SEJAK pandemik Covid-19 melanda negara, aktiviti berbasikal merupakan antara hobi yang semakin menjadi kegemaran dalam kalangan warga kota.
Sukan tersebut bukan sahaja menarik minat kesemua lapisan masyarakat bahkan golongan selebriti tanah air juga tidak terkecuali menunjukkan minat mereka dalam berbasikal.
Tidak kira hujung minggu atau selepas waktu bekerja, pasti ramai yang dilihat mengambil kesempatan untuk berbasikal bersama rakan, keluarga mahu pun bersendirian dengan menelusuri kawasan-kawasan tumpuan terutamanya taman rekreasi awam.
Di Lembah Klang khususnya, terdapat pelbagai lokasi menarik yang menyediakan kemudahan dan laluan berbasikal serta menyajikan pemandangan yang indah.
Terbaharu, Lake Cabin yang terletak di Pit Stop @ Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya merupakan lokasi wajib yang perlu dikunjungi kaki basikal.
Mula beroperasi sejak 25 Mei, Lake Cabin adalah sebuah premis dua tingkat dengan reka bentuk ala kontena yang menempatkan kedai basikal Qayoh dan Plan A serta sebuah kafe kopi, BOXKL.
Bagi pengunjung yang tiada basikal, tidak mengapa kerana kedai basikal Qayoh di sini menawarkan perkhidmatan sewaan manakala peminat aktiviti tersebut juga boleh cuci mata melihat basikal dan peralatan yang dijual di Plan A. Sebelum memulakan kayuhan, pengunjung boleh mengisi perut dengan mengunjungi BOXKL yang menyajikan menu menarik serta pelbagai jenis pilihan kopi sambil menikmati pemandangan di situ.
Naib Presiden Kanan Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadhlun Mak Ujud berkata, premis berkenaan bermatlamat menjadi nilai tambah kepada pembangunan di Putrajaya sebagai bandar rekreasi dengan menawarkan kemudahan, ruang dan peluang untuk orang ramai melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal.
“Ia turut merancakkan aktiviti ekonomi setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada belia terutamanya peminat basikal dan yang gemar mengopi,” katanya.
DISKAUN HARGA
Lake Cabin dan aktiviti rekreasi yang bakal dilaksanakan pada masa akan datang diharap dapat meningkatkan lagi daya tarikan di Putrajaya sebagai sebuah bandaraya rekreasi yang dinamik dan moden untuk segenap lapisan masyarakat.
Katanya, pembukaan premis itu sebagai satu lagi inisiatif Pengerusi Trillion Gold Peak Sdn. Bhd., Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin di bawah payung #FNInitiative yang antara lain bertujuan menambah nilai dan membuka potensi pertumbuhan.
Sementara itu, SM Faisal yakin dengan sokongan dan dorongan diterima daripada semua pihak dalam mengetengahkan Lake Cabin.
Bersempena dengan pelancaran Lake Cabin, pengunjung boleh menikmati diskaun sebanyak 15 peratus yang ditawarkan ke atas hidangan makanan dan minuman di BOXKL sehingga Khamis ini.










