Cerai: Bantu anak urus mental dan emosi - Utusan Malaysia

Cerai: Bantu anak urus mental dan emosi

Abdul Razak Abd. Manaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penceraian bukan sahaja mengganggu mental dan emosi pasangan tetapi turut memberi kesan terhadap anak-anak. Perpisahan antara kedua ibu bapa membawa impak kepada anak melalui perubahan struktur keluarga dan aktiviti harian yang mungkin tidak sama lagi seperti sebelumnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abd. Manaf bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada keadaan sesebuah keluarga sebelum penceraian berlaku.

“Sekiranya sebelum penceraian keadaan keluarga sememangnya sudah tidak bahagia atau banyak berlaku konflik, mungkin anak-anak merasakan penceraian itu sebagai satu bentuk kelegaan dan keluar daripada masalah.

“Bagi pasangan yang sembunyikan konflik dan permasalahan daripada anak-anak dan kemudiaan bercerai, ia akan membentuk masalah emosi dan perkembangan terutamanya bagi anak-anak yang masih kecil,” katanya kepada Seri.

ENAM TUGAS
Ibu bapa perlu membantu anak-anak menangani kejutan emosi tersebut supaya ia tidak memberikan kesan negatif dewasa kelak.

Ada enam tugas perkembangan yang perlu dilaksanakan oleh anak-anak yang mengalami keretakan keluarga bagi mengendalikan emosi dengan cara yang lebih baik.

Antaranya katanya, anak-anak tetap perlu menerima kenyataan bahawa ibu bapa tidak lagi bersama dan meneruskan kehidupan kerana pada awalnya anak-anak akan mengalami proses menidakkan kenyataan.

Selain itu, mereka juga perlu menjarakkan diri daripada konflik antara ibu bapa supaya boleh menjalani kehidupan seperti biasa tanpa sebarang tekanan yang tidak perlu.

“Anak-anak juga perlu menyelesaikan kehilangan yakni dengan kata lain perlu melupakan kehilangan yang mereka alami seperti tinggal berasingan dengan ibu atau bapa dan lupakan rutin lama bagi memudahkan mereka memulakan rutin baharu.

“Mereka juga perlu menyelesaikan kemarahan dan tidak menyalahkan diri sendiri atas penceraian tersebut serta menerima kemungkinan besar bahawa ibu bapa tidak akan kembali bersama,” ujarnya.

Tambahnya, kanak-kanak perlu memahami bahawa penceraian ibu bapa tidak akan menyebabkan pengaruh buruk apabila mereka dewasa kelak.

Oleh itu, tegasnya peranan ibu bapa sangat penting dalam memastikan perbincangan terbuka dapat dilakukan bersama anak-anak sebelum penceraian berlaku.

Ibu bapa turut disarankan melupakan permusuhan dengan bekas pasangan dan bersama-sama membantu mengendalikan mental dan emosi anak-anak demi kesejahteraan bersama.

“Paling penting adalah menunjukkan emosi dan psikologi yang baik kepada anak dan tidak memberikan pengaruh buruk yang akan menambahkan kesan tidak baik kepada perkembangan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN