Ganti baharu bendera ‘nyawa-nyawa ikan’

Ganti baharu bendera ‘nyawa-nyawa ikan’

GAMBAR bendera lusuh yang dirakamkan sendiri penulis di sebuah taman komuniti, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA berasa cukup sakit hati setiap kali terpandang Jalur Gemilang yang koyak-rabak, kotor dan lusuh berkibaran di pelbagai premis di ibu kota. Lebih menyakitkan hati, kebanyakan premis ini milik orang Melayu.

Sewaktu saya berada di Turki dahulu, saya dapat lihat bendera negara itu berkibaran di merata tempat. Bendera-bendera mereka berada dalam keadaan baik, bersih dan cantik. Kita yang bukan orang Turki pun rasa bangga, seolah-olah kita warganegara berkenaan.

Tapi bila balik Malaysia, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan di hati tatkala melihat bendera kita berkibaran ‘nyawa-nyawa ikan.’ Saya nak tanya pada orang Melayu, tidak pernah nampak bendera-bendera yang ‘jelik’ ini? Tidak rasa bersalah?

Yang saya paling nak tanya adalah ahli-ahli politik Melayu yang memperjuangkan ketuanan Melayu selama ini, Jalur Gemilang tidak termasuk dalam perjuangan memartabatkan bangsa Melayukah?

Saya menyeru kepada kerajaan supaya mewujudkan undang-undang khas dalam mencetak dan mengibarkan bendera Malaysia. Antara cadangan tersebut adalah peniaga atau pengilang harus mendapatkan lesen khas untuk mencetak dan menjual bendera.

Untuk mendapatkan lesen tersebut, mereka harus memastikan kain yang digunakan berkualiti tinggi, iaitu tidak mudah luntur warna, kotor dan koyak. Setiap premis hatta kedai makan sekalipun yang mengibarkan bendera, harus dipastikan ia dalam keadaan baik. Paling penting, setiap enam bulan, bendera wajib ditukar serta-merta dan digantikan dengan yang baharu. Mereka yang tidak patuh pada arahan harus dikenakan denda tinggi atau tidak lagi dibenarkan mengibarkan bendera Malaysia pada masa hadapan.

UNIT KHAS
Kerajaan juga perlu mewujudkan sebuah unit khas untuk memantau premis-premis yang mengibarkan Jalur Gemilang serta mengutip bendera-bendera yang jatuh ke tanah. Bendera-bendera yang sudah rosak harus dikumpulkan dan dimusnahkan.

Masih teringat lagi sewaktu saya menegur sebuah pusat komuniti taman yang di bangunannya terdapat tiga helai bendera Malaysia berkibaran dengan begitu menyayat hati. Kata saya pada mereka, ‘Tuan, tolonglah tukar bendera baharu, teruk sangat ni saya tengok.’

Mungkin tidak pernah ada orang tegur selama ini, mereka tersipu-sipu malu dan apa yang mengejutkan saya, dengan mudahnya mereka menjawab, “Tiada benderalah, tuan.” Sama sekali saya tidak boleh terima alasan sedemikian. Kalau tiada bendera baharu, belilah!

Akhirnya saya sendiri membelikan beberapa helaian bendera Malaysia di kedai yang hanya terletak sejauh lima minit perjalanan dan menyerahkan pada mereka. Alhamdulillah, keesokannya bendera baharu digantikan.

Saya berjalan lagi di taman berkenaan untuk melihat ‘mangsa’ seterusnya. Alangkah terkejutnya ketika saya melihat sebuah premis ‘parti politik’ yang bendera partinya kelihatan lebih cantik dan bersih berbanding Jalur Gemilang yang berkibaran di sebelahnya. Saya serahkan bendera Malaysia yang baru dibeli kepada mereka. Alhamdulillah, keesokannya bendera Malaysia yang lebih ‘segar’ dikibarkan.

Cadangan yang saya lontarkan ini bukanlah sukar untuk dilaksanakan apatah lagi ia berkaitan dengan simbol dan identiti negara. Kepada ahli politik ‘populis’ di luar sana, ambillah isu ini sebagai peluang dan modal untuk anda menaikkan imej diri sendiri di pentas politik. Saya cadangkan mereka buat kempen ‘Hormati Jalur Gemilang’ dengan membeli bendera baharu dan kemudian melawat ke setiap premis untuk menggantikan mana-mana yang sudah lusuh.-UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×