Russia bukan punca krisis makanan global

Russia bukan punca krisis makanan global

NAIYL M. LATYPOV
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW dituduh sebagai punca krisis makanan global berterusan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), FAO

Harga makanan dunia dilaporkan susut pada Mei selepas mencatat lonjakan pada Mac lalu. 

Indeks harga makanan FAO yang mengukur dagangan komoditi makanan global berada pada kadar 57.4 peratus bulan lalu.

Apakah benar operasi khas ketenteraan Russia adalah punca utama atau Barat yang sebenarnya perlu bertanggungjawab terhadap isu ini? 

Wartawan Utusan Malaysia C.SHEILA RANI dan MUHAMMAD HASIF IDRIS bersama jurugambar AMIR KHALID mendapatkan gambaran sebenar mengenai konflik tersebut. 

Ikuti pandangan Duta Besar Russia di Malaysia, Naiyl M. Latypov semasa ditemu ramah di kediaman rasminya di Jalan Ampang. 

UTUSAN MALAYSIA: Apa pandangan anda mengenai dakwaan konflik antara Russia di Ukraine mencetuskan krisis makanan global ?

LATYPOV: Ini adalah propaganda Barat semata-mata kerana mereka sering menyalahkan Russia untuk semua perkara.

Sedangkan, krisis makanan sudah lama berlaku dan bukan muncul pada tahun ini sahaja.

Dua tahun lalu, PBB pernah memberi amaran mengenai krisis makanan di peringkat global.

Kenaikan harga makanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini didorong akibat pandemik Covid-19.

Bila krisis itu bermula ?

WARTAWAN Utusan Malaysia menemu rumah Latypov di kediaman rasminya di Jalan Ampang.

Simptom pertama krisis makanan ini muncul pada 2020.

Pada ketika itu, kita dimaklumkan ia merupakan situasi berbahaya terutamanya semasa pandemik yang menyebabkan semua rantaian logistik dihentikan.

Kenaikan harga makanan direkodkan pada tahun 2020. Indeks harga makanan (FFPI) FAO melonjak 50 peratus antara 2019 dan 2022. Jadi, peningkatan ini jelas berlaku sebelum operasi khas tersebut.

Tidak adil sama sekali untuk menyalahkan Russia bagi krisis makanan tersebut.

Misalnya gandum, berdasarkan data Bursa Saham, harga komoditi itu meningkat 25 peratus pada 2021 kerana pandemik Covid-19.

Malah, sebelum Februari lalu, harga gandum sudah mencecah 31 hingga 62 peratus lebih tinggi daripada purata untuk lima tahun sebelumnya.

Sebelum operasi ketenteraan Russia, harga tanaman jagung melonjak 162 peratus sejak dua tahun lalu, manakala biji sawi sebanyak 175 peratus.

Jadi, ini bukan salah kami kerana sekatan dikenakan oleh Barat ke atas Russia yang mempengaruhi sektor makanan. Ini adalah situasi hipokrit.

 Bagaimana dakwaan Russia yang melarang Ukraine mengeksport gandum sebelum ini?

Ukraine boleh mengeksport gandum melalui pelabuhan di Laut Hitam, namun mereka tidak dapat berbuat demikian kerana pelabuhan itu dipenuhi dengan periuk api yang diletakkan oleh tentera negara itu sendiri.

Ukraine boleh meminta kapal kargo mengeksport bekalan itu, kami memberi jaminan kapal itu akan masuk dan meninggalkan pelabuhan dengan selamat.

Perkara itu boleh berlaku sekiranya Ukraine mengeluarkan semua periuk api yang diletakkan oleh pihak mereka sendiri. Jika negara itu berbuat demikian, mereka bebas mengeksport apa sahaja pada bila-bila masa.

Kyiv juga mempunyai pilihan lain untuk mengeksport gandum iaitu melalui Belarus.

Tempoh perjalanan dari Ukraine ke Lautan Baltik adalah tidak terlalu lama, mereka masih boleh mengeksport menggunakan laluan itu. Jadi, apa masalahnya?

Ukraine enggan melakukannya kerana ingin mencipta `krisis makanan buatan’, itulah satu-satunya cara untuk memburukkan Russia.  

Dalam situasi ini, Ukraine mempunyai dua pilihan sama ada mereka mengeluarkan segala periuk api diletakkan di kawasan pelabuhan atau mengeksport melalui Belarus kerana jauh lebih murah berbanding menghantarnya ke Eropah.

Russia tidak terancam dengan pelbagai sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah dan negara Barat?

Rusia telah hidup dalam ‘rejim sekatan’ dalam tempoh masa yang lama. Kami hilang kepercayaan terhadap rakan-rakan dari Barat sejak sekian lama.

Ini berlaku pada 2014, menerusi sekatan ‘Crimea’ yang diperkenalkan sebagai tindak balas terhadap ekspresi bebas kehendak penduduk di wilayah itu.

Sejak itu, kami mula bergantung pada kekuatan sendiri, terhadap kenalan dan hubungan dengan rakan kongsi yang boleh dipercayai sehingga menjadi sebuah negara pertanian utama.

Di Eropah, taraf hidup semakin merosot, inflasi meningkat, dan kadar pertumbuhan ekonomi semakin perlahan.

Penduduk Barat bukan sahaja mengalami masalah kenaikan harga, tetapi ramai yang berisiko kehilangan pekerjaan dan dibelenggu kemiskinan.

Sedangkan, pada masa sama, puluhan bilion dolar dan euro dibelanjakan bagi bekalan senjata ke Ukraine.

Apakah keutamaan pemimpin Barat yang langsung tidak mengambil kira kepentingan bangsa sendiri?

Rangkaian McDonalds dan Starbucks umum tutup operasi. Bagaimana Russia berhadapan dengan pengumuman itu?

Russia akan mempunyai beberapa rangkaian restoran makanan segera sendiri tidak lama lagi dan pengambilan pekerja baharu sedang dijalankan. Ia seperti McDonalds tetapi versi Russia.

Saya akui sudah tentu ia merupakan kesusahan kepada ekonomi Russia apabila banyak jenama besar seperti Starbucks dan McDonalds menutup operasi.

Namun, jika difikirkan semula, Russia sebenarnya sudah pun mempunyai rangkaian restoran makanan segera tempatan yang agak sama sebelum ini.

Sebelum tahun 1990, tiada McDonalds di Russia dan rakyat makan di restoran makanan segera tempatan.

Rakyat Russia masih boleh hidup tanpa McDonalds dan Starbucks.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya