MUNGKIN tidak keterlaluan kalau saya gelarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘Bapa Bahasa Kebangsaan Negara’ melihatkan kesungguhan beliau dalam memartabatkan bahasa Melayu di semua peringkat.
Sebagai seorang nasionalis, sudah tentu saya cukup gembira melihatkan perkembangan ini. Kalau kita perhatikan, Perdana Menteri (PM) yang kesembilan inilah satu-satunya yang bercakap serupa bikin. Dia cakap dan dia buat. Syabas dan terima kasih saya ucapkan!
Maaf andai kata tidak bersetuju. Sebelum-sebelum ini pun, ada dalam kalangan pemimpin kita yang sering menyeru kepada memartabatkan bahasa kebangsaan namun malangnya ia sekadar retorik kosong bermotifkan politik semata-mata. Cukup menyedihkan.
Sebagai rakyat Malaysia, tidak ada alasan untuk kita tidak bersetuju dengan seruan Perdana Menteri untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dalam urusan bekerja. Mereka yang tidak bersetuju mungkin perlu melihat semula kad pengenalan dan pasport yang mereka pegang selama ini.
Memandangkan PM bersungguh-sungguh ingin menyebarluaskan budaya dan bahasa kita, maka di sini saya ingin mencadangkan agar pihak kerajaan menubuhkan sebuah institut kebudayaan negara persis Institut Yunus Emre Turki dan Institut Goethe Jerman yang mempromosi segala-galanya tentang negara mereka kepada penduduk asing.
Kita boleh sahaja jenamakan institut ini dengan nama Pusat Kebudayaan Za’ba sebagai penghormatan kepada sumbangan beliau dalam dunia sastera negara. Percayalah, dengan adanya Institut kebangsaan seperti ini, kita dapat merealisasikan impian untuk melihat legasi dan pengaruh Malaysia tersebar luas di atas muka bumi ini.
Pusat Kebudayaan Za’ba ini boleh dibuka di beberapa negara tumpuan dan fokus utama adalah untuk membuka kelas bahasa Melayu, membawa filem-filem tempatan yang terpilih masuk ke negara tersebut serta aktiviti-aktiviti kebudayaan. Pusat ini boleh sahaja diletakkan di bawah naungan Kementerian Luar dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pembukaan pusat ini boleh dimulakan di Turki dan Bosnia-Herzegovina, melihatkan keakraban kita selain kedudukan strategik kedua-dua buah negara ini yang terletak di Eropah.
Bukankah kita sendiri tahu akan kewujudan kelas bahasa Melayu di pelbagai universiti di Russia dan China? Mengapa tidak kita selaraskan semuanya di bawah satu payung?
Tahukah bahawa di Bosnia-Herzegovina terdapat dua sekolah yang dibina oleh Malaysia pada 1990-an dahulu? Tahukah bahawa sehingga ke saat ini, bendera Malaysia masih dikibarkan di kedua-dua negara tersebut? Bahkan di bumi Balkan itu juga wujudnya lima Masjid Malaysia! Mengapa tidak kita menggunakan segala aset kita di situ untuk menjayakan impian ini?
Seingat saya, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), maka gunakanlah lapangan terbang ini dengan memasarkan makanan-makanan dan pusat pelancongan negara pada jutaan pengunjung di lapangan terbang tersebut.
KENANG
Selain itu, negara kita ini sentiasa dibanjiri dengan ramai pekerja asing dari Bangladesh, Nepal, Pakistan dan sebagainya dan mereka mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dalam tempoh yang begitu singkat. Namun, saya kurang gemar dengan penggunaan bahasa mereka yang tidak sempurna, asal boleh cakap.
Oleh itu, kita boleh sahaja membuka pusat ini di negara-negara tersebut dan memastikan tenaga-tenaga buruh ini belajar asas bahasa Melayu sebelum dibawa masuk ke dalam negara. Saya pasti ia akan mendapat sambutan yang luar biasa. Kita kalau hendak promosi negara kita, jangan nak pilih bulu. Ada sahaja peluang, kita masuk.
Untuk pengetahuan rakan-rakan pembaca sekalian, pada akhir 2018, sebaik sahaja saya berjaya menamatkan ijazah dalam jurusan Perhubungan Antarabangsa di Universiti Yasar, Izmir, Turki, saya berhijrah pula ke kota Istanbul dan pada Januari 2019, saya telah menubuhkan sebuah Pusat Komuniti Malaysia di Turki (MCCT) dan buat julung kalinya, kelas bahasa Melayu dijalankan di bumi Istanbul.
Alhamdulillah, kelas ini telah berjaya menarik seramai lima pelajar yang terdiri dalam kalangan warga Turki dan warga asing sementara guru yang mengajar pula merupakan pelajar Malaysia di Istanbul. Dengan Pusat Kebudayaan Za’ba, kita boleh ‘mengeksport’ ramai guru-guru kita ke seluruh pelusuk dunia.
Saya telah membuktikan keberkesanan tersebut maka tidak ada lagi alasan untuk kita tidak melaksanakannya. Masyarakat luar sangat berminat untuk menyelami budaya dan bahasa negara kita, oleh itu, ambillah peluang ini dengan serta-merta.
Kita jadikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dijalankan di DBP pada 22 hingga 24 Mei lepas sebagai penerus kepada usaha yang lebih jitu. Pandangan dan nasihat daripada golongan patriotik seperti Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Profesor Kamarul Yusoff dan Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong harus diambil perhatian secara serius.
Saya fikir, Perdana Menteri harus segera mengkaji dan menggerakkan cadangan ini sebelum Parlimen dibubarkan. Biarlah ia menjadi legasi terbesar beliau dan kita berharap agar ia diteruskan oleh pemimpin-pemimpin terkemudian. Tak susah pun sebenarnya untuk kita menjayakan projek ini, cuma hendak atau tidak sahaja. Kalau nak kaji pun janganlah makan masa bertahun-tahun.
Tapi saya amat yakin bahawa Perdana Menteri akan turut mempertimbangkan dan mengkaji secara terperinci cadangan ini. Jasa dan pengorbanan beliau pada negara akan dikenang untuk selama-lamanya. Ayuh kita jadikan negara ini sehebat negara-negara kuasa besar! – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.











