KITA meminjam dunia hari ini daripada generasi masa depan kerana selepas kita menghembuskan nafas terakhir, mereka yang bakal mewarisi bumi bertuah ini. Jika ingin melihat rupa generasi masa depan dari segi fizikal dan spiritual, lihatlah bagaimana kita menyediakan mereka untuk menghadapi era tersebut.
Baru-baru ini, keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menyaksikan seramai 9,696 daripada 407,097 calon mendapat semua A dan 1,655 calon gagal. Soalnya, adakah ia petunjuk terbaik bagi menggambarkan sistem pendidikan berada di landasan betul bagi mewujudkan bijak pandai yang berkaliber memimpin negara?
Dalam pada itu, jumlah pelajar yang mendapat beberapa A, B, C, D dan lain-lain mencatat jumlah ratusan ribu. Apa yang dibimbangi, pendidikan yang patut menjadi aset tetap ini tidak dimiliki oleh sekelompok calon SPM 2021.
HILANG
Kementerian Pendidikan digesa segera melakukan pascanilai bagi mengetahui punca 10,681 calon SPM 2021 yang berdaftar tidak menghadiri peperiksaan penting itu. Pelajar yang ‘hilang’ itu membabitkan calon sekolah dan persendirian yang kali pertama mendaftar untuk SPM serta mengambil lebih enam mata pelajaran.
Kerajaan sewajarnya mencari jalan bagi memastikan calon hilang ini dapat meneruskan pendidikan tidak kira bidang akademik mahupun kemahiran.
Jika ada peluang untuk mereka kembali menduduki SPM 2022, sebaiknya diberikan memandangkan situasi endemik yang membolehkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) diteruskan secara bersemuka.
Ini disebabkan pendidikan menjadi bekal kepada generasi muda menjana pendapatan untuk melayari kehidupan. Kita tidak mahu generasi tercicir menjadi liabiliti semasa untuk dibantu oleh kerajaan pada masa depan.
Bukan niat untuk memperlekehkan, jika boleh mengubah nasib generasi muda dengan pendidikan terbaik, insya-Allah mereka menjadi warganegara berguna bukan sahaja untuk 20 tahun akan datang tetapi selama-lamanya. Bantulah golongan tercicir ini agar mereka dapat membangunkan negara bersama pelajar cemerlang dalam kapasiti tersendiri.-UTUSAN










