“Sudah tahun 2022, masih kena sama warna lagikah kasut dengan beg tangan?” Ini persoalan yang sering bermain di minda setiap kali memilih kasut dan beg tangan.
Setiap kali melangkah keluar rumah, semua orang terutamanya wanita akan memastikan penampilan diri mereka sempurna daripada hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
Bermula daripada pakaian yang digayakan, solekan, aksesori seperti beg tangan sehinggalah ke kasut yang digayakan semuanya perlu menarik serta sepadan. Kebanyakan wanita biasanya akan memastikan kedua-dua aksesori ini sepadan dengan pakaian yang digayakan termasuk daripada segi warna dan corak.
Mungkin ada yang beranggapan menggayakan kasut dan beg tangan sepadan rona atau motif adalah gaya lama atau old school.
Ramalan fesyen mengatakan memakai beg dan kasut padanan akan kembali sekali lagi untuk musim bunga/panas 2023. Ia akan menjadi trend utama, namun trend fesyen edgy ini akan kembali di jalanan dan pertunjukan fesyen SS23.
Hakikatnya, gaya sepadan mampu menampilkan keanggunan dan citarasa tinggi si pemakai. Malah, masih banyak lagi jenama popular kasut dan beg tangan popular mengeluarkan kasut dan beg tangan sepadan seperti Bottega Veneta, Balmain dan Dior yang membuktikan gaya ini masih relevan.
Di kebanyakan pasaraya pun masih meletakkan beg tangan dan kasut bersebelahan bagi memudahkan pelanggan memadankannya tetapi jika anda biasa membeli-belah di kota fesyen seperti Paris, beg tangan dan kasut diletakkan berasingan atau di tingkat yang berbeza.
Memilih padanan yang sesuai boleh mengubah penampilan anda dalam sekelip mata tetapi pada masa yang sama anda perlu mahir menyusun aksesori, beg dan kasut bagi menghasilkan gaya lebih menyerlah. Pemilihan warna dan tekstur yang serasi menjadikan penampilan lebih sempurna dan kemas.
Tidak salah kalau tampil lebih berani dengan menggayakan kasut dan beg tangan yang bertentangan warna seperti beg tangan putih dengan kasut tumit tinggi keemasan atau beg kulit berwarna merah dengan kasut kulit berwarna coklat.
Memilih warna terang menjadikan penampilan lebih menyerlah.
Pastikan anda tidak menggayakan lebih daripada empat warna dalam satu masa kerana ia akan membuatkan anda kelihatan serabut. Begitu juga dengan bahan yang digunakan, pastikan ia daripada bahan sama seperti kulit dengan kulit atau fabrik dipadankan dengan fabrik.
Paling penting, anda mesti selesa menggayakan kasut atau beg tangan mengikut citarasa sendiri dan tidak terlalu terikut-ikut dengan aliran sehingga menjadi mangsa fesyen.
Berikut panduan membuat pilihan beg tangan dan kasut tepat sesuai tempat dan masa:
Padanan gaun hitam
Kebiasaannya gaun hitam sering menjadi pilihan bagi menghadiri majlis makan malam. Warna kasut dan beg yang dihiasi metalik pada kancing beg atau bahagian tumit kasut, menyerlahkan keanggunan. Sekiranya gaun hitam digayakan untuk ke pejabat, padankan dengan kasut hitam dan tas tangan dalam apa saja warna yang anda gemari.
Padanan gaun atau baju merah
Tiada sebarang halangan mewajibkan warna tertentu beg tangan atau kasut apabila anda memakai baju berwarna merah. Anda boleh gayakan kasut dan beg tangan berwarna merah juga. Lebih menarik bila memadankan kasut dan beg tangan kecil merah jambu atau kasut merah ungu dengan beg berona terang. Namun, lebih anggun memakai kasut berwarna cerah dan beg pula berwarna lebih gelap dengan gaun atau baju merah berpotongan ringkas.
Coklat dengan hitam
Memadankan kasut berwarna coklat dengan beg hitam sebenarnya kurang menarik kerana anda tampak kurang menyerlah. Kasut coklat gelap dengan beg hitam lebih menarik. Begitu juga sebaliknya, jika pilih beg coklat, pilihlah warna yang lebih gelap.
Ke majlis perkahwinan
Ramai yang memilih warna senada untuk kasut dan beg tangan apabila menghadiri majlis istimewa seperti majlis perkahwinan. Anda tidak perlu berbuat demikian kerana tiada peraturan yang memerlukan semua aksesori yang digayakan perlu sepadan walaupun ia sememangnya membuatkan diri anda lebih anggun.
Melainkan anda ibu kepada pengantin atau pengapit, gayakan kasut dan beg tangan yang dihiasi labuci atau metalik dengan rona pastel yang sepadan dengan pakaian yang digayakan.
Beg & kasut warna sama
Padanan rona sama menjadikan anda tampak lebih tinggi. Ini rahsia yang mungkin ramai sudah tahu. Rona senada membuatkan anda kelihatan lebih tinggi. Bagi yang bertubuh rendah bolehlah mencubanya. Bila bergambar, tubuh anda akan kelihatan lebih langsing dan tinggi.
Perkara perlu dielakkan
* MEMADANKAN beg dan kasut tidak semestinya perlu menggunakan warna sama. Cara paling berkesan adalah menggunakan tona warna daripada kumpulan sama. Kasut perlu lebih terang warnanya berbanding pakaian digayakan.
* JIKA memilih kasut dan beg diperbuat daripada kulit, elak menggunakan material sama untuk keseluruhan pakaian. Gabungan material dan fabrik berbeza menambah gaya.
* ELAKKAN menggunakan corak yang sama pada beg dan kasut. Sekiranya kasut sudah bercorak flora, gayakan beg dengan warna terang polos.
* JANGAN gabungkan gaya musim berbeza. Usah gusar sekiranya tidak mempunyai baju atau kasut baharu untuk digayakan. Beg baru saja sudah cukup. Yang penting, kreatif dan memiliki imaginasi tinggi. Malah, gaya biasa yang ringkas pun sebenarnya sudah mencukupi.










