‘Kami tiada masalah hapus AP gandum’ - Utusan Malaysia

‘Kami tiada masalah hapus AP gandum’

Menghapuskan AP gandum tidak mendatang masalah kepada syarikat Global Ikhwan Holding Sdn. Bhd selaku pemegang AP gandum. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemegang lesen import (AP) gandum tidak akan terjejas dengan keputusan kerajaan menghapuskan lesen tersebut yang sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak pihak membawa masuk tepung itu ke negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Holding Sdn. Bhd., Datuk Lokman Hakim Pfordten selaku pemegang AP gandum berkata, pihaknya tiada masalah dengan keputusan kerajaan itu kerana langkah tersebut juga dapat mengelakkan masalah kekurangan bahan makanan dan menyebabkan kenaikan kos sara hidup pada masa depan.

“Bagi kami tiada masalah dengan keputusan kerajaan ini. Kami sudah ada rangkaian dan pengguna sendiri untuk perniagaan, malah niat kami adalah membantu masyarakat agar mendapatkan barangan keperluan masing-masing.

“Kita kena faham tujuan kerajaan ini bukan sahaja sebagai langkah persiapan menghadapi kekurangan bahan makanan tetapi juga untuk menstabilkan harga barang keperluan,” katanya.

Kabinet sebelum ini bersetuju agar AP gandum dibatalkan sebagai susulan daripada pengumuman kerajaan sebelum ini yang berkaitan pemansuhan AP bahan makanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuan kerajaan menghapuskan AP bahan makanan adalah bagi membolehkan semua pihak dapat mengimport bahan asas makanan ke negara ini tanpa dimonopoli kartel yang akhirnya memanipulasi harga.

Dalam pada itu, Lokman Hakim menambah, isu global dan masalah iklim menuntut semua pihak untuk menjaga soal keselamatan makanan supaya ia tidak membelenggu rakyat sehingga tiada bekalan makanan.

Justeru itu, beliau melihat langkah kerajaan itu sebagai satu perkara positif agar lebih banyak pemain terlibat sama mengimport gandum.

“Ini soal persiapan masa depan, bukan sahaja gandum tetapi minyak dan bahan makanan lain pun terkesan sama,” katanya.

Kualiti rendah

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berkata, gandum Malaysia merupakan kualiti rendah yang dibawa masuk sekali gus terpaksa dicampurkan bahan-bahan tertentu untuk menjadikannya selamat digunakan orang ramai.

Justeru kata beliau, langkah menghapuskan AP dapat memberi lebih banyak ruang kepada pihak lain untuk membawa masuk bahan makanan termasuk gandum yang berkualiti untuk kegunaan pengguna.

Jelasnya, keputusan menghapuskan AP tidak bermakna golongan kartel akan terus mati, sebaliknya langkah tersebut memberikan peringatan agar tidak sewenang-wenangnya menguasai industri sehingga membebankan rakyat.

“Dengan hapuskan AP semua orang boleh mengimport masuk makanan, ini bagus kepada pengguna, tetapi tidak bagus kepada kartel. Sebaliknya dalam soal ini, kita berharap kerajaan tidak mengenakan peraturan baharu sehingga menyukarkan membawa masuk barang dalam kalangan penggusaha baharu,” katanya.

Pada 2020, Malaysia mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion pada tahun sebelumnya sekali gus mendorong peningkatan defisit perdagangan produk makanan negara berjumlah RM21.7 bilion meningkat 24.9 peratus berbanding 2019.

Import makanan yang masih tinggi membabitkan kopi, koko, teh, rempah, bijirin dan sediaan bijirin serta bahan makanan untuk ternakan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN