GURU insan yang bertanggungjawab dan memainkan peranan sangat besar dalam membimbing, mendidik manusia untuk menjadi insan yang berilmu serta berakhlak mulia.
Saban tahun pada tanggal 16 Mei adalah hari istimewa yang disambut untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik seluruh Malaysia dengan tema tahun ini ialah Guru Tunjang Sekolah Sejahtera.
Sehubungan itu, menurut Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Azri Bhari untuk memenuhi tanggungjawab itu sewajarnya diterapkan keunggulan dan keluhuran peribadi Nabi Muhammad SAW dalam diri setiap guru supaya menjadi contoh dan ikutan kepada para pelajar.
Jelas beliau kepada Utusan Malaysia, Islam memandang mulia tugas seorang guru dan kedudukannya diangkat di sisi Allah SWT seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Allah meningkatkan orang yang beriman antara kamu dan orang yang berilmu pengetahuan agama beberapa darjat. (Surah al-Mujadilah: 11)
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Dunia ini dan seisinya adalah dilaknat kecuali mengingati Allah iaitu orang yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar. (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi)
“Justeru, dalam usaha mendidik manusia mengenal Allah SWT dan pelbagai cabang ilmu lainnya memerlukan tunjuk ajar daripada seorang yang bergelar guru.
“Tanggungjawab tersebut bukanlah suatu perkara yang mudah, bahkan memerlukan kesungguhan dan komitmen yang tinggi dalam merealisasikan harapan melahirkan masyarakat yang bertamadun.
“Wahyu pertama berpaksikan falsafah iqra’ telah membuktikan dan menzahirkan Islam sangat mementingkan soal pendidikan yang membawa manusia mentauhidkan Allah SWT,” katanya.
Maka katanya, kewibawaan guru adalah sangat penting dalam usaha melaksanakan tugas membimbing dan mendidik pelajar secara lebih berkesan.
KONSEP GURU MENGIKUT PERIBADI RASULULLAH SAW
Beliau menyatakan terdapat lima komponen yang menjadi konsep guru dalam Islam iaitu ‘muaddib’, ‘murabbi’, ‘mursyid’, ‘muallim’ dan ‘mudarris’.
1) Muaddib
Pertama, muaddib daripada kata Arab ta’diban diterjemahkan sebagai pembentuk adab yang bermaksud penyucian atau membersihkan seseorang daripada kekotoran.
“Konsep ta’diban merupakan proses mengasuh, mendidik, membentuk, membimbing, menanam, menyuci, menitis dan menyuburkan akhlak mulia dalam pembinaan dan pembangunan diri insan.
“Ta’dib juga meliputi proses pembentukan akhlak, disiplin, tingkah laku, sahsiah dan seluruh adab sopan seseorang insan,” katanya.
2) Murabbi
Kedua, murabbi daripada kata Arab tarbiyyah membawa maksud pelihara, ajar atau jaga dengan hati-hati.
“Sifat guru yang murabbi melibatkan proses mendidik, memelihara dan membentuk pelajar sehingga wujud rasa kasih sayang dan saling percaya mempercayai antara mereka.
“Perkara ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: …dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, Wahai Tuhanku, kasihilah mereka kedua-duanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku masa kecil. (Surah al-Isra’: 24)
“Berdasarkan ayat di atas definisi tarbiyyah menjurus kepada maksud mencurahkan kasih sayang, memelihara, mendidik semasa kecil dan mengembangkan,” katanya.
3) Mursyid
Seterusnya yang ketiga adalah mursyid dalam kata Arab irsyad membawa maksud jalan petunjuk, pemimpin yang memberi petunjuk dan petunjuk ke jalan yang benar.
“Konsep irsyad juga bermaksud proses memberi arahan, panduan, bimbingan dan petunjuk serta menjaga, mengikuti, menasihati dan memimpin ke jalan yang benar.
“Sifat guru mursyid merupakan seorang yang sentiasa bersedia menjadi penasihat yang ikhlas, bertindak sebagai mentor iaitu pengajar, penasihat dan pendorong kepada pelajar yang diajar untuk berkembang dan mencapai kecemerlangan.
4) Muallim
Keempat pula muallim iaitu dalam bahasa Arab, ta’lim bermaksud suatu proses pemberitahuan, pengajaran, pemindahan dan penyampaian maklumat dan ilmu pengetahuan daripada seorang guru kepada pelajarnya.
“Ta’lim merujuk kepada peranan guru dalam pengajaran dan menjalankan aktiviti pendidikan dengan cara memberitahu, mengajar, menyampaikan pelbagai jenis maklumat, disiplin dan ilmu pengetahuan kepada para pelajar sama ada melalui latihan, arahan atau sebarang bentuk pengajaran yang seumpamanya,” katanya.
5) Mudarris
Akhir sekali yang kelima, mudarris iaitu tadris daripada kata Arab membawa maksud ciri pengajar berkesan yang melibatkan aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P) bermula daripada persediaan mengajar, sepanjang proses P&P dan akhirnya penilaian kendiri.
Demikianlah lima ciri keunggulan guru yang perlu diamalkan secara berterusan dan dengan penuh iltizam untuk membawa ke arah merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu menyampaikan ilmu pengetahuan agar dapat membina rohani, jasmani, emosi, intelektual dan sosial pelajar yang seimbang.
“Sekali bergelar guru, selamanya akan dimuliakan atas nama guru serta perlu berkeperibadian mulia, berdedikasi dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu.
“Justeru guru perlu menjaga nama baik dan martabat dengan menunjukkan contoh yang baik sebagaimana keperibadian Nabi Muhammad SAW kepada pelajar atau masyarakat sama ada di dalam bilik darjah, di luar kawasan sekolah mahupun di media sosial,” katanya.










