Memiliki barangan disukai sudah tentu memberi kepuasan lebih-lebih lagi jika ia tinggi nilainya. Sebab itu, ada yang sanggup membelanjakan sejumlah besar wang semata-mata memiliki barangan diidamkan.
Tidak terkecuali Dr. Niki Shuhada Shukor yang membelanjakan RM50,000 demi membeli pelbagai koleksi pinggan mangkuk seramik termasuk jenama terkenal dari England iaitu Royal Albert.
Lebih bermakna, koleksi tersebut dibeli ketika beliau berada di London bersama suami tercinta.
Menurutnya, ia koleksi paling berharga dimilikinya iaitu keluaran siri Old Country Rosses yang dikumpulnya lebih 30 tahun lalu.
“Saya mula minat mengumpul pinggan mangkuk apabila saya selalu melihat mak saya mengumpul Pyrex semasa saya kecil. Masa tu saya sudah menanam impian mahu mengumpul koleksi sendiri apabila saya sudah bekerja.
“Selepas berkahwin saya ke London dan kesempatan itu saya gunakan ke kilang Royal Albert. Saya beli set lengkap walaupun harganya waktu itu sudah mencecah ribuan ringgit. Kini harganya sudah berganda-ganda,” katanya kepada Seri.
Niki turut meminati pinggan mangkuk jenama ini kerana tertarik dengan kecantikan corak dan hiasan pada barangan ini.
“Ia (pinggan mangkuk) unik, tambahan pula kombinasi warna keemasan menyerlahkan lagi ciri kemewahannya,” katanya.
Katanya, kebanyakan koleksi dimiliki berusia lebih 30 tahun yang dikategorikan sebagai barangan vintage.
Harga pasaran semakin meningkat berbanding koleksi pinggan mangkuk dari negara lain.
“Kebiasaannya set mewah ini saya pakai ketika Aidilfitri meraikan keluarga dan tetamu yang ke rumah.
Menariknya, koleksi Royal Albert ini digunakan oleh kerabat raja England dan melambangkan kemewahan sesebuah rumah.
“Saya teruja melihat pelbagai corak dan reka bentuk pada koleksi pinggan, mangkuk, cawan dan teko dipaparkan kerana corak bunga dan warnanya tampak begitu klasik.
“Dari situ timbul minat untuk mendapatkan koleksi berdasarkan corak bunga yang ada ketika itu walaupun terpaksa membayar dengan harga tinggi,” katanya.
Dr Niki berkata, walaupun koleksinya dianggap antik dan lebih sesuai dijadikan perhiasan, dia tetap menggunakannya dalam kehidupan seharian.
ELAK HABUK
Mengulas mengenai aspek penjagaan, Niki berkata, individu perlu mengelakkan pinggan mangkuk daripada berhabuk. Ini berikutan kekotoran itu boleh melekat padanya kerana pori-pori pinggang mangkuk ini terbuka.
Sebaiknya simpan di tempat tertutup. Jika menggunakannya, terus basuh dan keringkan,” katanya.
KERJA AMAL
Walaupun sanggup berbelanja tinggi hanya untuk mendapatkan koleksi pinggan mangkuk, Niki turut gemar memberi motivasi kepada usahawan kewangan dan minat melakukan kerja amal.
“Ramadan lalu kami mengumpul dana, memasak beramai-ramai dan mengagihkan bubur lambuk kepada golongan kurang berkemampuan sepanjang Ramadan.
“Kebajikan adalah salah satu kaedah menjadikan seseorang belia berketrampilan dan memiliki sifat empati terhadap orang kurang bernasib baik,” ujarnya.
Dilahirkan dalam kalangan keluarga yang sederhana, Niki berkata, pengalaman hidup mengajarnya supaya membantu orang lain yang dihimpit kesusahan.
“Sebenarnya saya dah lama niat nak bantu orang susah tapi tiada peluang dan tak tahu bagaimana cara nak mulakan.
“Saya seronok tengok kawan-kawan buat kerja amal dan mula menyertainya dua tahun lalu,” katanya.
Lebih menggembirakan katanya, khidmatnya adalah satu sumbangan kepada masyarakat pelbagai bangsa dan agama.
Katanya, bermula dari situ dia mengenal adat bangsa lain dan memahami budaya masyarakat majmuk.
“Saya melihat orang lain sama saja, tapi bila susah memang saya tak boleh tengok, kadang-kadang menangis juga.
“Memang agak penat kalau terlibat kerja-kerja amal tetapi seronok dan dapat kepuasan maksimum,” katanya.









