Emosi lebih, punca cerai di usia senja - Utusan Malaysia

Emosi lebih, punca cerai di usia senja

Mohd. Suhadi menjelaskan emosi pasangan berusia lebih sensitif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berkahwin bukan pengakhiran dalam perhubungan suami dan isteri, malah ia merupakan permulaan baharu dalam kehidupan yang penuh suka dan duka tanpa dapat diduga.

Kata orang, lima tahun pertama usia perkahwinan merupakan fasa mencabar dalam hubungan suami isteri kerana ketika itu pasangan saling mengenali.

Tetapi hakikatnya, fasa paling kritikal dalam perhubungan adalah menjelang usia dewasa pertengahan iaitu sekitar umur 40 hingga 60-an kerana dari situ bermulanya konflik personaliti dalam diri pasangan.

Jadi tidak hairanlah jika rumahtangga dibina hampir 20 atau 30 tahun musnah dilanda badai dalam sekelip mata.

Menjelaskan secara terperinci, Pengarah Pusat Pengajian dan Perkhidmatan Kaunseling & Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Dr. Mohd. Suhadi Mohamed Sidik berkata, pada fasa berkenaan pasangan mengalami perubahan personaliti yang dapat dibahagikan kepada beberapa aspek.

Antaranya adalah dari segi emosi yang lebih sensitif disebabkan perubahan fizikal akibat penuaan.

“Antara perubahan ketara adalah berat badan bertambah, rambut semakin menipis, uban serta penurunan tahap kecergasan dan kesihatan.

“Bagi perempuan perubahan daripada segi kesuburan seperti menopaus meningkatkan tekanan emosi. Kajian mendapati dua per tiga wanita mengalami tekanan sebab rasa tidak lagi sempurna dan kehilangan nikmat bersama suami,” katanya kepada Seri.

Perubahan turut boleh dilihat daripada segi tingkah laku pasangan yang semakin menjauhkan diri termasuk memberikan perhatian kepada perkara lain, misalnya kerja atau rakan-rakan sosial.

“Suka melayan cucu atau paling tidak bertemu rakan. Dalam kata mudah, mereka suka melakukan sesuatu tanpa pasangan sekaligus menjarakkan lagi hubungan yang sedia suram,” katanya.

Mengatasi perkara itu, pasangan harus merancang kehidupan tua sejak dari usia muda.

“Pasangan turut digalakkan melakukan aktiviti bersama supaya tidak berlaku perkara yang akan menimbuklkan konflik atau ketegangan dalam perhubungan memandangkan emosi kian rapuh seiring pertambahan usia,” katanya.

TIPS BAHAGIA:
* Merancang kehidupan dari muda.
* Bina aktiviti apabila sudah berusia.
* Banyakkan melakukan aktiviti bersama supaya lebih mesra.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×