Zarul Umbrella enggan tercicir dalam industri lakonan

Zarul Umbrella enggan tercicir dalam industri lakonan

Zarul Umbrella
Zarul aktif sebagai YouTuber sejak 2016.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah untuk bergelar artis yang ada nama ini. Khalayak dan peminat khususnya, tentu sentiasa memerhati perkembangan kualiti seni mereka.

Bagi vokalis kumpulan Umbrella, Zarul beliau berpuas hati apabila mendapat pujian daripada pelakon hebat iaitu Fasha Sandha tentang prestasi lakonannya.

Biarpun pengalaman dalam industri hiburannya lebih lama berbanding Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2017 itu, namun Zarul sedar bakat lakonannya masih perlu diasah.

“Masa mula berlakon dulu saya digandingkan dengan Fasha. Kali ini bertemu lagi buat kali ketiga. Fasha cakap prestasi lakonan saya semakin baik dari awal permulaan.

“Pujian itu memberikan suatu kepuasan, tetapi saya masih belum dapat lagi watak-watak berat lain.

“Biarpun menerima karakter hampir sama setiap waktu, tetapi saya akan mainkan dengan cara berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zarul atau nama penuhnya Zairulkefli Husin, 48, akan berusaha agar tidak ketinggalan dengan barisan seusia yang matang dalam arena lakonan.

“Saya kena kerja lebih sikit, di lokasi penggambaran juga saya perhatikan kaedah penyampaian mereka menghidupkan sesebuah watak berkenaan.

“Dalam masa sama saya belajar apa yang pengarah mahukan,” katanya lagi.

Bukan sebab duit

Bercerita tentang minat yang mendalam dalam bidang video produksi dan kamera, mungkin ramai yang tidak tahu pemenang tempat ketiga rancangan Gegar Vaganza 2016 itu sememangnya sudah aktif sebagai seorang YouTuber sejak 2019.

Menyelami permulaan sehingga hari ini, kongsi pelakon drama Patah Sayap Bertongkat Paruh itu memberitahu, kini sudah ada pekerja yang memudahkan lagi proses kandungan di salurannya.

“Allah nak berikan rezeki dan secara tidak dirancang wujud. Kalau dulu satu kamera sahaja, sekarang sudah ada lebih dan mampu mengupah pekerja.

“Pada masa sama cuba bagi yang terbaik untuk pelanggan. Makin hari semakin bertambah dan mendatangkan rezeki serta memupuk dalam bidang videografi dan produksi,” ujarnya.

Mengulas lanjut soal bayaran di YouTube, Zarul memberitahu kepada mereka yang ingin berjinak-jinak perlu ada pendirian dan minat terlebih dahulu sebelum memikirkan soalan bayaran.

“Kalau nak buat semata-mata duit, nanti cepat putus asa. Kena ada minat dengan apa yang anda nak buat dan minat dengan topik yang nak disampaikan kepada umum.

“Bila minat ada, keikhlasan untuk buat akan jadi. YouTube ini bukannya buat hari ini, esok dapat duit, setahun atau enam bulan paling cepat.

“Sampai satu masa tiba-tiba dapat duit. Insya-Allah boleh buat untuk jana pendapatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya