MASIH dalam bulan Syawal maka sambutan Aidilfitri terus diraikan meriah bersama sanak saudara dan rakan taulan.
Jemputan ke rumah terbuka juga tidak henti-henti. Ramai yang kekenyangan dek juadah raya yang dihidangkan.
Bagi yang berkira-kira untuk turut mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, menu Kuah Lodeh adalah paling mudah disediakan tetapi masaklah dengan penuh kasih sayang untuk tetamu yang bertandang.
Kuah Lodeh ini sedap dimakan bersama lontong, ketupat atau nasi putih.
RESIPI KUAH LODEH
Bahan-bahan
1 keping fucuk (rendam dan potong kecil)
500 gram suun (rendam dan potong kecil)
1 keping tauhu (potong dadu)
1 keping tempe (potong dadu)
2 sudu udang kering (direndam)
1 batang serai (diketuk)
2 batang cili merah (dihiris)
1 batang lobak merah (dihiris)
500 gram kubis (dihiris)
5 batang kacang panjang (dihiris)
4 sudu Rencah Asyik set membawang (bawang putih dan bawang merah)
1 santan kecil kotak
2 gelas air (boleh lebihkan air ikut selera)
Garam dan perasa secukup rasa
Serbuk kunyit
Cara penyediaan
1) Tumiskan empat sudu Rencah Asyik set membawang sehingga naik bau. Masukkan udang kering, serai dan dua gelas air. Biarkan sehingga ia mendidih.
2) Masukkan fucuk, suun, tauhu, kubis, kacang panjang, lobak merah, tempe dan cili merah.
3) Masukkan satu kotak santan dan biarkan seketika.
4) Masukkan pula sedikit serbuk kunyit bagi mencantikkan warna. Tambah garam serta gula atau serbuk perasa mengikut selera.
5) Setelah sayur dan bahan-bahan yang dimasak telah lembut, tutup api dan siap untuk dihidangkan.










