WAJAHNYA bukanlah asing dalam memperkatakan isu berkaitan kesihatan mental.
Pengorbanan dilakukan sejak empat tahun lalu dalam memperjuangkan isu berkenaan melayakkan Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah diangkat sebagai Penaung Diraja Mental Illness & Awareness Support Association (MIASA). Tidak lama selepas itu Puteri Raja ini diberi penghormatan sebagai Penaung Antarabangsa untuk sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun 2020 dan 2021.
Katanya, usai acara berkenaan, timbul idea bersama seorang teman, dikenali sebagai Ariane untuk cuba membantu seramai mungkin orang yang terjejas akibat wabak Covid-19.
“Bila Green Ribbon Group (GRG) didaftarkan dan diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan secara rasmi pada 5 Januari 2021, hasrat membantu mereka yang berdepan isu mental dapat dilaksanakan.
Sebenarnya penubuhannya bertujuan mendorong orang lain untuk turut berkongsi cabaran dan kisah mereka selepas dilanda wabak Covid-19, supaya mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian.
“Platform dibawakan juga unik kerana GRG bukanlah pakar dalam aspek kesihatan mental. Kami tidak menawarkan perkhidmatan daripada segi perubatan, sebaliknya mendidik komuniti dan mengajak mereka memainkan peranan dalam penjagaan kesihatan mental masing-masing,” katanya kepada Seri.
Pada tahun pertama, GRG berkolaborasi bersama Malaysian Mental Health Association (MMHA) untuk membantu dalam mengukuhkan sokongan masyarakat terhadap isu kesihatan mental.
GRG berperanan memberi sokongan, mengumpul dan menyalurkan dana kepada program-program yang disasarkan.
Melalui usaha giat dijalankan, GRG berjaya menaja 100 individu untuk menjalani kursus Mental Health First Aid, 25 program kesedaran dan pencegahan bunuh diri. Selain daripada itu, pertubuhan itu juga menaja sebanyak 200 sesi kaunseling dan psikoterapi.
Tengku Puteri Iman Afzan menegaskan, walaupun dengan hanya saiz sampel yang kecil, tetapi mereka berjaya memperoleh data mencukupi untuk membantu dan membimbing program tersebut pada tahun kedua.
GRG turut memilih memberi penekanan terhadap pelajar sekolah menengah dan universiti, dibawah sokongan Yayasan TM.
“Dulu saya pun seorang pelajar. Jadi tidak dapat saya bayangkan, bagaimana belajar dalam situasi pandemik. Perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan pelajar merasakan hubungan mereka dengan rakan sekelas terputus.
“Saya mahu pelajar mempunyai keyakinan terhadap GRG dengan menawarkan khidmat bantuan serta bahu untuk mereka bersandar. Program perintis bakal dijalankan di 10 sekolah menengah di Lembah Klang yang merupakan sebahagian daripada kolaborasi kami bersama Yayasan TM. Program ini akan melibatkan lima sekolah di Bangsar Baru dan lima sekolah di Hulu Langat yang akan dijalankan bersama The GREAT Project,” katanya.
Katanya lagi program berkenaan adalah modul yang akan berlangsung selama dua jam semasa hari ko-korikulum di sekolah. TM Future Skills: Mental Health Literacy akan menumpukan pada pengenalan kepada kesihatan mental, strategi untuk mengatasi masalah kesihatan mental dan sokongan yang menggalakkan dalam kalangan rakan sebaya.
Aktiviti dijalankan diharapkan dapat meletakkan pengurusan kesihatan mental sebagai kemahiran masa depan setaraf dan seiring dengan pendidikan literasi digital dan teknologi.
Antara kemahiran diajar ialah keupayaan mengurus teknik berfikir, merasa dan bertindak, keupayaan mengendalikan tekanan, keupayaan berinteraksi dengan orang lain serta keupayaan membuat sesuatu pilihan.
“Jadi, bermula dari hari ini adalah waktu yang terbaik untuk kita memberi tunjuk ajar kepada anak-anak kita tentang cara menguruskan dan bertindak balas terhadap emosi negatif seperti pengasingan sosial dan juga pengalaman buruk seperti buli,” katanya.
Rasa sangat gementar bergelar ibu
RASA gementar menyelubungi hati Tengku Puteri Iman Afzan menanti saat kelahiran cahayamata pertama dan pastinya antara momen yang tidak dapat dilupakannya.
Perasaan teruja bercampur baur dengan rasa bimbang, tambahan pula ketika itu, sedang kecoh mengenai virus Covid-19 yang sedang melanda China dan mula memasuki negara ini.
Pelbagai perkara bermain di minda terutama mengenai keselamatan putera sulungnya itu, Tengku Zayn Edin Shah, yang dilahirkan pada 23 Julai 2019.
“Perasaan itu sama seperti yang dialami oleh ibu lain, tambahan pula saya terpaksa membesarkan anak dalam keadaan terkurung akibat wabak Covid-19. Namun, seiring dengan pergerakan waktu, saya menyedari bahawa proses menjadi seorang ibu itu wujud secara semula jadi.
“Saya juga bergelut dengan beberapa perasaan yang tidak nyaman terutama rasa bersalah apabila berjauhan dengan anak-anak atas urusan kerja. Saya cuma berharap agar anak-anak saya tahu, betapa sayangnya saya terhadap mereka,” katanya.
Walaupun kita sering sibuk dengan pelbagai aktiviti terutama di Green Ribbon Group (GRG), namun semua masa yang dikorbankan adalah demi kebaikan Tengku Zayn dan Tengku Aleya Norlini, lima bulan.
“Antara perkara mencabar ketika ini adalah membahagikan masa saya bersama anak-anak dan Green Ribbon Group. Kalau tidak bersama dengan pasukan, saya akan meluangkan masa bersama anak-anak.
“Zayn sangat bertenaga, aktif dan gemar melakukan aktiviti di luar rumah. Kini Zayn sedang berada dalam fasa adiwiranya. Misalnya, walaupun Zayn berada di dalam rumah, dia akan melompat-lompat seolah-olah dia berada di luar rumah,” katanya.
Walau sesibuk manapun, Tengku Puteri Iman sentiasa memastikan masanya terluang untuk putera dan puterinya. Kadangkala ibu muda itu lebih selesa menguruskan kerja GRG dijalankan di rumah saja supaya dapat bersama mereka.
Autobiografi beri inspirasi
Selain sibuk melayan kerenah si kecil, Tengku Puteri Iman gemar menghabiskan banyak masa lapang dengan membaca terutama buku berkaitan autobiografi yang menjadi kegemarannya.
Peminat tegar siri Harry Potter ini menjelaskan, tabiat membaca sudah disemai ke dalam jiwannya sejak kecil.
“Ketika saya masih kecil, ibu bapa saya tidak membawa saya ke kedai mainan. Sebaliknya mereka sering membawa saya ke kedai buku, itulah antara sebab mengapa saya sangat suka membaca di masa lapang.
“Anak-anak kami juga seronok apabila kami membacakan buku kepada mereka dan mereka sangat menikmati masa membaca yang diluangkan bersama. Selain itu, saya dan suami gemar menghabiskan masa di luar rumah bersama anak-anak dengan membawa mereka bersiar-siar di sebelah petang,” katanya.









