fbpx

DJ Lily elak makan selepas pukul 7 malam

Lily Khalid rajin minum air kosong dan jaga pemakanan.

Bagi pendengar radio di selatan tanah air, suara deejay Lily Khalid pasti sudah biasa didengari. Memiliki suara yang sedap didengar satu kelebihan yang diberikan oleh Tuhan.

Namun apabila ditambah dengan wajah yang cantik dipandang pasti menambah tuah buat penyampai radio Johorfm ini.

Sebagai wanita pasti ada cara tersendiri dilakukan bagi menjaga kecantikan, tidak kiralah luaran mahupun dalaman. Bagi Nur Illiyina Khalid, penjagaan dalaman dan luaran perlu seimbang.

“Sejak dulu lagi saya akan pastikan ada pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu harian. Saya suka ulam-ulaman sebab ia boleh dikatakan sebagai penambah selera setiap kali makan,” katanya kepada Seri.

Bagi Lily cantik bermaksud luaran dan dalaman yang sihat. Itu termasuklah daripada segi rohani dan mental.

Memulakan kerjaya sebagai penyampai radio apabila mencuba nasib dalam pencarian deejay di sebuah radio swasta. Nasibnya amat baik apabila diserap sebagai deejay sambilan, sehinggalah dia diterima sebagai penyampai radio sepenuh masa di Johorfm.

Pencapaian terbaiknya apabila mula berjinak-jinak dengan dunia penyiaran melibatkan TV.

Sebagai penyampai radio pastilah suara menjadi aset penting buat Lily.

“Saya tidaklah terlalu menjaga suara. Kalau rasa macam hendak sakit tekak, saya tidak akan mengambil makanan pedas walaupun sedikit. Selain tidak minum ais, saya lebihkan pengambilan air suam,” katanya.

Bagi wanita berusia 33 tahun ini lagi, air kosong turut diamalkan dalam menjaga kecantikannya.

“Memang kalau difikir secara rambang agak susah untuk mendapatkan lapan gelas air sehari, tetapi kalau kita cuba susun satu gelas untuk diminum setiap kali kita melakukan aktiviti seharian pasti kita boleh melakukannya.

“Jika hendak mudah lagi sediakan satu botol besar air kosong setiap hari dan bawa ke mana sahaja kita pergi. Pasti kita akan ingat untuk menghabiskannya jika kita tahu kelebihan mengambil air kosong,” katanya.

Elak makan selepas jam 7
Memastikan tubuh langsing, dia mengamalkan tabiat pemakanan sihat. Cara dilakukan adalah mudah iaitu makan sebanyak mana pun tetapi kurangkan makan pada waktu malam.

“Seboleh-bolehnya ambil makan malam sebelum pukul 7 malam. Selain itu, jangan lupa untuk mengeluarkan peluh. Jika tidak sempat bersenam cukuplah dengan membuat kerja di rumah.

“Hendak lagi seronok selalulah window shopping sebab ia melibatkan kita berjalan tanpa kita sedar kadar jarak dan masa yang diambil,” katanya.

Lily menjelaskan dalam seminggu, dia akan cuba berbasikal di dalam rumah sebanyak dua kali. Selebihnya aktiviti kecergasan lain yang dilakukan semuanya bergantung pada kerja di rumah dan aktiviti fizikal yang melibatkan jalan kaki.

Tidak berkenan dengan pembedahan kosmetik
Apabila mahu cantik ada antara wanita mahupun lelaki yang melakukan jalan singkat dengan melakukan pembedahan kosmetik dan sebagainya. Ditanya kepadanya soal ini, ternyata Lily tidak setuju dengan cara tersebut.

“Saya tidak berkenan dan akan melarang sekerasnya jika ada ahli keluarga yang ingin melakukannya. Pada saya, syukurlah dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan. Setiap wanita ada kecantikan sendiri. Apa yang penting perlulah yakin kepada diri sendiri.”

Akui Lily dirinya tidaklah sesempurna mana dan sebab itu dalam perihal penjagaan wajah, dia amat mengambil berat penjagaan bawah mata.

“Bahagian bawah mata itu saya amat jaga kerana ia kawasan yang sensitif. Ditambah, kalau saya lewat tidur memang cepatlah mata jadi seperti mata panda,” akuinya tanpa malu.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!