Siapa kata TikTok hanya untuk golongan anak muda? Auntie Purple atau nama sebenarnya Noor Suhaili Mohamed Amin menangkis tanggapan sedemikian. Asalkan kandungan yang dihasilkan itu menarik perhatian ramai, umur bukanlah satu halangan untuk suri rumah ini masuk ke dalam hati warganet.
Bagi anda yang suka warna purple atau ungu ini bolehlah melihat akaun TikTok @auntie248 milik wanita berusia 44 tahun ini. Menarik juga kandungan yang dihasilkannya sehinggakan setiap kali video dimuat naik pasti ribuan orang akan melihat dan menyukainya.
Apa yang menarik mengenai diri anda? Boleh kongsikan.
Saya seorang yang mudah terhibur dan sangat gemar mengembara. Saya juga sangat gemar berfesyen dan bersolek. Selain itu saya juga pernah menjadi Mak Andam pengantin untuk butik pengantin keluarga saya.
Sejak bila berkongsi mengenai diri dan aktiviti di media sosial? Kenapa melakukannya?
Saya mula aktif di TikTok setahun lalu gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya isi masa lapang dengan buat video untuk TikTok. Ia salah satu cara yang saya lakukan untuk menghilangkan kebosanan.
Apa jenis konten yang anda buat?
Saya dikenali dengan nama Auntie Purple kerana meminati warna ungu. Nama ini pun mudah diingati.
Saya mahu dikenali sebagai makcik yang suka edit video tukar-tukar baju. Kandungan saya pula adalah transition bertukar-tukar pakaian, tudung dan OOTD. Kadangkala saya ada juga membuat konten mekap dan memasak.
Bagaimana peranan membantu keluarga Malaysia menjadi lebih baik?
Sekiranya wanita seusia saya boleh belajar membuat editing mudah, apalagi anak muda yang masih segar dan ‘cepat tangkap’ pun boleh belajar juga. Jadi masa dapat diisi dengan belajar ilmu baru yang lebih berfaedah.
Pengalaman tidak dapat dilupakan sejak menjadi TikToker?
Bila ada komen-komen yang mengatakan kandungan saya menjadi inspirasi buat mereka. Saya rasa sangat terharu apabila membaca komen sebegitu.
Pernah terima komen negatif?
Selalunya saya akan abaikan sahaja. Filter komen banyak membantu menapis komen-komen negatif yang kadangkala sukar untuk diterima. Filtered, abai dan tak perlu baca. Itu yang saya lakukan.
Siapa membantu dalam menghasilkan bahan untuk TikTok?
Anak-anak selalu membantu saya. Suami pula sentiasa memberi sokongan.
TikToker membantu pembangunan masyarakat? Bagaimana caranya?
Sekiranya kita memberikan bahan yang berilmu, sedikit sebanyak dapat memberi kesan kepada anak muda khususnya. Tidak semua negatif di TikTok, banyak sisi baik yang boleh di contohi.
Sejauh mana menjadi influencer mengubah kehidupan anda?
Saya masih seorang ibu dan surirumah, cuma masa saya lebih terisi kerana perlu mencari idea dalam menghasilkan konten.
Sampai bila anda akan aktif sebagai TikToker?
Semua maklum media sosial ini bermusim. Insya-Allah selagi diberi kesihatan yang baik dan masih ada yang meminati video-video saya, saya akan terus membuat kandungan.










