SEBAGAI warganegara, kita perlu memahami erti sebenar tanggungjawab terhadap rakyat dan negara terutamanya dalam soal hidup bermasyarakat. Dalam konteks ini, kita tidak boleh mementingkan diri dan membuat sebarang tindakan yang boleh menggangu gugat kesejahteraan rakyat mahupun keamanan dan keselamatan negara.
Beberapa masalah sosial yang membabitkan sikap dan tingkah laku anggota masyarakat yang dilaporkan sejak kebelakangan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memberi perhatian terhadap usaha mendidik dan melahirkan warganegara yang lebih bertanggungjawab kepada diri, masyarakat sekeliling mahupun negara.
Ironinya sikap dan tingkah laku seseorang individu itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor terutamanya didikan dan asuhan ibu bapa serta pengaruh persekitaran. Tuntasnya, asuhan dan persekitaran yang positif akan membentuk sikap dan tingkah laku yang baik dan terpuji, manakala jika seseorang itu dibesarkan dengan didikan yang salah serta berada di persekitaran yang tidak baik maka individu itu akan dipengaruhi sikap dan tingkah laku yang lebih negatif dan membimbangkan.
Terdapat beberapa insiden yang dilaporkan baru-baru ini yang boleh dijadikan rujukan dan iktibar untuk melihat masalah defisit tanggungjawab yang dimiliki oleh anggota masyarakat. Misalnya, sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri segelintir penduduk yang suka membuang sampah termasuk melempar dari tingkat atas menyebabkan Blok 23, Flat SEDC dekat Taman Air Biru di Pasir Gudang, Johor dipenuhi sampah dan kotoran tidak terurus sejak dua tahun lalu.
Hakikatnya isu melempar sampah dari tingkat atas boleh dikatakan sudah menjadi lumrah di sebuah kediaman berstrata dan banyak kali dilaporkan sebelum ini. Malah kita masih ingat satu kes tragik yang berlaku pada 2018 apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Di samping itu, gesaan dan rayuan syarikat pembersihan Alam Flora Sdn. Bhd. yang meminta anggota masyarakat membuang sampah ke dalam tong sampah dan bukan ke dalam longkang ataupun sungai sekali lagi mencerminkan sikap dan tingkah laku kurang bertanggungjawab segelintir anggota masyarakat. Harus diingat sikap membuang sampah di merata-rata tempat terutamanya di longkang mahupun sungai boleh menyebabkan aliran air tersekat sekali gus menyebabkan kejadian banjir kilat.
Hakikatnya kejadian banjir kilat yang sering berlaku sejak kebelakangan ini khususnya di Lembah Klang didapati banyak berpunca daripada masalah longkang dan sungai yang tersumbat dan dipenuhi dengan pelbagai bahan buangan dan sampah sarap oleh individu yang tidak bertanggungjawab.Satu lagi sikap tidak bertanggungjawab anggota masyarakat kita ialah suka membazir makanan dan tidak menguruskan pembuangan sisa makanan dengan betul. Rakyat di negara ini menghasilkan sebanyak 38,000 tan sisa pepejal sehari dan daripada jumlah itu sebanyak 17,000 tan adalah sisa makanan merangkumi 44.5 peratus daripada keseluruhan komposisi sisa pepejal.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, isi rumah di negara ini secara puratanya kerugian RM210 setiap bulan atau RM2,600 setahun akibat pembaziran makanan. Sepatutnya 4,046 sisa makanan boleh dielakkan dan jumlah berkenaan mampu memberi makan tiga juta orang sehari untuk tiga kali makan.
Masalah defisit tanggungjawab juga menyebabkan banyak harta benda dan kemudahan awam menjadi mangsa vandalisme apabila dengan sengaja dirosakkan. Masih segar dalam ingatan insiden di mana beberapa kemudahan di Taman Tasik Titiwangsa dirosakkan oleh pihak tertentu hanya dalam masa lima jam selepas dibuka kepada orang ramai.
Begitu juga dengan situasi di mana netizen yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kemudahan media sosial untuk menyebarkan pelbagai berita palsu dan fitnah sehingga mencetuskan polemik dan kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Jelas sekali sikap tanggungjawab semakin berkurangan dalam diri rakyat kita dan jika keadaan ini berterusan ia boleh mendatangkan pelbagai kemudaratan. Justeru masalah defisit tanggungjawab ini perlu ditangani dan dirawat dengan segera. Untuk itu, perlunya usaha berterusan bagi menyedarkan rakyat tentang keperluan untuk lebih bertanggungjawab.
Dalam konteks ini kesedaran diri sendiri adalah faktor yang paling penting dalam memupuk dan membentuk menjadi seorang yang lebih prihatin dan bertanggungjawab. Hal ini kerana sikap dan tingkah laku tidak boleh diubah oleh orang lain, justeru kita perlu memikul tugas untuk mengubah sikap menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan boleh menyumbang khidmat bakti kepada kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat.
Selain itu peranan ibu bapa juga penting dalam membentuk dan mencorak sikap serta tingkah laku anak masing-masing supaya menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab. Jujurnya ibu bapa perlu membentuk sikap anak-anak berpaksikan nilai-nilai murni sejak mereka kecil lagi agar ianya sebati dalam diri mereka sehingga ke akhir hayat kelak. Hakikatnya, setiap anak yang dilahirkan itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan karakter dan perwatakan mereka.
Anggota masyarakat juga boleh memainkan peranan dengan cara sentiasa prihatin dan mengambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekitar. Misalnya menegur dan perbetulkan sikap dan tingkah laku yang tidak bertanggungjawab anggota masyarakat di sekeliling seperti jiran dan rakan sekerja. Tindakan itu bukanlah berniat untuk mencari kesalahan sebaliknya untuk saling menasihati dan mengingatkan tentang tanggungjawab masing-masing. Dalam konteks ini tidak salah untuk kita menjaga tepi kain orang asalkan niat kita baik dan ikhlas.
Kesimpulannya, sebagai warganegara kita ada tanggungjawab terhadap anggota masyarakat dan negara. Justeru jadilah warganegara yang bertanggungjawab supaya kita dapat menjalani kehidupan yang lebih baik, harmoni dan selamat.-UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa










