Keadaan penyanyi Justin Bieber yang bahagian kiri wajahnya lumpuh, mata tidak boleh berkelip malah tidak dapat tersenyum atau makan seperti biasa, akibat mengalami Sindrom Ramsay Hunt (RHS) mengejutkan dunia. Sekali gus pendedahan penyanyi berusia 28 tahun itu menyebabkan ramai ingin tahu apakah RHS kerana ia sebenarnya jarang diperkatakan berbanding penyakit lain.
RHS sejenis penyakit jarang jumpa malah ramai yang tidak tahu ia berpunca daripada virus sama yang menyebabkan penyakit cacar air atau chicken pox yang kembali aktif selepas berdekad lamanya.
Pakar Bedah Otorinolaringologi, Kepala dan Leher, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Tengku Ezulia Tengku Nun Ahmad berkata, RHS adalah komplikasi dari jangkitan virus varicella-zoster iaitu virus sama yang menyebabkan cacar air pada kanak-kanak dan kayap (herpes zoster) pada orang dewasa.
“Dalam kes sindrom RHS, virus varicella-zoster yang tidak aktif sebelum ini, diaktifkan semula dan merebak sehingga menjejaskan saraf muka dan mengakibatkan keradangan pada saraf muka atau ganglion saraf kranial VII. Biasanya pesakit akan mengalami lumpuh separuh muka, sakit telinga dan ruam pada telinga atau mulut.
“Selepas jangkitan cacar air hilang, virus ini masih kekal terpendam dalam saraf dan boleh diaktifkan semula di kemudian hari, contohnya pada waktu badan mengalami stres atau rendah imuniti.
Seterusnya, ia boleh membawa kepada herpes zoster iaitu kayap di bahagian badan atau dipanggil sebagai Sindrom Ramsay Hunt apabila melibatkan kelumpuhan muka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
bebeza ikut pesakit.
Gejala RHS berbeza mengikut kes. Pesakit biasanya mengalami lumpuh saraf muka dan ruam yang menjejaskan telinga. Kedua-dua gejala ini biasanya tidak berlaku serentak malah dalam kebanyakan kes, hanya sebelah muka sahaja terjejas.
Otot muka yang mengalami kelumpuhan saraf boleh menyebabkan muka menjadi kaku dan menyukarkan pesakit senyum, berkerut dahi atau menutup mata pada bahagian yang terjejas. Dalam sesetengah kes, pesakit mungkin tidak dapat bertutur dengan jelas.
“Ramai yang keliru dan mengaitkan gejala ini dengan strok atau Bell’s Palsy tetapi kedua-duanya berbeza. Strok adalah keadaan kelumpuhan yang disebabkan oleh penyakit yang menjejaskan pembuluh darah arteri yang menuju ke otak atau di dalam otak itu sendiri.
“Bell’s Palsy tidak ada punca jelas walaupun ia juga menyebabkan kelumpuhan separuh muka. Tetapi peluang sembuh lebih tinggi berbanding RHS,” katanya.
Kebanyakan kes RHS mempunyai ruam kemerahan, menyakitkan, melepuh yang menjejaskan bahagian luar telinga dan selalunya saluran telinga luar. Dalam sesetengah kes, ruam, termasuk lepuh yang menyakitkan, juga boleh menjejaskan mulut, lelangit lembut dan bahagian atas tekak.
TAK KERAP BERLAKU
TIADA data pesakit RHS di Malaysia berikutan sindrom ini tidak kerap berlaku.
Setiap tahun, dianggarkan hanya lima daripada setiap 100,000 orang mendapat RHS dengan lebih kerap berlaku dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai masalah lain seperti stres, rendah imuniti badan, menjalani kemoterapi atau kekurangan zat pemakanan.
Dr. Tengku Ezulia berkata, pesakit mempunyai harapan sembuh sepenuhnya sekiranya mendapat rawatan awal.
“Kira-kira 70 peratus pesakit boleh sembuh sepenuhnya dalam beberapa minggu. Bagaimanapun, pesakit yang mempunyai pelbagai komorbiditi, seperti diabetes, usia tua, tekanan darah tinggi dan lemah imuniti badan, mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih.
“Tempoh rawatan RHS bergantung pada tahap keadaan pesakit dan seberapa cepat mereka menerima rawatan,” katanya.
Rawatan biasanya melibatkan ubat antivirus dan kortikosteroid. Manakala rawatan lanjut diberikan untuk simptom khusus bagi setiap pesakit, seperti ubat tahan sakit untuk mengurangkan sakit neuralgik dan ubat penahan vertigo.
“Pesakit juga perlu mengelakkan kecederaan pada kornea mata. Ini kerana ketidakupayaan untuk menutup mata boleh menyebabkan kornea menjadi kering dan mengalami iritasi benda asing. Sekiranya tidak dirawat dengan betul, ulser kornea dan hilang penglihatan boleh berlaku,” katanya.
Lebih kurang 30 peratus pesakit boleh mengalami komplikasi jangkamasa panjang seperti lumpuh muka kekal dan sinkenesis akibat tindak balas saraf tidak normal.
Pendekatan konservatif termasuk urutan muka dan fisio terapi serta rawatan dengan toksin botulinum boleh membantu mengurangkan komplikasi.
“Secara keseluruhan, peluang pulih lebih baik jika rawatan dimulakan dalam masa tiga hari selepas gejala bermula. Apabila rawatan dimulakan dalam masa ini, kebanyakan orang pulih sepenuhnya. Jika rawatan ditangguhkan selama lebih daripada tiga hari, peluang pulih sepenuhnya adalah tipisk,” katanya yang menjelaskan berbanding dewasa, kanak-kanak lebih berkemungkinan pulih sepenuhnya akibat faktor usia.
TIPS ATASI
Sama seperti kayap RHS berpotensi untuk berulang walaupun jarang berlaku kerana virus itu masih terdapat dalam saraf dan boleh diaktifkan pada masa hadapan.
Dr. Tengku Ezulia berkata, vaksin varicella boleh mengurangkan kemungkinan mendapat chickenpox iaitu punca virus varicella zoster masuk ke saraf dan boleh diaktifkan di masa hadapan.
Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu pernah mendapat cacar air, orang itu berpotensi mengalami pengaktifan semula virus dan dengan itu boleh menghidap salah satu penyakit iaitu kayap dan RHS.
“Sekiranya pesakit mendapat kayap dan atau RHS, pesakit tersebut disyorkan mendapatkan rawatan awal untuk meningkatkan peluang sembuh sepenuhnya dan mengelakkan komplikasi jangka masa panjang,” katanya.
Selain kelumpuhan muka, pesakit RHS boleh mengalami perubahan rasa dan kerosakan pada mata yang menyebabkan kehilangan penglihatan.
Saraf yang tumbuh semula ke struktur yang salah dan menyebabkan tindak balas yang tidak normal terhadap pergerakan, sebagai contoh, senyum menyebabkan mata terpejam, kekejangan otot muka atau kelopak mata.
Pesakit boleh mengalami kesakitan yang berterusan.
Kadangkala virus boleh merebak ke saraf lain, malah ke otak dan saraf tunjang. Keadaan ini boleh menyebabkan pesakit mengalami kekeliruan, mengantuk, sakit kepala, lemah anggota badan dan sakit saraf.









