Beza usia tak halang Siti dan suami kecap bahagia - Utusan Malaysia

Beza usia tak halang Siti dan suami kecap bahagia

Perbezaan umur bukan penghalang kebahagiaan Siti Zahawi dan suami.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ragu-ragu dan tidak yakin dengan lelaki yang lebih muda daripadanya, membuatkan Siti Zahawi Mohd. Nasir pernah cuba mengelak daripada suaminya, Ahmad Mukhsin Khir Johari suatu ketika dahulu.

Manakan tidak, perkenalan yang berlaku hanya di Wechat menguatkan lagi keraguan dalam hati Siti ditambah pula suaminya pada ketika itu baharu berusia 25 tahun manakala dia 40 tahun.

Namun benar kata pepatah, kalau sudah jodoh tidak ke mana. Sejauh mana pun dia mengelak suaminya tetap mengejar tanpa mengenal erti putus asa.

Kesungguhan tanpa mengenal lelah itu sedikit sebanyak membuka hatinya untuk jejaka berkenaan walaupun cinta masih belum berputik ketika itu.

“Kami tak pernah bercinta, berkenalan pada awalnya melalui media sosial iaitu WeChat. Memang tidak pernah terfikir akan berkahwin dengan lelaki lebih muda.

“Tetapi suami saya jenis tidak mudah berputus asa. Walaupun saya tidak melayan dan sering memberikan bermacam-macam alasan, dia tetap setia menelefon saban hari.

“Hingga suatu hari dia bawa ayahnya datang beraya ke rumah saya dan kami berkenalan secara bertentang mata buat pertama kalinya dan membuat keputusan untuk bernikah selepas itu,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama jejaka itu pada 2018 lalu.

MANIS CINTA LEPAS KAHWIN
Perkenalan singkat pada tahun 2018 dan berkahwin juga pada tahun yang sama dianggap bukan keputusan yang terburu-buru dalam hidupnya.

Bagi Siti Zahawi, bercinta selepas kahwin lebih indah dan lebih mudah bagi mereka untuk mengenali hati budi masing-masing.

Malah, sikap suaminya yang matang dan penyayang membuktikan kepada Siti bahawa umur bukan penentu kematangan sebaliknya sikap dan peribadi seseorang itu sendiri.

“Pada pendapat saya sebagai seorang isteri, kematangan tidak bergantung pada umur kerana umur yang tua belum tentu matang dan begitu juga sebaliknya.

“Sepanjang perkahwinan kami yang sudah memasuki empat tahun ini, suami menguruskan rumah tangga dengan sangat baik dan kami akan berkongsi pendapat masing-masing tentang perkara yang perlu di lakukan,” ujarnya.

Ditanya mengenai keberanian mengambil risiko bersuamikan lelaki muda, ibu enam anak itu berkata dia yakin semuanya telah ditakdirkan.

“Saya terima dia dengan seadanya. Saya harap dia juga boleh terima saya seadanya dan dia boleh jadi suami yang baik dan boleh membimbing saya,” katanya yang pernah berkahwin sebelum itu.

Bagi Ahmad Mukshin pula, dia sememangnya menginginkan pasangan hidup yang lebih berusia daripadanya.

Sikap jual mahal Siti Zahawi pada awal perkenalan, menyuntik lagi keinginan anak kelahiran Taiping, Perak itu untuk menyuntingnya sebagai isteri.

“Dia seorang yang sukakan cabaran dan sentiasa mencari masalah dan kemudian menyelesaikannya sendiri.

“Dalam erti kata lain, dia memang menyukai wanita yang lebih berusia daripada umurnya,” kata Siti Zahawi bagi pihak suaminya.

PERSEPSI NEGATIF
Bagaimana pun, wanita asal Lekir, Perak itu tidak menolak terdapat persepsi dalam kalangan masyarakat sekeliling apabila dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan lelaki muda.

Namun, semua tanggapan negatif dan tentangan itu dibiarkan seperti angin lalu sahaja kerana dia dan suami tahu perkara yang mereka lakukan tidak salah di sisi undang-undang atau pun agama.

Katanya, apabila mereka mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan maka lama-kelamaan keluarga dan masyarakat yang menerimanya secara sendiri.

“Pandangan setiap keluarga dan masyarakat adalah berbeza kerana mereka sendiri pastinya ada pandangan yang tersendiri tetapi bagi keluarga kami, mereka bersetuju.

“Walaupun ada yang kurang bersetuju pada awal pernikahan kami tetapi alhamdulillah sekarang sudah bersetuju,” katanya.

TANGGAPAN SALAH
Tidak menolak bahawa terdapat banyak tanggapan terhadap isteri yang lebih berusia yang pernah didengarinya.

Antaranya ialah isteri yang lebih berusia daripada suami dikatakan sering tidak hormat kepada suami kerana dianggap masih mentah dan kebudak-budakan.

Tetapi Siti Zahawi dengan tegas menyangkal dakwaan berkenaan yang disifatkan tidak benar sama sekali.

“Bagi saya tanggapan itu salah, kita tetap kena hormat tak kira umur muda atau tua kerana syurga bawah tapak kaki suami,” ulasnya yang berniaga secara dalam talian.

TOLERANSI & SABAR
Berkongsikan pengalaman berkahwin dengan pasangan yang mempunyai perbezaan umur yang jauh, kata Siti, dia tidak pernah jemu untuk mengajar suaminya mengenai selok-belok rumah tangga memandangkan dia lebih berpengalaman.

Mujur, suaminya juga ada inisiatif untuk belajar sebelum berkahwin membuatkan dia sedikit sebanyak sudah tahu menguruskan rumah tangga dengan baik.

“Bila bernikah suami muda, banyak benda yang kita kena ajar dan banyak benda yang kita kena tegur.

“Macam suami saya sebelum bernikah dia dah belajar jadi banyak benda yang dia faham dan dah pelajari,” ujarnya.

Selain itu katanya, dia juga belajar untuk menjadi lebih sabar dan bertoleransi supaya mahligai yang dibina tetap kukuh di tempatnya.

“Soal ego biasa lah umur muda, ego mesti lah tinggi. Jadi kita sebagai isteri tegur mana yang patut.

“Misalnya, saya sering nasihatkan suami jika rasa sayangkan berkahwinan ini, sayang kan anak yang umur setahun lebih (anak bersama suami kini) buang lah ego itu. Maksudnya, kita tegur cara baik,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×