BAKAT remaja Syafi Tee ini dicungkil bermula uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2019) dan kemunculan drama pertamanya ialah Tuan Danial.
Selepas membintangi drama tersebut, namanya mula menjadi perhatian industri hiburan tempatan. Bahkan menjadi bualan di bibir pengarah dan produser.
“Masa mula berlakon, ada yang label saya sebagai kayu. Sedar kekurangan itu, saya mengambil pendekatan mengikuti kelas intensif dengan pelakon hebat iaitu Fauziah Nawi,” katanya.
Syafi Tee atau nama penuhnya Mohd. Syafi Mohd. Ridhuan Tee, 29, baru sahaja habis dengan penggambaran drama rantaian Tua Separuh Muda untuk siaran saluran RTM.
Anak kepada pendakwah terkenal ini pernah membintangi drama Romantika 4 Hari 3 Malam di mana watak dan perwatakannya agak mengundang kecaman penonton.
Mana tidaknya, penonton pastinya meletakkan syarat anak pendakwah seharusnya memainkan watak yang baik-baik sahaja. Menerusi drama itu lakonannya seorang yang nakal.
“Saya sentiasa berjaga-jaga dalam industri sebab bapa seorang pendakwah. Walau bagaimanapun, ayah tidak kisah bidang mana pun, yang penting jaga diri,” ujarnya.
Terasa kerdil
Terdahulu, nama Syafi Tee hangat menjadi perbualan di media sosial di mana dia dilihat terbabit dalam satu pertunjukan memperagakan koleksi pakaian pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat pada Februari lalu.
Mengulas mengenai pembabitan itu, Syafi terbuka untuk mencuba pelbagai bidang hiburan.
“Peluang hadir hanya sekali? Mana tahu satu hari nanti dapat bergelar model Malaysia pula. Sebenarnya itu adalah acara fesyen pertama kali yang saya ceburi.
“Secara peribadi saya rasa amat berbangga dengan diri sendiri bila dapat memperagakan koleksi pereka fesyen terkenal dan disegani. Rasa seronok juga bila sebaris dengan selebriti Naim Daniel dan model-model lain, rasa kerdil pun ada sebab ketinggian saya hanya 174 cm sahaja.
“Menyentuh tentang perasaan malu ini, saya memang seorang yang pemalu. Ada juga rasa gementar waktu itu tetapi dalam 10 langkah saya sudah rasa selesa dan timbul rasa yakin,” kongsinya sambil tertawa kecil.
Bisnes hartanah
Selain aktif berlakon Syafi juga sedang berjinak-jinak dalam bisnes hartanah. Kongsi pelakon ini, dia seorang yang tidak berapa gemar dengan bisnes yang menuntut dia untuk melakukan penjualan barangan secara langsung.
Namun disebabkan perkembangan sihat dalam bidang hartanah ketika pandemik, dia menyahut cabaran dan peluang yang dilihat mampu memberi pendapatan sampingan yang berterusan.
“Ikutkan saya ini tak suka nak buat bisnes sebab jumpa orang untuk sasaran barang itu mesti terjual. Jadi saya memilih untuk fokus pada bidang hartanah.
“Secara peribadi, masa PKP sebenarnya memberi peluang cerah untuk pembeli sebab harga rumah turun.
“Lagi pun, industri lakonan sentiasa berterusan.Jadi saya perlu ada satu pendapatan tambahan untuk menampung hidup. Setakat ini Alhamdulillah rezeki rumah dan lakonan seiring,” katanya bisnes itu dijalankan bersama-sama adiknya bermula tahun lalu lagi.











