UMNO Selangor perlu perubahan

UMNO Selangor perlu perubahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARISAN Nasional (BN) memerlukan perubahan besar terutama dari segi kepimpinan di Selangor sekiranya ingin kembali semula berkuasa di negeri itu.

Sejak kekalahan BN Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 sehingga kini, pucuk pimpinan BN khasnya UMNO negeri itu tidak banyak berubah. UMNO-BN Selangor hanya mengekalkan muka-muka lama ataupun warlords untuk menyaingi parti lawan. Terbukti mereka gagal memenangi pertempuran kerana pelbagai sebab.

Walhal, cara politik hari ini sudah berbeza dan harus berbeza. Tidak boleh letak orang sekadar so-so sahaja. Sebaliknya dia harus menyerlah dan diikutkan kawasan bandar dan elit seperti Selangor mesti menampakkan daya keintelektualannya. Cara percakapan dan tindakan mesti ada ummpp.

Pemimpin UMNO negeri ketika ini tidak meyakinkan, jadi, macam mana hendak menang? Masih lagi berpolitik cara tahun 70-80an.

Politik Selangor berbeza sebab negerinya maju. Bercerita pasal kemajuan dan pembangunan, biasa-biasa tak memadai. Kalau calon tak berilmu akan terserlah kedangkalannya. Calon di Selangor mesti tahu bagaimana hendak naik taraf kemudahan asas yang sedia ada menjadi kelas dunia setaraf negeri maju. Pengangkutan, isu banjir, kesesakan lalu lintas, sistem pentadbiran yang cekap dan good governance, sara hidup serta perumahan rakyat. Calon kena berfikir cara negara maju bekerja.

Adakah kita masih inginkan orang sama mengetuai BN Selangor? Mungkin pemimpin terbabit menyatakan `aku baru sahaja’ mengetuai BN negeri dalam PRU14, padahal yang terajui masa PRU 2013 dan PRU 2018 itu pemimpin lain, ‘bukannya aku’. Ya, betul, setuju, tetapi bukankah ‘kelibat anda sudah lama kelihatan di Selangor sejak dulu, tetapi impaknya tidak ada’.

Di Selangor ketika ini yang pengundinya lebih 50 peratus Melayu terdapat di dalam 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen. Kerusi-kerusi inilah yang menjadi rebutan parti-parti Melayu terutama UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Difahamkan, daripada 37 kerusi DUN tersebut, yang 70 peratus ke atas Melayu ada 18 kerusi; 60-70 peratus (13) dan 50-60 peratus (6). Lebih 70 peratus ini meliputi kawasan-kawasan Sungai Air Tawar, Sungai Ramal, Jeram, Hulu Kelang, Kuang, Sungai Burong, Kota Anggerik, Semantan, Sungai Panjang, Sabak, Selat Klang, Batu Tiga, Morib, Sijangkang, Gombak Setia, Sg. Kandis. Hulu Bernam.

Yang 60 -70 peratus pula merangkumi Paya Jaras, Semenyih, Batang Kali, Taman Medan, Pelabuhan Klang, Permatang, Taman Templer, Bukit Melawati, Lembah Jaya, Dusun Tua, Ijok, Pandan Indah dan Kota Damansara. Baki 50-60 peratus didiami pengundi Melayu pula di kerusi DUN Meru, Seri Serdang, Sungai Tua, Tanjung Sepat, Seri Setia dan Sungai Pelek.

Harus diingatkan waktu ini sudah suram feel-good factor (harapan rakyat begitu tinggi dan optimis mengenai masa depan) nya buat BN. Ini kerana sepatutnya PRU15 dilaksanakan sekitar Mac sebelum Ramadan 3 April atau selepas Hari Raya Aidilfitri 2 Mei berikutan momentum diraih BN selepas pilihan raya negeri Melaka (20 November 2021) dan Johor (12 Mac 2022). Malangnya feel-good factor ini semakin berlalu.

Apatah lagi BN ‘dikejutkan’ dengan DAP dan PKR sudah bingkas bangun, kian bersiap-siaga dengan melakukan pemilihan parti. Pemilihan Anthony Loke dan Rafizi Ramli masing-masing selaku setiausaha agung DAP dan timbalan presiden PKR yang baharu merupakan anjakan perubahan strategi dan taktikal Pakatan Harapan (PH) untuk kembali menjadi kerajaan.

Justeru, BN Selangor jika kekal dengan kepimpinan sekarang, tidak akan ke mana. Baru-baru ini ada mengatakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz paling sesuai bertanding atas tiket UMNO di kerusi Parlimen Kuala Selangor. Malah yang memperkenalkannya sebagai `poster boy BN Selangor ’ ini pula mendakwa lagi kononnya menteri kewangan itu mendapat restu daripada orang istana. Dibimbangi, bukan setakat akar umbi UMNO di Selangor mempersoalkan, tetapi lagi teruk rakyat `menyemak’ balik wibawa orang itu? Ini jika bersandarkan `rekod masa lalu dengan drama tuala mandi dan aksi menjengkelkan’ menerusi pita video yang akan diulang tayangannya ribuan kali dalam kempen PRU15 nanti, bukan bahananya terpalit kepada partikah?

Untuk memastikan insiden berupa penjawat awam dihadiahkan penyapu daripada menteri besar pada 2007 ‘dihukum’ atas kutipan cukai tidak memuaskan tidak lagi berulang, selain diletakkan ‘dua nakhoda’ dalam BN Selangor (2012) serta pada 2018 sampai tiga nama calon sekali gus diusulkan untuk setiap kerusi, BN hakikatnya amat memerlukan bukan sahaja barisan calon pilihan raya yang berwibawa, bahkan perubahan drastik kepimpinannya.

Jangan juga diulangi insiden calon parachute ditampilkan BN di kerusi Parlimen Shah Alam pada 2013 sehingga kalah dengan majoriti lebih 10,000 undi. Apa yang jelas, tempoh hari `poster boy’ yang mahu ditampilkan oleh orang yang beria-ia menjaja namanya, tidak sehaluan dengan hasrat kepemimpinan UMNO dalam menggesa pengeluaran khas i-Citra 2.0 untuk manfaat rakyat. Sedangkan ramai maklum Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 membenarkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP apabila pencarum berdepan dengan krisis kehidupan seperti hari ini. Disebabkan fi’il sedemikian inilah hingga terpaksa pucuk pimpinan UMNO menggunakan kuasa veto dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) demi meluluskan usul i-Citra.

UMNO Selangor perlukan wajah-wajah baharu untuk menggalas cabaran getir BN di Selangor. Nama-nama seperti ahli MKT, Isham Jalil; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Buloh, Ir. Mohd. Izwan Mohd Nor mungkin perlu diberi ruang dan peluang ini.

Kalau diberikan kepada ketua-ketua bahagian sekarang menjadi calon, akan jadi lawak jenaka sebab masih pakai strategi lama menjatuhkan maruah pihak lawan atau pembunuhan karektor. Sedangkan politik matang berlawan dengan hujah, fakta dan idea yang bernas sahaja diyakini rakyat.

Waima apa pun, jika orang Melayu terus berpecah tiga dalam PRU15 nanti, kemungkinan 40 peratus undi Melayu sahaja akan pergi ke BN, 30 peratus untuk Pas dan 30 peratus lagi kepada PH. Bukan Melayu dipercayai solid kepada PH.

Di Selangor, isu setiap kali PRU sejak 2008 hingga 2018 adalah kira-kira 50 peratus kerusi Parlimennya banyak kerusi marginal (komposisi pengundi Melayu dan bukan Melayu sama banyak). Bila Melayu berpecah = kalah.-UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah Penganalisis isu-isu semasa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×