Bantu pengusaha kecil makanan dapat sijil halal - Utusan Malaysia

Bantu pengusaha kecil makanan dapat sijil halal

inflasi
Bab halal bukan hanya melibatkan sembelihan ayam dan daging tetapi semua jenis produk makanan waima yang dihasilkan oleh industri ataupun para peniaga kecil tempatan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usaha negara memperkasa industri halal bermula lebih 40 tahun dahulu. Kini Malaysia menjadi negara contoh dan rujukan negara lain dalam pengeluaran standard dan peraturan berkaitan halal yang merangkumi pelbagai skim perniagaan. Umum mengetahui prosedur dan proses mendapatkan pensijilan Halal Malaysia bukan mudah.

Pemohon perlu memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan antaranya berdasarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020. Banyak peraturan, proses dan cara kerja yang perlu dipatuhi.

Bagi skim pembuatan makanan dan premis makanan contohnya, peniaga atau pengusaha makanan perlu memiliki Perakuan Pendaftaran Perniagaan, pemohon sijil halal dan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain memenuhi keperluan Kementerian Kesihatan.

Ramai merungut permohonan pensijilan halal tidak mesra peniaga dan pengusaha kecil. Antara peraturan agak sukar dipenuhi ialah mereka perlu mempunyai premis berasingan untuk penyediaan bahan makanan, sedangkan kebanyakan pengusaha kecil menggunakan dapur sendiri di rumah untuk memproses dan menyediakan produk yang dijual.

Pemohon sijil halal turut perlu memastikan premis mereka mempunyai sistem kondusif. Antaranya penyimpanan makanan, pengangkutan, pembuangan sampah, aliran air, fasiliti pekerja dan persekitaran terkawal bagi memastikan kualiti produk halal, diyakini dan terpelihara.

Banyak syarat dan kriteria membebankan terutamanya bagi yang baru bertatih berniaga. Pastinya mereka akan lebih menumpukan kepada survival perniagaan berbanding usaha mendapatkan sijil halal. Hal ini berbeza dengan pengusaha perniagaan besar dan stabil.

Mereka mempunyai dana, fasiliti dan tenaga kerja mencukupi untuk memastikan produk makanan dan minuman ditawarkan memenuhi syarat dan kriteria halal. Malah banyak syarikat multinasional mempunyai Jabatan Syariah sendiri dan mampu menggaji Eksekutif Halal bagi memastikan pematuhan syariah dijalankan dengan baik.

Pihak autoriti mempunyai sebab kukuh mengapa setiap peraturan dan kriteria pensijilan halal dibuat. Antara justifikasi keperluan mempunyai premis berasingan adalah menentukan tahap kebersihan pada peringkat maksimum dan mengelakkan sebarang pencemaran berlaku.

Namun, peraturan ini menjadi halangan kepada peniaga kecil untuk memenuhi syarat permohonan sijil halal kerana kekangan modal dan tenaga kerja. Dalam masa yang sama, perniagaan yang memohon sijil halal mestilah telah beroperasi dalam suatu tempoh yang stabil dan bukan baru memulakan perniagaan.

Sebabnya, hanya perniagaan stabil mampu untuk menyediakan dokumen, fasiliti ruang dan mematuhi semua keperluan pensijilan halal.

Disebabkan pelbagai kekangan ini, pengusaha kecil agak sukar mendapatkan sijil halal.

Usaha harus dilakukan membantu mereka memenuhi keperluan asas dalam pengeluaran makanan halal.

Prinsip fikah ada menyatakan, perkara yang tidak dapat dipenuhi kesemuanya, maka jangan ditinggalkan kesemuanya.

Berdasarkan prinsip ini, sekali pun pengusaha kecil tidak mampu memenuhi semua keperluan pensijilan halal, mereka boleh penuhi perkara asas bahan mentah halal.

Sebagai contoh, mereka perlu memastikan bahan mentah kritikal terutamanya ayam dan daging diyakini halal, daripada rumah sembelihan mempunyai sijil halal atau diimport dengan sijil halal diperakui.

Namun, peniaga kecil kebiasaannya akan mengutamakan bahan mentah lebih murah walaupun status halal ayam dan daging ini diragui atau tidak diketahui.

Atas sebab ini, mereka harus dididik dan dibimbing untuk mendapat bekalan bahan mentah halal dan mereka bertanggungjawab memastikan kehalalan setiap bahan mentah diperolehi.
Senarai pembekal ayam dan daging halal perlu dibekalkan kepada pengusaha kecil untuk memudahkan mereka membuat pilihan.

Malah kerajaan atau pihak berkuasa boleh turut membantu memasarkan barang mentah halal kepada pengusaha makanan seperti pengusaha kantin sekolah, gerai di pasar awam atau peniaga lori makanan.

Selain ayam dan daging halal, bahan utama yang kritikal ialah bahan yang berkemungkinan mempunyai kandungan alkohol dan bahan bersumber daripada haiwan. Penstabil, pengemulsifier yang meragukan perlulah dielakkan.

Makanan sampingan di jalanan hari ini banyak berasaskan keju. Makanan ringan yang popular juga perlu dipastikan datang dari sumber halal. Peniaga kecil perlu mempunyai jihad kuat untuk mencari bahan mentah halal terutama bahan terproses.

Selain itu, makanan jajanan pasar yang mengandungi gelatin dan pelbagai jenis sos dan perisa juga perlu dipastikan halal.

Bukan sahaja orang awam, peniaga kecil makanan harus cakna dengan bahan halal yang dijual melalui produk makanan mereka.

Keadaan sama untuk bahan pembuatan kek dan biskut yang menggunakan lemak binatang tidak disembelih atau sumber mengandungi alkohol juga perlu dielakkan.

Peniaga makanan kecil berdepan cabaran mendapatkan sumber bahan mentah diyakini halal di kedai borong pembekal.

Kebanyakan bahan mentah yang dijual secara borong dibungkus semula tanpa pelabelan yang jelas.

Maklumat penting seperti isi kandungan bahan mentah, nama pengeluar, maklumat sijil halal juga tidak terdapat pada pembungkusan barangan bahan mentah yang dijual secara pukal.

Pemantauan dan penguatkuasaan ketat perlu dijalankan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan pelabelan makanan.

Jihad mengeluarkan makanan halal harus berterusan dari semua pihak yang terlibat dari sebesar-besar agensi hinggalah ke peniaga dan akhirnya pengguna. Semua pihak mempunyai peranan besar dalam meneruskan jihad memastikan makanan yang terhidang untuk orang Islam adalah diyakini halal sekalipun yang dijual oleh pengusaha kecil.

Mencari yang fardu itu wajib. Atas sebab itu, semua orang Islam wajib berusaha untuk memastikan setiap makanan dan minuman mereka adalah diyakini halal dan thoyyib (baik).

———————-
Dr. Yasmin Hanani Mohd. Safian, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita MAIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN