan bumi anbiya ini.
“Sudah lama saya menyimpan hasrat menabur bakti di Syria. Kebetulan seorang sahabat saya merupakan penganjur program tersebut. Tanpa berlengahkan masa dan berfikir panjang, saya terus menghubungi beliau lalu mendaftarkan diri sebagai sukarelawan,” katanya memulakan bicara kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Siti Zulaikha bertolak 9 Disember lalu dan berada di negara terbabit selama hampir dua minggu.
“Pengalaman dilalui menimbulkan rasa keinsafan dalam hadap diri saya, apatah lagi menempuhi pelbagai 1,001 pengalaman berharga dan tidak mungkin akan saya lupakan seumur hidup saya,”.
Siti Zulaikha bersama Siti Asiah Ishak selaku penganjur bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menaiki pesawat Qatar Airlines dalam perjalanan yang mengambil masa selama tujuh jam untuk sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha.
Penularan pandemik tetap ada maka pergerakan dalam berkumpulan agak terbatas.
Walau bagaimanapun, misi ini tetap mendapat sambutan. Selain Malysia. antara negara turut serta ialah Turkiye, Indonesia dan Pakistan.
Selepas menunggu beberapa jam sebelum sampai di Istanbul, Turki kumpulan ini kemudiannya menaiki pesawat tempatan untuk ke Hatay yang terletak antara sempadan Turkiye – Syria.
Perlu persediaan yang rapi
Zulaikah melakukan pelbagai persediaan rapi. Selain bekalan ubat, maklumat terperinci berkaitan kedua negara tersebut turut diambil tahu. Cuaca, taraf kehidupan serta budaya masyarakat termasuk isu keadaan antara elemen penting perlu diketahuinya sebelum berangkat.
“Dalam banyak persediaan, yang sebenarnya, fizikal, mental, emosi dan rohani kena kuat. Saya berasa bersyukur sepanjang tempoh perjalanan, dikurniakan kesihatan yang baik, membolehkan acara berlangsung dengan lancar,” katanya.
Kumpulan itu memasuki Syria melalui dua pintu iaitu di Hatay, Turkiye untuk menuju ke Idlib, Syria.
Kawalan pintu kemasukan negara Syria begitu ketat terutamanya di A’zaz.
Ada empat pos kawalan pintu pengawasan, di jaga rapi pasukan keselamatan tentera kerajaan Turki sebelum di benarkan masuk.
Memandangkan Syria masih bergolak disusuli kedengaran bunyi bom dan tembakan peperangan yang menggerunkan menjadikannya tidak selamat dikunjungi oleh pengunjung dari negara luar.
“Rombongan kami dipantau oleh wakil pihak tentera demi memastikan keselamatan kami terjamin. Namun yang menjadi kehairanan saya ialah tiada sekelumit pun dihimpit perasaan takut atau bimbang sepanjang bermusafir, kerana saya yakin yang Allah SWT adalah sebaik-baik perancang dan pelindung,” katanya berkongsi pengalaman.
Menjejak kaki kali pertama ke bumiu anbiya Siti Zulaikha berasa gembira dan terharu melihat jalinan ukhuwah dan kemesraan ditunjukkan penduduk Syria yang sangat meraikan orang luar.
“Mereka tidak berasa kekok bertegur sapa dengan pasukan sukarelawan terutamanya dari Malaysia, walaupun terdapat kekangan daripada segi sudut bahasa pertuturan dan budaya. Air muka mereka jelas menunjukkan yang mereka ingin berkongsi banyak kisah sedih dan pilu diharungi bersama kami,” katanya.
Mengenai agihan sumbangan dilakukan, Siti Zulaikha menjelaskan, setiap kali rutin agihan bantuan dilakukan, mereka tidak bermalam di Syria sebaliknya akan kembali ke tempat penginapan.
“Saya masuk ke Syria sebanyak empat kali dengan diiringi wakil NGO Turkiye.
“Kem dikawasan perlindungan perlarian di Idlib dan A’zaz antara tempat saya lawati. Kebanyakan mereka adalah pelarian yang kehilangan pekerjaan. Walaupun pada suatu ketika dahulu, kebanyakkan mereka mempunyai kerjaya yang baik seperti doktor, guru, jurutera dan sebagainya,” katanya.
Belajar bersyukur
Kehadiran sukarelawan daripada Malaysia sangat dinantikan dan sedikit sebanyak memberi keceriaan.
“Mereka sangat teruja menerima kunjungan daripada kami. Walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan, ianya tidak menjadi halangan. Mereka begitu mesra dan melayani kami dengan sebaik mungkin. Ini cukup menyentuh dasar hati saya,” kata Siti Zulaikha menahan sebak.
Kebanyakan pelarian menginap di dalam khemah disumbangkan wakil pertubuhan bukan kerajaan terutamanya Turkiye telah dikumpulkan dari pelbagai negara. Malahan ada antara mereka menghuni khemah berkenaan sejak bertahun lamanya.
Dengan keadaan saiz khemah kecil dan sempit, menyebabkan ada dalam kalangan pelarian terpaksa berhimpit jika mempunyai jumlah ahli keluarga yang ramai. Itu belum termasuk lagi kekurangan bekalan keperluan sumber asas utama untuk tujuan kelangsungan hidup.
“Melihat detik sukar dan kesengsaraan dialami pelarian itu, membuatkan saya menangis. Alangkah jauh lebih baik kehidupan kita di Malaysia tercinta. Kanak-kanak di sini berpakaian selekeh, dipenuhi debu kekotoran akibat kekurangan sumber bekalan air bersih. Pada masa sama keadaan tapak khemah yang uzur, daif dan langsung tidak sesuai untuk menghadapi musim sejuk pada ketika itu. Apa yang menyedihkan rata rata kanak-kanak yang ditemui bergelar yatim kerana kehilangan ayah mereka dalam peperangan akibat diserang musuh. Keadaan di situ cukup menyedihkan,” katanya.
Sebelum berlakunya peperangan, Syria merupakan negara moden dan dikunjungi oleh ramai pelancong dari serata dunia.
Lantaran hawa nafsu dan sikap tamak kuasa pemimpin bertopengkan syaitan, maka berlakulah peperangan dan rakyat tidak berdosa menjadi mangsa. Dihalau secara paksa dari negara sendiri dengan menggunakan kekerasan bom. Mahu tidak mahu pelarian terpaksa duduk dalam khemah didirikan. Hampir keseluruhan rakyat Syria adalah berbangsa Arab dan beragama Islam.
“Kami di bawa melihat sendiri beberapa tapak atau kawasan musnah akibat peperangan seperti Dabiq. Walaupun di sini banyak tempat sejarah tetapi kami tidak berkesempatan melawat memandangkan keadaan tidak mengizinkan,” katanya.
Siti Zulaikha bertekad, sekembalinya di tanah air, dia beriltizam untuk terus membabitkan diri dalam kerja amal dan kebajikan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.
“Setidak-tidaknya pengalaman itu mengajar makna kesyukuran dan menghargai kehidupan sedia ada. Semoga bumi Syria akan kembali bersinar pada suatu hari nanti,” katanya.










