Derita bela suami ‘biawak hidup’ - Utusan Malaysia

Derita bela suami ‘biawak hidup’

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Namun hakikatnya, cinta tidak bermakna kita mengenali seseorang dengan baik.

Sesuatu kelakukan baik atau buruk pasangan hanyalah akan diketahui selepas mendirikan rumahtangga dan hidup sebumbung.

Begitu pengalaman yang dilalui oleh Maria (bukan nama sebenar) yang tidak menyangka bekas suami yang dikenali sebagai seorang yang sangat rajin dan penyayang sebelum berkahwin rupa-rupanya adalah ‘biawak hidup’ yang selesa menikmati kesenangan atas hasil usaha isteri.

Tidak pernah membayangkan bahawa dia bakal membuat pilihan yang salah, Maria berkata perkenalannya dengan bekas suami yang juga bekerja di satu tempat yang sama adalah permulaan titik hitam dalam episod kehidupannya.

“Semasa berkawan malah di awal perkahwinan dia masih bersikap seperti biasa dan sangat rajin bekerja. Kami bahagia dikurniakan seorang cahaya mata pada waktu itu.

“Segalanya-galanya berubah apabila dia mengalami kemalangan yang menyebabkannya mengalami kecederaan patah kaki. Ketika itu kami sudah ada dua anak dan dia tidak mahu bekerja dengan alasan sakit kaki.

“Padahal kecederaan itu tidaklah teruk sangat, malah tidak ada besi pun yang dimasukkan ke dalam kaki. Sekejap saja sakit itu sudah sembuh, tapi dia tetap tidak mahu bekerja selepas itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengimbau kembali kenangan pahit lima tahun lalu, ibu tunggal berusia 37 tahun itu berkata, dia bersabar dengan kerenah suaminya itu hampir dua tahun.

Tanpa sedikitpun rasa bersalah, bekas suaminya yang berasal dari Pantai Timur itu hanya membiarkan dia seorang diri bertungkus-lumus mencari nafkah untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
“Segala perbelanjaan saya yang tanggung dan dia di rumah hanya goyang kaki sahaja.

“Malah, walaupun dia tidak bekerja dan ada di rumah sahaja, anak-anak tetap dihantar ke pengasuh dan dia tidak membantu saya menguruskan anak-anak.

“Perkara itu yang membuatkan saya berfikir semula dan saya rasa cukuplah dua tahun saya bagi dia peluang untuk berubah namun dia sia-siakan,” ujarnya dengan rasa sebak.

Nekad berpisah
Tanpa bertangguh, ibu dua anak itu nekad mengambil keputusan untuk berpisah dan membawa haluan hidup sendiri bersama anak-anak.

Katanya, dia tidak nampak lagi harapan untuk bersama jika bekas suaminya itu sendiri tiada usaha untuk berubah menjadi ketua keluarga yang lebih baik.

“Saya keluar dari rumah ketika itu sebab saya tidak tahan lagi dengan perangai dia dan saya sememangnya mahukan perpisahan. Akhirnya dia lafazkan talak tiga kepada saya melalui Whatsapp.

“Lafaz di WhatsApp itu yang saya bawa ke mahkamah sebagai bukti untuk buka fail penceraian. Tapi, semasa perbicaraan pertama dia tidak hadir dan lari balik ke kampung ke halaman di Kelantan menyebabkan prosiding perceraian tertangguh.

“Namun, saya tidak biarkan begitu sahaja. Saya sanggup tebalkan muka minta adik-beradik dia yang lain tolong pujuk dia untuk datang selesaikan kes penceraian. Alhamdulillah, dia datang ke rumah adiknya di Puchong, Selangor dan saya sendiri bersama adik saya pergi ambil dia di sana dan bawa ke mahkamah untuk selesaikan urusan,” katanya.

Tambahnya, pada waktu itu dia benar-benar sanggup melakukan apa sahaja asalkan terlepas daripada belenggu bersuamikan lelaki biawak hidup.

Kesan pada anak
Mengakui penceraian memberikan impak besar kepada hubungan anak dan bapa mereka, namun anak jati Kuala Lumpur itu menganggap ia sebagai kifarah kepada lelaki berkenaan.

Jika dahulu semasa masih bersama, tidak sedikitpun perhatian diberikan kepada anak-anak.

Namun, kini selepas lima tahun dan apabila anak-anak sudah semakin besar barulah bapa mereka itu mula mencari-cari semula dan ingin kembali mesra dengan anak-anak.

“Anak saya terutamanya yang sulung kini berusia 13 tahun mengakui tidak selesa apabila berjumpa dengan ayah. Apatah lagi dia sudah menginjak remaja dan bila ayah yang jarang jumpa tiba-tiba datang peluk-peluk dan sebagainya sudah tentu dia tidak selesa.

“Sampaikan anak saya sanggup belajar bersungguh-sungguh kerana ingin mahu masuk ke asrama semata-mata tidak mahu diganggu oleh ayahnya yang sering datang ke rumah untuk berjumpa,” ujarnya lagi.

Lebih bahagia
Kini, Maria mengakui kehidupannya lebih stabil dan bahagia biarpun hanya berniaga makanan secara kecil-kecilan.

Malah, pertemuannya dengan Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (Witus) banyak membantu dirinya bangkit semula demi anak-anak.

“Saya benar-benar lega kini dengan kehidupan baharu. Malah, tiada perbezaan ketara pun saya rasa sebelum dan selepas bercerai kerana situasi tetap sama.

Saya tetap ketua keluarga yang mencari nafkah biarpun semasa bekas suami ada dulu,” ujarnya sambil menambah sehingga kini bekas suaminya itu tidak pernah memberi nafkah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN