Tujuh sunah jadi di Aidilfitri - Utusan Malaysia

Tujuh sunah jadi di Aidilfitri

Lupakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di kampung jika jumlah kes masih tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah merupakan hari yang disyariatkan untuk disambut sebagai hari kegembiraan dan hari kemenangan bagi masyarakat Islam yang telah berjaya melaksanakan ibadah dengan sempurna pada bulan Ramadan.

Selaras dengan maksud firman Allah SWT yang bermaksud:

Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur (Surah Al Baqarah: 185).
Aidilfitri bukan sekadar memakai pakaian baharu, ziarah kubur, makan makanan yang lazat dan ziarah menziarahi, tetapi perayaan ini membawa maksud dan mesej bahawa manusia kembali kepada fitrah penciptaan.
Masyarakat Islam perlu memastikan kedatangan Syawal perlu disambut dengan ketaatan kepada Allah dan tidak menjadikan kehadiran Syawal sebagai pesta untuk melakukan maksiat.

Tujuh sunnah disarankan di pagi Syawal:

1) Mandi sunat hari raya. Amalan ini disarankan sebelum melaksanakan solat Aidilfitri.
Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmu’ bahawa diharuskan mandi pada dua hari raya, dan perkara ini tiada perselisihan. Perkara yang muktamad padanya ialah amalan Ibnu Umar, dan turut diqiaskan pada Solat Jumaat.
Perbezaan mandi biasa dengan mandi sunat hari raya adalah dari sudut niat. Maka pastikan niat mandi pada pagi raya adalah untuk mandi sunat hari raya supaya mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

2) Memakai pakaian yang indah dan terbaik. Pakailah pakaian yang tercantik dan terbaik dimiliki ketika hari raya dan memakai bau-bauan untuk membezakan antara hari raya dengan hari biasa.
Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Rasulullah SAW mengajak kami memakai pakaian yang terbaik (tercantik) yang kami miliki.(Riwayat al-Tabrani & al-Hakim)
Selain itu, Jabir RA pernah memberitahu bahawa:
Sesungguhnya Nabi memiliki pakaian khusus yang hanya dipakai pada dua hari raya dan hari Jumaat. (Riwayat al-Baihaqi).
Jelas bahawa berpakaian baharu dan cantik pada hari raya adalah suatu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW dan para Sahabat.

3) Makan sebelum menunaikan solat hari raya. Masyarakat Islam dianjurkan menjamah makanan terlebih dahulu sebelum menuju ke masjid bagi melaksanakan solat hari raya. Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Sesungguhnya Baginda s.a.w. tidak akan keluar pada hari raya aidilfitri sehinggalah beliau makan terlebih dahulu beberapa biji tamar. (Riwayat al-Tirmizi).
Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Pada hari raya Rasulullah tidak berangkat untuk melaksanakan solat sehingga baginda makan beberapa butir kurma. (Riwayat al-Bukhari).
Amalan Nabi SAW ini menunjukkan bahawa pada hari kebesaran dan kemenangan masyarakat Islam itu adalah diharamkan untuk berpuasa. Maka bagi masyarakat Islam boleh makan juadah disediakan sebelum melakukan solat sunat Aidilfitri.

4) Hidupkan malam dengan bertakbir dan ketika keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri. Hukum takbir adalah sunat bermula dari waktu Maghrib satu Syawal.
Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Sesiapa menghidupkan (dengan ibadah) pada malam dua hari raya (hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha) kerana mengharap pahala dari Allah, maka hatinya tidak akan mati di hari semua hati mati. (Riwayat Ibn Majah).
Sebaiknya, masyarakat Islam menghidupkan malam hari raya dengan amal ibadah dengan bertakbir, solat, membaca al-Quran dan semua amalan ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.

5) Solat sunat hari raya. Afdal menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah dan dilakukan di kawasan lapang serta terbuka.
Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Rasulullah memerintahkan kepada kami untuk keluar pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha sama ada hamba, wanita yang uzur dan juga pemudi. Wanita uzur hendaklah menjauhi tempat solat dan saksikanlah kebaikan serta seruan kaum Muslimin. (Riwayat Imam Muslim).

6) Berjalan kaki ke masjid atau tempat solat sunat hari raya. Sunat pergi ke masjid berjalan kaki dan balik semula melalui jalan lain. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya. (Riwayat al-Bukhari).
Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya Nabi SAW keluar untuk menunaikan solat aidilfitri dalam keadaan berjalan kaki dan pulang juga dalam keadaan berjalan kaki. (Riwayat Ibnu Majah).

7) Saling mengucapkan tahniah dan mendoakan antara satu sama lain. Ucapan ‘Semoga Allah menerima amalan kita dan amalan kamu’ merupakan satu amalan sunnah dilakukan Nabi SAW. Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Aku telah berjumpa Baginda Rasulullah pada hari raya, maka aku katakan kepada Baginda: Semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu. Sabda Rasulullah: Ya, semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu.(Riwayat al-Bahaiqi).

Demikianlah beberapa panduan dan amalan sunnah di pagi satu Syawal yang boleh diamalkan masyarakat Islam bagi mendapatkan ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN