PERKATAAN yatim yang banyak tersurat dalam 12 surah al-Quran menzahirkan secara terang kepada umat Islam supaya memberikan perhatian dan pembelaan kepada insan seperti anak yatim supaya kebajikan mereka diberi keutamaan bagi keselesaan hidup seperti insan yang masih mempunyai ayah dan ibu.
Daripada Abu Ummah yang diriwayatkan oleh Ahmad, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.
Hadis ini menyarankan kita sentiasa menjaga hubungan dengan anak yatim ini bukan hanya membantu makan minum atau pakaian sahaja, tetapi lebih kepada melayani perasaan, psikologi, motivasi dengan menzahirkan rasa cinta dan kasih sayang sebagaimana hubungan dengan adik-beradik.
Bertitik-tolak daripada kebenaran ini, kesedaran nilai kemanusiaan ditampilkan oleh guru serta kaki tangan Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut, Pahang terpaksa berkorban sedikit wang gaji untuk beramal jariah membeli pakaian hari raya membantu seramai 37 orang anak yatim sempena Program Sentuhan Kasih Anak Yatim di sebuah pasar raya Bandar Inderapura, Jerantut baru-baru ini.
Seramai 68 guru dan kakitangan menzahirkan kasih kasih sayang demi menjaga kebajikan murid khususnya anak yatim di sekolah itu tatkala ada dalam kalangan mereka yang ditimpa kesusahan sejak ketiadaan ibu atau bapa.
Hasil usaha guru dan kakitangan di situ termasuk bantuan dermawan luar, pihak sekolah berjaya mengumpul sejumlah dana.
Setiap murid dapat berbelanja raya sebanyak RM100 seorang. Malah program memasak 1,000 bubur lambuk yang turut diadakan, berjaya diagihkan kepada ibu bapa dan pengguna jalan raya.
Guru penyelaras program berkenaan, Siti Norma Ibrahim berkata, seramai 37 orang murid dalam kalangan anak yatim sekolah itu dibawa berbelanja pakaian hari raya di sebuah pasar raya di bandar baharu Inderapura, Jerantut.
“Murid berkenaan dibawa ke pasar raya dan memilih sendiri set pakaian hari raya dan kelengkapan diri dengan dibantu oleh guru dan juga ibu bapa.
“Kita amat bersyukur kerana dapat melestarikan amal jariah dapat memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim yang belajar di sekolah ini sangat memerlukan pembelaan khususnya dapat bergembira pada hari raya seperti insan lain yang bernasib baik,” katanya di Bandar Inderapura di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Guru Besar SK. Jerantut Jaya, Rodziah Mohd. Razali berkata, beliau berterima kasih kepada guru dan kakitangan sekolah kerana berusaha mendermakan sedikit gaji masing-masing untuk meneruskan usaha murni itu menerusi Program Sentuhan Kasih Anak Yatim setiap tahun.
“Amal jariah membantu anak yatim dan murid kurang berkemampuan ini kita lakukan sejak 17 tahun lalu setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi membolehkan mereka gembira berhari raya. Ia juga sebagai galakan untuk terus berusaha dan berjaya dalam pelajaran.
“Guru dan kakitangan sekolah turut menganjurkan infak barang makanan kepada 40 orang murid yang dikategorikan keluarga yang memerlukan,” katanya.
Acara lain termasuklah memasak bubur lambuk untuk agihan kepada ibu bapa, manakala seramai 883 murid turut menerima duit raya sumbangan guru dan kakitangan sekolah ini sebelum Aidilfitri lalu.
Tambah Rodziah, program berkenaan selari dengan Firman Allah dalam surah An-Nisa’, ayat 36 bermaksud:
Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapak, karib kerabat, anak-anak yatim. Orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga banggakan diri.
Sementara itu, Imam Satu Masjid Tengku Mahkota Abdullah bandar Jerantut, Mohd. Fikri Hamzah menjelaskan sama ada guru atau anggota masyarakat mempunyai nilai penyayang dengan membantu serta berbuat baik kepada anak yatim bukan sahaja pada Aidilfitri, sebaliknya setiap masa untuk keselesaan hidup insan berkenaan.
“Banyak hikmah dan kebaikan apabila anak yatim ini dijaga dengan baik dan belaian kasih sayang. Antaranya Allah SWT memberi rahmat, kasih sayang-Nya kepada kita dan keluarga serta dapat merasakan ketenangan serta kebahagiaan yang sukar untuk diungkapkan,” katanya.
Tegas beliau, anak yatim mempunyai kehormatan dan tidak harus disisihkan.
Firman Allah SWT Surah al-Baqarah, ayat 220 bermaksud:
Tentang dunia dan akhirat. Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang anak-anak yatim. Katakanlah: Memperbaiki keadaan anak yatim itu amatlah baiknya dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara kamu (yang seagama) dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa Lagi Maha Bijaksana.
Bagi murid anak yatim, Amalia Adham, 11, beliau bersyukur kerana Aidilfitri tahun ini disambut lebih bermakna kerana dapat pakaian baharu sumbangan guru dan dermawan sekolah itu.
“Pakaian baharu ini memberikan keceriaan sebab saya berpeluang bertandang ke rumah rakan di Aidilfitri,” katanya memberi reaksi.










