Pesakit endometriosis perlu sokongan orang ramai - Utusan Malaysia

Pesakit endometriosis perlu sokongan orang ramai

MyEndosis merapatkan diri dengan masyarakat dengan mengadakan pelbagai program termasuk kempen kesihatan di sekolah menengah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Tindakan paling bermakna yang boleh diambil oleh seseorang wanita ialah menyayangi diri sendiri, menyerlahkan keperibadian dan membuktikan keupayaan kepada mereka yang tidak pernah mempercayai kebolehannya.”

Begitulah ungkapan yang menjadi moto utama Persatuan Endometriosis Malaysia (MyEndosis).

Bercerita kepada Utusan Malaysia, Presiden MyEndosis, Surita Mogan, MyEndosis merupakan badan bukan kerajaan diterajui segelintir aktivis yang berani, bersungguh-sungguh dan berdedikasi menyahut cabaran menerajui perjuangan menuntut kesaksamaan untuk wanita yang menghidap endometriosis.

“Setiap tahun ramai wanita menderita akibat endometriosis. Malangnya, rakyat Malaysia secara umumnya tidak mengetahui mengenai penyakit itu dan bagaimana ia berlaku. Sebab itu kita perlu sentiasa mempromosi penyakit ini,” katanya.

Endometriosis berlaku apabila sel endometrium dari rahim berkembang di kawasan lain dalam tubuh wanita. Ia boleh menyebabkan kesakitan, pendarahan yang tidak teratur dan kemandulan.

Surita berkata, ramai wanita lewat mendapatkan rawatan, disebabkan kurangnya kesedaran dan wujudnya ‘pantang larang sosial’ dalam memperkatakan mengenai penyakit itu dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Realiti yang perlu kita ketahui, endometriosis bukan sahaja memberi impak kepada keadaan fizikal dan sosial individu, malah turut memberi impak terhadap mental wanita terutama ketika kehidupan mereka berada pada tahap produktif,” katanya.

Berkongsi pengalaman berdepan penyakit endometriosis tahap empat selama lebih 20 tahun, Surita berkata, persatuan MyEndosis sentiasa berusaha mewujudkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai penyakit itu.

“MyEndosis bermatlamat menyatukan wanita yang mengalami penyakit itu dan menyokong mereka mengambil pendirian terhadap endometriosis.

“Amat penting untuk wanita berada dalam satu kumpulan yang mana setiap orang boleh menjiwai kesakitan emosi dan fizikal mereka.

“Kami mahu menamatkan kesunyian dan mahu ia bukan sahaja menjadi isu wanita. Wanita dengan endometriosis adalah isteri, ibu, kakak, pekerja dan majikan. Ini sebenarnya satu isu masyarakat yang perlu ditangani,” katanya tegas.

Dalam usaha menyebarkan kesedaran, persatuan turut bersatu di bawah laman Facebook Endomarch Malaysia dan kumpulan Facebook MyEndosis selain menganjurkan acara pada Mac setiap, iaitu bulan kesedaran mengenai Endometriosis di 52 negara.

“Kami mahu menjalin hubungan erat dalam kalangan penghidap endometriosis dan penyedia penjagaan kesihatan. Selain itu, mencetus tindak balas positif terhadap rawatan penjagaan kesihatan endometriosis.

Ajak suami pesakit jadi ahli
Walaupun MyEndosis mengkhususkan wanita yang menghidap endometriosis, Surita tidak mengehadkan keahlian kepada pesakit sahaja.

“Kami membuka keahlian kami kepada semua yang ingin menyertai persatuan kami termasuk kaum suami.

“Harapan saya ialah supaya kesedaran tentang endometriosis berleluasa dan persepsi orang akan tukar. Persepsi yang perlu tukar ialah endometriosis bukan senggugut biasa.

“Nasihat saya kepada wanita, sentiasa buat pemeriksaan kesihatan dan jangan malu melawat doktor sakit puan. Kalau sakit itu sangat teruk hingga membataskan anda untuk keluar bekerja dan berinteraksi dengan lain, maksudnya ia tidak normal,” katanya.

BANGUN LAMAN
Myendosis baru-baru ini bekerjasama dengan Bayer Co. (M) Sdn. Bhd dan DoctorOnCall bagi membangunkan laman web telekesihatan khusus untuk masalah endometriosis.

Pengguna kali pertama yang melayari laman telekesihatan endometriosis tersebut atau wanita yang tiada pengetahuan tentang endometriosis digalakkan menjalankan analisis risiko endometriosis dengan menjawab 25 soalan kuiz di platform DoctorOnCall untuk mengetahui risiko endometriosis.

Jika memperoleh markah yang tinggi, itu menunjukkan kebarangkalian mereka menghidap endometriosis. Bagi individu yang mendapat markah 11 dan ke atas, mereka dinasihatkan mengadakan perundingan telekesihatan dengan pakar obstetrik dan ginekologi di DoctorOnCall.

Surita berkata, platform telekesihatan tersebut sangat penting untuk mendidik dan berkongsi maklumat kepada wanita mengenai endometriosis.

“Laman ini turut menggalakkan wanita mendapatkan rawatan awal dan maklum akan keadaan kesihatan mereka,” katanya.

Ini kerana selain menghadapi kos rawatan perubatan dan pembedahan yang tinggi, masalah endometriosis juga membawa kesan-kesan lain kepada kaum hawa seperti menghadapi kesusahan untuk mengekalkan kehidupan sosial dan kerjaya mereka.

Keadaan tersebut turut menyebabkan kesihatan fizikal dan mental terjejas.

Wanita yang kurang pemahaman dan ketidakpastian mengenai endometriosis akan berasa lebih terbeban dengan kesihatan jika terlewat diagnosis.

“Melalui laman ini, wanita akan lebih mudah mendapat nasihat pakar tentang endometriosis. Mereka hanya perlu menggunakan telefon mudah alih dan dapat berhubung dengan pakar obstetrik serta ginekologi dalam panel DoctorOnCall untuk terus mendapat nasihat.

“Ia selaras dengan objektif kami untuk memberi sokongan dan bantuan kepada pembekal penjagaan kesihatan supaya pesakit boleh mendapatkan rawatan diperlukan pada peringkat awal,” ujarnya.

‘Pengalaman sakit gerakkan hati saya’
Pengalaman menghidap penyakit tersebut menggerakkan hati Surita membantu wanita yang menghidap endometriosis.

Katanya, pada 2001 dia didiagnosis menghidap penyakit itu oleh pakar sakit puan dan sejak itu hidupnya berubah.

“Saya mengalami kesakitan teruk sehingga boleh muntah dan kadang-kadang pengsan. Pengalaman yang paling teruk ialah meyakinkan orang di sekeliling bahawa saya dalam kesakitan,” katanya.

Wanita ini bagaimanapun tidak pernah berputus harap. Disahkan hamil sekali lagi pada 2004 dan anak perempuannya itu dilahirkan pramatang kerana mengalami pendarahan pada usia kandungan 34 minggu.

“Ia suatu pengalaman menakjubkan. Ia menunjukkan saya boleh hamil walaupun mempunyai endometriosis tahap empat.

“Sejak anak perempuan saya dilahirkan, saya menjalani empat pembedahan laparoskopi untuk membuang sista. Pada Januari 2010, saya menjalani pembedahan dan enam bulan berikutnya saya hamil lagi.

“Tidak pernah menyangka saya bernasib baik. Bagaimanapun, pada usia kandungan lima bulan, saya mengalami masalah,” katanya.

Pengalamannya endometriosisnya tidak berakhir di situ. Pada 2012 Surita disahkan mempunyai tumor pada ovari kiri dan terpaksa menjalani satu lagi pembedahan untuk membuang tumor, ovari kiri dan tiub fallopia.

“Pelbagai kaedah rawatan daripada moden dan tradisional dicuba. Buat masa ini saya mengambil pendekatan melihat tindak balas badan saya kepada ubat-ubatan ini,” katanya.
Surita menasihatkan wanita menjalani pemeriksaan kesihatan dan jangan malu berjumpa dengan doktor sakit puan.

“Sakit akibat endometriosis sering disalah tafsir sebagai kesakitan haid sedangkan tidak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN